Tuesday, 26 May 2015

PENGENALAN KURSUS

Kursus BMS 3022 (Karya Agung Melayu ) ini membincangkan karya agung yang menjadi pembentuk tradisi, tamadun dan pandangan semesta bangsa Melayu. Sepanjang kursus ini pelajar didedahkan tentang genre, gagasan, seni penulisan, nilai ilmu dan falsafah karya agung melayu.

HASIL PEMBELAJARAN :
  1. Menginterpretasi falsafah karya agung Melayu dalam pemikiran dan nilai kehidupan.
  2. Mengkonstruk idea dan nilai dalam karya agung Melayu sebagai amalan dalam kehidupan.
  3. Menghayati dan berasa banga terhadap nilai ilmu, gagasan dan falsafah karya agung Melayu.
  4. Melaksanakan tugas-tugas memantapkan fungsi karya agung Melayu secara bekerjasama.

Sunday, 24 May 2015

GURINDAM DUA BELAS KARYA RAJA ALI HAJI

PENGENALAN

 Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun berasal daripada bahasa asing, tetapi dalam perkembangan puisi Melayu, gurindam yang berkembang dalam tradisi lisan Melayu mempunyai bentuknya yang tersendiri dan berbeza dengan gurindam dalam bahasa Sanskrit. Selalunya gurindam Melayu mempunyai bahasa yang padat dan bernas serta isinya lebih cenderung kepada riang, dan sukacita, sindiran dan gurauan.
             Menurut Harun Mat Piah (1989), gurindam merupakan sejenis puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris serangkap dan mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris dengan rimanya. Biasanya, beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapi keseluruhan idea yang ingin disampaikan oleh pengarang.
         Seperti seloka, gurindam bukanlah puisi yang selalu digunakan oleh masyarakat Melayu. Bentuk ini lebih formal penggunaannya. Puisi ini mungkin digunakan dalam majlis-majlis tertentu. Oleh itu, agak sukar untuk mencari contoh gurindam kecuali yang wujud dalam bentuk tulisan seperti ‘Gurindam Dua Belas” yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Berdasarkan isinya, gurindam dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk pendidikan dan hiburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti, estetika dan keintelektualan masyarakat Melayu lama dalam menangani apa-apa situasi dalam kehidupan mereka.
            Gurindam Dua Belas mengandungi 12 fasal  dan mempunyai cirinya yang tersendiri. Terdiri daripada rima aa bagi setiap rangkap yang mempunyai dua baris. Setiap baris mempunyai dua hingga enam patah perkataan dan dalam gurindam ini mengandungi perkataan bahasa Arab. Mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam gurindam ini ialah unsur nasihat berkaitan keagamaan kepada masyarakat Melayu dan islam. Pengarang menasihati masyarakat supaya taat kepada perintah Allah dan meninggalkan larangannya.


FALSAFAH
Dari sudut etimologi, perkataan falsafah berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘philo’ bermaksud cinta dan ‘sophia’ bermaksud hikmah. Boleh diringkaskan bahawa falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Mekanisme falsafah secara mudahnya dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam untuk membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar tentang sesuatu perkara.
          Bidang falsafah yang sering diberikan penekanan dalam sesebuah karya ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi , politik dan logik. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa falsafah ialah satu kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam. Karya sastera yang dihasilkan yang membicarakan sesuatu subjek, biasanya akan membicarakan sesuatu itu secara artistik dan estetik, maka di situlah tersimpannya mutiara falsafah. (Mana Sikana, 1996).
         Pengarang memaparkan falsafah sosial iaitu dengan menyampaikan pesanan kepada pembaca mengenai kehidupan sosial masyarakat. Pada fasal ke enam pengarang menyebut tentang pergaulan, yang menyarankan kita supaya mencari sahabat yang baik dan mencari guru yang dapat mengajar kita perkara yang baik. Pada fasal ketujuh pula, pengarang memberi nasihat agar ibu bapa  membangunkan akhlak dan budi pekerti anak-anak mereka sejak dari kecil lagi dengan sebaik-baiknya kerana jika tidak diikut, maka mereka akan mendapan kesusahan di kemudian hari. Contoh :

Ini gurindam pasal yang keenam:
Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi.

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:
Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.


PEMIKIRAN 
Pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan oleh pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri untuk memilih bahan, mengejapkan dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Bahagian ini pengkaji telah mewacanakan pemikiran dalam Gurindam 12.
            Pemikiran yang terdapat di sebalik Gurindam 12 ini ialah tanggungjawab seseorang individu dalam melaksanakan perintah Allah. Sebagai orang yang beragama Islam, kita perlu melaksanakan kewajipan sebagai orang Muslim seperti yang diperintahkan Allah. Hal ini bertujuan membuktikan kepatuhan kita terhadap Allah. Tanggungjawab yang dimaksudkan ialah mematuhi rukun Islam dan rukun iman serta tanggungjawab terhadap diri sendiri dan agama sebagai orang Islam dengan penuh rasa ketakwaan.
            Melaksanakan tanggungjawab kepada-Nya sebagai landasan untuk mendapat kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Kesempurnaan di dunia dari sudut jasmani dan rohani amat penting untuk mendapatkan ketenangan di akhirat. Contoh bait Gurindam 12 yang menjelaskan pemikiran karya ini dapat dilihat pada Fasal 1 dan fasal 2 :
Ini gurindam pasal yang pertama
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudarat.

Ini gurindam pasal yang kedua
Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

         Maksud fasal pertama gurindam tersebut ialah memberi nasihat tentang agama yang perlu diutamakan dalam kehidupan dengan menjauhi perkara mungkar dengan mengingati pembalasan di akhirat. Pada fasal kedua pula, penulis tetap menegaskan prinsipnya dalam kepatuhan terhadap Tuhan iaitu dengan memasukkan kepentingan rukun Islam di dalamnya. Penghayatan yang mendalam terhadap keseluruhan isi gurindam ini dapat menimbulkan pemikiran sebenar yang ada pada Raja Ali Haji untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.
     Walaupun begitu, bukan pada kedua-dua fasal ini sahaja terdapat pemikiran tentang tanggungjawab sebagai seorang individu yang beragama Islam, sebaliknya keseluruhan isi Gurindam 12 ini memberi nasihat dan bimbingan ke arah kesempurnaan manusia. Hal ini terbukti apabila dilihat pada fasal kedua belas, penulis mengingatkan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah sehinggalah ke saat kematian pun kita perlu berbakti kepada Allah.
            Selain itu, terdapat juga pemikiran Raja Ali Haji mengenai hakikat manusia sebagai makhluk yang perlu menambah ilmu pengetahuan tentang manusia di bumi ini. Pemikiran beliau membawa warna tersendiri dengan pengungkapan yang menarik dan tetap berilmiah kerana apabila ditapis terdapat nilai luhur yang terkandung di dalamnya.
            Melalui huraian yang ada dalam Gurindam 12, kita dapat lihat bahawa Raja Ali Haji seorang yang sangat menekankan kesucian jiwa manusia sebagai langkah utama untuk menuju kebahagian yang abadi. Penekanan terhadap kesucian jiwa manusia ini mempunyai hubungan yang langsung dengan Tuhan dan masyarakat lain di sekeliling kita. Oleh itu, pemikiran beliau yang hebat tidak dapat disangkal lagi oleh sesiapa pun terutamanya dalam Gurindam 12.


KEPENGARANGAN
Kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan puncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sift keperibadian masing-masing. Pengukuhan merupakan usaha pematangan, pengecapan dan penyempurnaan dalam berkarya. Pengarang yang memiliki nilai-nilai keunggulan tidak pernah berpuas hati dengan karya mereka, justeru pembetulan demi pembetulan dilakukan sehinggalah terlahirnya sebuah karya yang unggul.
          Begitu juga dengan Raja Ali Haji, beliau merupakan seorang tokoh karya agung yang terulung. Beliau dianggap sebagai pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air. Ilmu agama yang mendalam dalam dirinya dapat dilihat melalui Gurindam 12 yang dikaji. Penulis sangat teliti dalam menghasilkan gurindam ini. Suruhan, larangan, peringatan, rukun, dan nasihat yang digarap dalam gurindam ini telah dikaji dahulu sebelum lahirnya gurindam ini.
         Selain itu, penghasilan Gurindam 12 juga dipengaruhi oleh riwayat hidup yang berkaitan dengan pengarang itu sendiri. Pengaruh jelas yang dapat dilihat ialah kehidupan keluarga bangsawan yang memiliki tradisi keagamaan serta keilmuan yang kuat dapat dilihat kepada ayahnya yang merupakan seorang pengarang yang terkenal di Riau dan mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang keagamaan. Beliau sendiri hidup dalam lingkungan suasana intelektual. Oleh itu, pengaruh tersebut dapat dilihat dengan jelas dalam karya Raja Ali Haji.
          Pengarang mempunyai ilmu agama yang tinggi, jadi beliau menghasilkan Gurindam 12 dengan menggunakan laras-laras bahasa Melayu dan Arab yang betul bagi menekankan sesuatu perkara yang ingin disampaikan sebagai nasihat kepada khalayak. Pengarang begitu peka terhadap balasan-balasan ke atas umat manusia yang melakukan kemungkaran. Malah pengarang juga begitu menekankan segala asuhan dan arahan yang diajarkan oleh nabi kita supaya dijadikan pedoman hidup.
            Pada keseluruhannya, dapat dilihat bahawa Gurindam 12 ini terdiri daripada tiga bahagian iaitu bahagian pembukaan, isi, dan penutup yang ringkas menerangkan bahawa gurindam tersebut telah tamat. Bentuk bahasa asli yang digunakan dalam gurindam ini ialah bahasa Arab-Melayu. Terdapat ilmu tasawuf yang sangat padat, malah terdapat beberapa orang pengkaji yang menafsirkan bahawa Gurindam 12 ini adalah karya sufi kerana terdapat banyak terjemahan kreatif dari hadis yang dikenali oleh ahli sufi atau alim ulama.


 ESTETIKA
Pendekatan estetik ialah penilaian teks sastera yang merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatan. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, dan kegembiraan yang merujuk kepada manfaat keindahan dalam sesebuah karya. Cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya akan menyerlahkan rasa keindahan kepada pembaca melalui penghayatan yang mendalam. 
            Pengarang bijak menggunakan bahasa dalam menghasilkan keindahan dalam gurindam 12. Sebagai contoh dalam fasal tiga hingga empat, pengarang berbicara tentang diri manusia. Fasal ketiga, pengarang menggunakan fungsi pancaindera untuk menyampaikan pesanan kepada pembaca. ‘Mata’ disamakan dengan ‘cita-cita’ atau keinginan pada baris 1 dan 2, dengan mata kita dapat melihat segala-galanya sehingga menimbulkan keinginan. Cita-cita dalam konteks ini ialah keinginan yang tidak baik. ‘Kuping’ disamakan dengan ‘khabar’ pada baris 3 dan 4. Hal ini kerana, melalui telinga kita akan mendengar bermacam-macam khabar dan pengarang menyatakan fungsi sebenar telinga untuk dikaitkan dengan perlakuan manusia yang selari dengan fungsi anggota badan. Sekiranya pancaindera dijaga, maka perlakuan kita turun dijaga dengan baik. Contoh :
Ini gurindam pasal yang ketiga:
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.

                Dalam pasal ketujuh terdapat pasangan kata yang bersinonim, misalnya ‘berkata-kata’ dan ‘dusta’, ‘dilatih’ dan ‘letih’, ‘tidur’ dan ‘umur’, perkataan yang ‘lemah lembut’ dan ‘orang mengikut’, ‘kasar’ dan ‘gusar’. Kata berkata-kata bererti ‘berbual‘ dan bual adalah dusta. Kata dilatih dan letih mempunyai komponen makna yang sama iaitu ‘letih‘. Orang yang berlatih akan letih. Kata tidur bererti ‘istirahat tubuh dan kesedaran‘. Kata umur bererti ‘lama hidup‘ atau ‘usia‘. Kedua kata itu mempunyai komponen makna ‘hidup‘. Orang yang tidur adalah orang yang hidup. Frasa ”perkataan yang lemah lembut” bererti ‘perkataan yang halus‘. Frasa ‘orang yang mengikut‘ bererti ‘orang yang tunduk atau taat‘. Orang yang taat adalah mereka yang berjiwa lembut. Kedua kata itu mempunyai komponen makna ‘halus‘. Contohnya :

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:
Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.

            Penggunaan istilah yang dekat dengan pembaca membuatkan pembaca mudah faham dan keindahan itu dapat dihayati dengan sebaiknya. Pengarang begitu menghargai setiap pemberian Tuhan dengan menggunakannya untuk menyampaikan nasihat kepada pembaca. Keindahan garapan bahasa, istilah dan simbol makna yang digunakan dapat memberikan bayangan dan dorongan kepada pembaca untuk memahami setiap bait kata di dalam gurindam ini dengan tenang dan baik.
            Gaya bahasa juga merupakan nilai estetika yang diterapkan dalam sesebuah karya. Unsur bahasa yang digunakan menggambarkan jati diri penulis kerana pembaca dapat mengenali diri pengarang melalui penggunaan gaya bahasa dalam teks yang dihayati. Gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata yang indah dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu, pengarang, fikiran dan tujuan sesebuah karya dihasilkan.
            Seterusnya, penggunaan sinkof turut digunakan oleh pengarang untuk menyingkatkan perkataan yang digunakan dalam gurindam ini. Antara perkataan yang disingkatkan ialah ‘tak’ dan ‘mu’ . Selain itu, gaya bahasa diksi iaitu pemilihan dan penyusunan kata-kata oleh pengarang dalam karyanya. Dalam Gurindam 12, pengarang menggunakan bahasa Arab dan bahasa Melayu yang mudah difahami oleh pembaca seperti perkataan :
Bahasa Arab
·         Ma’rifah dan bakhil.
            Gaya bahasa anafora pula ialah pengulangan kata di awal baris. Anafora banyak digunakan oleh pengarang dalam gurindam ini. Hampir setiap fasal pengarang menggunakan gaya bahasa anafora untuk menghasilkan emosi yang kuat kepada pembaca. Contoh diambil pada fasal kesebelas.

Ini gurindam pasal yang kesebelas:
Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hujjah.
Hendak dimalui,
jangan memalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.

             Penggunaan bahasa yang kasar iaitu gaya bahasa disfemisme turut digunakan oleh pengarang dalam Gurindam 12. Hal ini bertujuan menyatakan bahawa sesuatu yang buruk itu tidak harus dilakukan kerana akan dipandang hina oleh masyarakat dan dimurkai Allah. Sebagai contohnya perkataan ‘ketur’ yang membawa maksud ‘tempat meludah’. Perkataan tersebut digunakan untuk menggambarkan keburukan sikap bercakap kotor.
Ini gurindam pasal yang keempat:
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi



PENUTUP
Raja Ali Haji merupakan tokoh karya agung yang telah banyak menyumbangkan bakti dalam dunia penulisan. Beliau telah banyak menulis karya dalam pelbagai bidang seperti keagamaan, kesusasteraan, bahasa, dan sejarah. Penguasaan beliau dalam pelbagai bidang mampu memberikan kekuatan pada setiap karya yang dihasilkan. Beliau menghasilkan karya yang kreatif dan mempunyai penghayatan yang mendalam dari sudut pemikiran para intelektual.
            Gurindam Dua Belas adalah satu karya yang diciptakan dengan teliti dan rapi oleh Raja Ali Haji. Kesungguhan beliau dalam membimbing masyarakat Melayu dapat dilihat dalam gurindam ini dengan jelas sekali. Melalui gurindam ini, pengarang menyampaikan ilmu tasawuf yang bersumberkan dari ajaran agama yang sebenar kepada pembaca. Ilmu tasawuf juga melingkungi pendidikan moral kepada masyarakat supaya tidak terlalu mengikut hawa nafsu dalam melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka.
            Oleh itu, nasihat-nasihat yang disampaikan oleh Raja Ali Haji berdasarkan fenomena latar masyarakat Melayu pada masa itu perlulah dijadikan pedoman kepada semua pembaca. Selain itu, keindahan bahasa dan nilai estetika yang digarap oleh pengarang untuk menghasilkan karya ini perlu dijadikan contoh kepada pengkarya-pengkarya muda agar dapat menghasilkan sesuatu karya yang mempunyai nilai estetika tinggi seperti karya-karya agung yang terdahulu.





Sunday, 17 May 2015

LATAR BELAKANG PENULIS NOVEL INTERLOK

Novel Interlok ialah hasil karya Abdullah Hussain. Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Pada tahun 1926, beliau mula belajar di Sekolah Melayu Limau dan lulus darjah V pada tahun 1931. Beliau meneruskan pendidikannya di Sekolah St. Micheal, Alor Setar, Kedah Darul Aman dari tahun 1932 hingga 1933. Pada tahun 1935, beliau telah meneruskan pengajian di Anglo Chinese School, Alor Setar, Kedah Darul Aman hingga lulus darjah VII.
Semasa pendudukan Jepun pada tahun 1943, beliau dihantar ke Singapura untuk menjalani kursus pentadbiran di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) selama tiga bulan. Pada tahun 1939, beliau telah berkhidmat sebagai penolong penjaga stor di perusahaan lombong bijih di Pahang dan pernah berkhidmat di bahagian penerbitan, syarikat surat khabar Sahabat, di Pulau Pinang. Pada tahun 1940, beliau berkhidmat di Pulau Pinang sebagai pembantu pengarang surat khabar Saudara dan pada tahun 1941 pula (sehingga kedatangan tentera Jepun), beliau berkhidmat di Sungai Petani, Kedah sebagai kerani dan tukang dobi di kem tentera Inggeris. Beliau juga pernah menjadi wartawan surat khabar Merdeka, Berita Indonesia dan majalah minggu Merdeka. Beliau juga pernah bertugas sebagai pengarang majalah Bintang dan Filem. Beliau juga pernah menjadi pengurus penerbitan di majalah Gelanggang Filem. Dalam filem Hang Tuah, beliau pernah bertugas sebagai penasihat teknik. Pada tahun 1961-1964, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu pengarang kanan di Oxford University Press dan pernah berkhidmat di Franklin Books Programme dan memegang jawatan editor di majalah Angkatan Baru pada tahun 1965-1968
Selama 10 tahun mulai tahun 1968, beliau telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pegawai penyelidik. Seterusnya, pada tahun 1978, beliau telah berkhidmat sebagai ketua unit bahasa dan sastera di DBP cawangan Sabah sehingga tahun 1979. Sehingga tahun 1981, beliau berkhidmat sebagai ahli cipta di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pada tahun 1982 pula, beliau berkhidmat di DBP Brunie Darussalam sebagai ketua bahagian pembinaan dan pengembangan sastera. Pada tahun 1993, beliau berkhidmat sebagai Karyawan Tamu DBP sehingga tahun 1996.
Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) yang kelapan pada tahun 1996. Selain penganugerahan SN, beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) pada tahun 1995 dan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’. Pada tahun 1996, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang juga membawa gelaran Dato’ oleh Yang  di-Pertuan Agong.

Sepanjang penglibatan beliau dalam penulisan kreatif, terdapat pelbagai hasil penulisan yang telah beliau lahirkan. Karya pertama beliau adalah sebuah karya lucu yang disiarkan dalam majalah Tanah Melayu pada tahun 1939. Beliau juga telah menghasilkan 25 buah novel, tiga buah cerpen, sembilan buah buku terjemahan sastera, sebuah autobigrafi dan enam buah biografi. Novel Imam telah diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia 1994/95 dan tempat pertama dalam Hadiah Novel Nasional 1992/94. 

SINOPSIS NOVEL INTERLOK

Novel Interlok mengandungi 4 Buku iaitu sama seperti 4 bab. Bab yang pertama mengisahkan tentang keluarga Seman yang terpaksa bersusah payah selepas kematian ayahnya. Bab kedua pula menceritakan tentang keluarga Cing Huat yang berasal dari China dan berhijrah ke Tanah Melayu serta terpaksa bersusah payah di sana. Bab ketiga pula menceritakan mengenai keluarga Maniam yang berasal dari India Selatan dan terpaksa mengharungi segala dugaan ketika berada di Malaya. Bab terakhir pula mengisahkan kehidupan ketiga-tiga keluargaa berkenaan yang mengenal sesama sendiri ketika zaman penjajahan Jepun, zaman darurat dan zaman kemerdekaan negara.

Buku Satu – Keluarga Seman
Bahagian Buku Satu novel Interlok memaparkan kisah Seman, anak tunggal pasangan Pak Musa dan Mak Limah. Seman seorang pemuda yang gagah dan rajin tetapi tidak tahu membaca kerana tidak ke sekolah. Apabila Pak Musa sakit, secara rahsia dia meminta Seman membawa Mak Limah berpindah tanpa memberikan sebarang alasan. Akhirnya Pak Musa meninggal dunia sebelum sempat menceritakan perkara sebenar. Setelah 27 hari kematian Pak Musa, Cina Panjang menemui Seman untuk memaklumkan bahawa Pak Seman berhutang sejumlah wang daripadanya untuk membeli tanah dan pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang. Cina Panjang menunjukkan surat-surat hutang Pak Musa. Akhirnya Seman membawa ibunya berpindah dari kampung kerana semua harta bukan miliknya lagi.

Buku Dua – Keluarga Cing Huat
Penduduk kampung gempar kerana tanaman padi dimakan belalang. Keadaan ini menyebabkan Kim Lock dan anaknya Cing Huat serta beberapa orang lelaki di kampung itu berhasrat merantau mencari pekerjaan di Singapura. Di sana Kim Lock ditawarkan menjual anaknya Cing Huat tetapi ditolaknya. Selepas 30 bulan di Singapura, Kim Lock bercadang bekerja di Melaka. Bersama-sama Kim Sui, dia dan anaknya menaiki tongkang tetapi di Muar. Dia bekerja di Lukut dan di Pulau Pinang. Akhirnya, Kim Sui mengajak Kim Lock berniaga di Simpang Empat. Perniagaan mereka maju tetapi Kim Lock menjadi penagih candu hingga meninggal dunia selepas isterinya di negara China meninggal dunia. Orang Cina mendirikan sekolah Cina untuk anak-anak mereka. Cing Huat berkahwin dan dikurniakan empat orang anak. Seorang anaknya, iaitu Yew Seng rapat dengan Lazim dan keadaan ini tidak disenangi oleh Cing Huat. Akhirnya Yew Seng keluar dari rumah ayahnya.

Buku Tiga – Keluarga Maniam
Maniam datang dari dari India dan bekerja sebagai kuli di pelabuhan Pulau Pinang. Waktu petang dia minum tuak di kedai. Dia juga mengirim wang untuk isterinya di India. Pillay tidak menyampaikan kiriman tersebut, sebaliknya isteri Maniam jatuh ke tangan Pillay akibat desakan hidup. Maniam kecewa. Dia berpindah tempat kerja dan akhirnya bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima. Maniam berkahwin dengan Malini secara rahsia. Rahsia perkahwinannya dibongkar oleh Suppiah, orang kampungnya. Akibatnya, Maniam tidak disenangi dan dihalau keluar dari tempat tersebut. Peristiwa ini menyebabkan Malini meninggal dunia tiga tahun kemudian. Suppiah mencadangkan sekolah Tamil didirikan di kebun untuk anak-anak orang India. Raman, iaitu guru sekolah mengetahui bahawa Suppiah lari dari negaranya kerana takut ditangkap polis dan menerangkan perkara sebenar tentang Maniam kepada Perumal. Perumal menyesal atas tindakannya terhadap Maniam.

Buku Empat – Interlok
Maniam menjadi tandil di kebun getah. Apabila Seman datang meminta kerja, Maniam berusaha membantunya, lebih-lebih lagi sesudah mengetahui Seman ialah anak Musa, kawan baiknya. Maniam juga mendapatkan sebuah petak di rumah kuli untuk Seman dan ibunya yang telah keluar dari kampung mereka. Yew Seng pula lari dari rumah kerana kecil hati terhadap ayahnya yang tidak menghargainya. Dia bekerja di lombong bijih timah. Seman melawat Kampung Nyiur Condong setelah dua tahun setengah meninggalkan kampung tersebut. Dia diterima baik oleh orang-orang kampung. Pinangannya untuk Gayah juga diterima dan dia menjadi menantu Mat Ranggi. Penduduk Kampung Nyiur Condong gempar dengan kehadiran orang Jepun ke Tanah Melayu. Orang Melayu berpakat membantu Jepun mengusir Inggeris.

Cing Huat pula cuba berbaik-baik dengan Seman. Pada suatu malam kedai Cing Huat dimasuki perompak. Pada masa yang sama juga Poh Eng berjaya melepaskan diri dan diselamatkan oleh Seman yang kemudian membawa Poh Eng kepada emaknya. Sementara itu, pihak Jepun mencari Yew Seng yang dipercayai terlibat dengan komunis. Yew Seng yang mengetahui adiknya hilang berjaya menemukan adiknya, Poh Eng dan dibawa menyertainya ke hutan, iaitu ke markas komunis. Pada waktu petang askar Jepun pula menangkap Mak Limah, Maniam, dan beberapa orang lagi kerana disyaki membantu komunis. Maniam diseksa kerana tidak memberikan kerjasama. Seorang Inspektor berbangsa India menyoal siasat Maniam dan melalui soal siasat tersebut, barulah diketahui bahawa Inspektor tersebut ialah anak Malini, iaitu anak Maniam sendiri. Inspektor Rama Krishnan berjanji akan menolong ayahnya dan cuba membebaskan Mak LImah.

Harga barang semakin mahal. Lazim pula menyesal kerana menyokong Jepun. Dia ditangkap Jepun. Akhirnya Jepun menyerah kalah. Semua orang bergembira, terutamanya orang Cina. Orang yang menjadi tali barut Jepun diseksa. Kumpulan Kong Beng (Kuomintang) menangkap orang-orang yang bekerjasama dengan Jepun. Yew Seng yang mengenali Lazim telah membebaskannya. Poh Eng pula berjumpa semula dengan Mak Limah. Tanah Melayu diperintah oleh Inggeris semula. Orang Melayu semakin matang. Orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union. Akhirnya perlembagaan dibentuk. Pengaruh komunis pula mula berkembang semula di Tanah Melayu Orang Cina pula berpendapat mereka patut bekerjasama dengan orang Melayu dan India menentang komunis. Hasil kerjasama itu, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

FALSAFAH DALAM NOVEL INTERLOK

Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani iaitu philosophia, iaitu philo ertinya cinta dan sophia ertinya hikmat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), falsafah bermaksud pengetahuan tentang pengertian yang dianggap ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain. Hashim Awang dalam Mohd Rashid Md Idris, Abd Rahman Napiah dan Lanang Jaya Rohani (2014) menyatakan bahawa falsafah sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia.
            Setiap novel mempunyai keistimewaan dan ianya terletak di sebalik penciptaan novel, kekuatan bahasa dan juga daya imaginasi pengarangnya. Abdullah Hussain merupakan seorang penulis yang hebat dan beliau menerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996. Novel terkenal yang pernah dikarang oleh beliau iaitu Interlok merupakan sebuah novel yang kaya dengan unsur falsafah dan mempunyai kekuatan yang tersendiri.


Falsafah Sejarah
Kekuatan aspek falsafah yang diterapkan dalam novel Interlok ialah falsafah sejarah. Pengarang membentangkan sejarah awal dalam era moden di Tanah Melayu dengan kemasukan kaum Cina dan India yang mempunyai faktor penolak di negara asal mereka dan faktor penarik di bumi baru yang didiami iaitu Tanah Melayu seawal tahun 1910-an.
Dalam bulan Julai 1910, di dalam sebuah kapal penumpang yang belayar meninggalkan pelabuhan Nagapatam menuju ke Pulau Pinang, terdapat seorang penumpang bangsa Tamil dari sebuah desa yang terletak di dekat Tricur, Kerala, sebuah negeri di pantai barat India Selatan. Sudah dua hari sejak dia meninggalkan kampungnya, dengan menumpang berbagai-bagai jenis kenderaan, akhirnya dia sampai ke Madras. Dari situ dia menumpang bas ke Nagapatam, kota pelabuhan yang akan menghubunginya dengan Negara Emas.
(Interlok: halaman 215)
Berdasarkan petikan tersebut, kemasukan kaum Cina dan India ke Tanah Melayu menggunakan pelbagai kenderaan untuk sampai ke destinasi. Kaum Cina dan India ke Tanah Melayu untuk mengubah nasib keluarga yang hidup dalam kesusahan.
                        Pengarang juga menceritakan zaman penjajahan Jepun, zaman darurat, dan pembentukan Malayan Union. Pengakhiran novel ini mengambil latar masa 1957 iaitu ketika menyambut kemerdekaan negara yang memaparkan orang Melayu, Cina dan India yang masing-masing sudah membina rupa bangsa Malaysia berdasarkan kepada kisah silam masing-masing.
Penduduk Kampung Nyiur Condong menjadi gempar. Beberapa orang kampung yang baru pulang dari pekan Simpang Empat mengkhabarkan bahawa tentera Jepun telah masuk ke negeri Kedah dari Siam.
(Interlok: halaman 323)
Tiba-tiba keadaan politik berubah, orang Melayu bangun menentang Malayan Union yang mahu disugukan oleh kerajaan Inggeris. Mereka menganggap perlembagaan baharu itu sebagai satu penghinaan. Lazim menjadi ketua di daerah itu, dia bergerak cergas memimpin orang-orang kampung itu ikut serta dalam menentang Malayan Union.
(Interlok: halaman 388)
Berdasarkan petikan tersebut, pengarang menggambarkan suasana yang dialami oleh masyarakat pada zaman penjajahan Jepun, zaman darurat, pembentukan Malayan Union dan sambutan perayaan kemerdekaan negara. Pelbagai halangan, cabaran, dugaan dan kesukaran yang dihadapi oleh mereka untuk mencapai kemerdekaan dan keharmonian sejagat.                                                                  
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          
Falsafah Sosial
Selain itu, pengarang juga memaparkan falsafah sosial iaitu mencerita realiti kehidupan masyarakat pada tahun 1910 sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam buku pertama iaitu Keluarga Seman, Seman mewakili watak bangsa peribumi Melayu daripada golongan bawahan yang menetap di kampung.
Seman sedang mengasah perang di telaga di depan rumahnya. Dia mahu memotong daun mengkuang di tepi jalan di pinggir kampung, ibunya mahu membuat tikar. Entah bagaimanapun dia teringat mahu memenuhi suruhan ibunya. Lepas minum dia pun turun ke tanah dan mengambil parang. Mata parang itu mulai berkarat kerana sudah lama tidak digunakan. Mata parang itu amat tajam, besinya baik dan Seman bangga selalu dengan parang itu.
(Interlok: halaman 87)

            Dalam buku kedua pula iaitu Keluarga Cing Huat, Cing Huat muncul sebagai wakil golongan pekerja yang ditarik datang ke Tanah Melayu yang ditawarkan oleh sektor ekonomi Perindustrian British. Kehidupan miskin keluarga Chin Huat telah menarik bapanya untuk keluar dari China dan mencuba nasib di Tanah Melayu.
Berapa bulan lamanya Kim Lock menetap di Pulau Pinang, tetapi dia tidak sesuai dengan pulau itu yang tidak ubah seperti Singapura. Dia tidak akan mencapai cita-citanya kalau hanya makan gaji dan menjadi kuli orang lain.
(Interlok: halaman 165-166)
            Dalam buku Keluarga Maniam, Maniam dikategorikan dalam kasta ‘paria’ iaitu golongan yang tersisih akibat sistem kasta yang diamalkan di India. Hal ini menyebabkan keluarga Maniam sering ditindas oleh golongan atasan dan mencari peluang pekerjaan di Tanah Melayu.
Dia berasa senang hidup di negeri ini, kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa bebas bercampur gaul dengan orang lain. Di sini dia tidak saja bebas bercampur gaul dengan orang lain sebangsanya, malah dia tidak takut dengan pantang larang yang biasa timbul di negerinya apabila ia seorang Tamil dari kasta rendah menyentuh orang dari kasta tinggi. Dia tidak saja dimaki hamun dengan kata-kata yang kotor, malah disisihkan dari masyarakat sehingga dirinya diri orang-orang yang sekasta dengan menjadi lebih hina daripada binatang.
(Interlok: halaman 224)

Falsafah Ekonomi
Falsafah ekonomi juga turut dikesan dalam novel ini. Pengarang menggarapkan falsafah ekonomi ini melalui pekerjaan yang dilakukan oleh watak dalam novel Interlok ini iaitu melalui watak Seman, Pak Musa, Lee Kim Lock, Cing Huat, Maniam dan Ramakrisynan. Melalui watak Seman, pada permulaan kehidupan Seman, keluarga Seman merupakan keluarga yang agak senang kerana ayahnya iaitu Pak Musa mempunyai harta yang banyak. Namun, segalanya berubah apabila Pak Musa meninggal dunia. Harta tersebut merupakan harta Tauke Cing Huat. Hal ini menyebabkan Seman dan ibunya diusir dari rumah tersebut. Namun, pengakhiran novel ini, Seman bekerja di ladang getah dan menjadi petani. Status ekonomi Seman pada pengakhiran novel ini selesa dan berkemampuan.
“Makmu tak tahu,” ujar bapanya kemudian. Matanya masih pejam. “Aku tidak pernah memberitahunya. Dia menyangka kita ni kaya. Dia tidak pernah bertanya bagaimana dan di mana aku mendapat duit membeli tanah, membeli bendang, dan membeli binatang ternakan.”
(Interlok: halaman 12)
Maniam tidak terperanjat, malah anak matanya bersinar-sinar memandang muka Seman yang duduk di hadapannya. Seman hairan. Dia menyangka Maniam akan marah. Setelah bapanya meninggal, di kebun yang jauh dari kampungnya itu dia menemui seorang bangsa asing yang dapat dianggapnya sebagai bapanya.
(Interlok: halaman 321)
            Melalui watak Kim Lock dan Cing Huat, mereka merupakan kaum pendatang dari negara China. Kim Lock bekerja sebagai kuli mengangkat barang di pelabuhan dan penarik lanca. Sementara Cing Huat bekerja sebagai pelayan di kedai kopi dengan gaji lima sen sehari. Kemudian, mereka bekerja di lombong bijih dan akhirnya mereka membuka kedai runcit di Simpang Empat. Hal ini menunjukkan status ekonomi keluarga Cing Huat berubah daripada bekerja sebagai kuli meningkat naik menjadi pengusaha kedai runcit yang kaya.


Lee Kim Lock pulang ke rumah pada petang itu dalam keadaan letih lesu, mukanya kotor dengan abu batang padi, bajunya basah. Dia terus merebahkan badan di atas pangkin dekat pintu dengan tidak berdaya. Baju dan seluarnya yang compang-camping itu telah basah bagai dia baru datang dari dalam hujan yang lebat.
(Interlok: halaman 108)
Lombong itu belum pun dibuka, dan merekalah kuli pertama datang ke sana. Mereka mula-mula mendirikan rumah kongsi, menebang kayu untuk tiang, mencari atap di pekan Lukut, kira-kira satu jam berjalan kaki.
(Interlok: halaman 158)
Dua hari kemudian Cing Huat dibawa oleh Paman Kok Leng ke sebuah kedai kopi. Dia dapat menjadi pelayan di kedai kopi itu dengan gaji lima sen satu hari, makan dan minum ditanggung. Cing Huat terpaksa tinggal di kedai itu. Itulah pertama kali dia berpisah dengan bapanya, tetapi tiap-tiap malam bapanya datang berjumpanya sebelum tidur.
(Interlok: halaman 130)
Cing Huat juga menolong membuat kerja kuli, dia mendapat setengah bayaran daripada bayaran yang diberikan kepada orang dewasa, boleh sedikit-sedikit bercakap dengan orang Melayu, tetapi dia lebih senang memanggil mereka Huan Na atau Malai kuai saja.
(Interlok: halaman 158-159)
            Melalui watak Manian pula, Maniam merupakan masyarakat India yang tinggal di Tricur, Kerala. Maniam bekerja sebagai petani dan dianggap berkasta rendah. Kemudian, Manian berhijrah ke Pulau Pinang sebagai buruh pelabuhan mengangkat barang-barang yang berlabuh untuk di simpan di gudang. Manian juga pernah bekerja di ladang getah dan menjadi tandil di Cangkat Lima. Pengakhiran novel ini menggambarkan Maniam merupakan ayah kepada seorang Inspektor Polis iaitu watak Ramakrisynan hasil perkahwinan antara Maniam dan Malini. Hal ini menunjukkan status ekonomi keluarga Maniam berubah daripada bekerja sebagai petani yang berkasta rendah meningkat naik menjadi ayah kepada seorang Inspektor Polis.
Keadaan penghidupan di desanya itu amat sukar. Mereka tidak punya tanah. Setiap tahun orang bertambah. Penduduk sudah padat dan Maniam berasa sudah terlalu sempit baginya untuk mencari makan. Dia mengambil upah mengerjakan tanah orang lain, upahnya dengan beras, tetapi hanya cukup untuk makan beberapa bulan. Lepas itu dia terpaksa mencari kerja lain. Salah seekor lembu jantan yang digunakan untuk membajak sawah telah tua dan tidak dapat digunakan lagi.
(Interlok: halaman 219-220)
Berbulan-bulan Maniam merayu dari satu kebun ke satu kebun, dan akhirnya dia terserempak di sebuah kebun orang putih di Cangkat Lima. Kebun ini baru dibuka dan amat luas. Maniam mendapat kerja di bahagian kebun kelapa.
(Interlok: halaman 228)
Tiba-tiba pintu di belakangnya terbuka, inspektor India itu masuk, diiringi oleh seorang Melayu dan seorang India lagi. Daripada percakapan mereka, Maniam tahu mereka berasal dari Kerala kampungnya.
(Interlok: halaman 361-362)


PEMIKIRAN DALAM NOVEL INTERLOK

Pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya.
            Novel Interlok merupakan sebuah novel yang mempunyai pemikiran yang unik. Pemikiran utama yang ingin disampaikan oleh pengarang menerusi novel tersebut ialah penyatuan dan perpaduan kaum. Menerusi novel ini, pengarang mempunyai pemikiran yang bijak dengan menggunakan watak-watak yang terdiri daripada pelbagai kaum yang wujud di Malaysia seperti kaum Melayu, Cina dan India. Dalam novel ini, pengarang, iaitu Abdullah Hussain telah menggarap cerita yang menggambarkan kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sekitar awal tahun 1990-an hingga 31 Ogos 1957 apabila Malaysia mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Dalam jangka masa ini, perpaduan atau pertautan antara rakyat sangat penting untuk mencapai kemerdekaan dan seterusnya untuk membangunkan negara. Integrasi antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India melalui tiga keluarga yang berusaha untuk hidup bersama di Tanah Melayu yang aman, merdeka dan bersatu padu. Sebagai buktinya, Seman, Maniam, Cing Huat dan Yew Hock hidup saling membantu dalam urusan kehidupan seharian dan seterusnya bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat Malaya yang bersatu padu, aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum tersebut merupakan keistimewaan yang wujud secara semula jadi berdasarkan fakta sejarah apabila orang Cina yang diwakili oleh Cing Huat, dan orang India yang diwakili oleh Maniam datang ke Tanah Melayu pada masa itu untuk mencari rezeki dan seterusnya tinggal dan menetap di negara ini.
Dalam kehidupan mereka, setiap kaum itu hidup saling bergantungan antara satu sama lain. Orang Melayu meminjam wang daripada orang Cina dan orang Cina pula menggunakan orang Melayu untuk membeli tanah orang Melayu. Sebagai contohnya, Cina Panjang (Cing Huat) memberikan wang iaitu dengan meminjamkannya kepada Musa dan sebaliknya Cing Huat menggunakan Musa untuk membeli tanah orang Melayu. Musa pula telah menyelamatkan Maniam daripada dipukul dengan teruk dan Maniam membalas jasa Musa dengan memberikan bantuan kepada anaknya iaitu Seman untuk mendapatkan kerja di ladang di tempat Maniam bekerja sebagai tandil.
Kehidupan pelbagai kaum dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, dan India itu berlangsung dengan aman, saling bergantungan dan tiada persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Mereka berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni serta menjadikan negara ini negara yang merdeka dan berdaulat.
Oleh hal yang demikian, novel ini memaparkan pemikiran atau mesej tentang integrasi tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Di sinilah konsep `interlok’ yang hendak digambarkan dalam keseluruhan novel ini. Ketiga-tiga kaum ini berusaha untuk menjalani hidup bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat.
Novel ini memaparkan keadaan masyarakat pada awal abad ke 20 iaitu zaman kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu, orang India dari selatan benua India dan orang Melayu yang menjadi penghuni asal Tanah Melayu. Disitulah digambarkan situasi sosial, ekonomi dan politik. Ketiga-tiga kaum ini hidup dalam kemiskinan akibat penjajahan Inggeris yang mengamalkan sistem pemerintahan pecah-perintah. Orang Melayu sebagai petani, orang Cina sebagai pengusaha dan orang India bekerja di estet.
Ketiga-tiga kaum ini berusaha meningkatkan taraf hidup untuk merubah penghidupan mereka daripada kehidupan yang kurang baik menjadi lebih baik. Maka berlaku proses mobiliti sosial ke atas ketiga-tiga kaum terutama bagi generasi kedua dan ketiga. Mengikut Ting Chew Peh dalam bukunya Konsep Asas Sosiologi (1979), menjelaskan mobiliti sosial adalah satu proses perubahan individu atau kelompok daripada satu lapisan sosial kepada satu lapisan sosial yang lain dalam satu sistem stratifikasi sosial.

Isi dan Mesej dalam novel Interlok
Novel Interlok mempunyai empat bahagian utama. Pada bahagian pertama, pengarang menceritakan mengenai keluarga Seman. Ayahnya Pak Musa dan ibunya Mak Limah. Mereka tinggal di Kampung Nyior Condong. Pak Musa bekerja sebagai petani dan memiliki tanah dusun yang agak luas. Lantas dia dianggap antara orang berharta di kampung itu. Rahsia pemilikan sawah dan dusun ini terbongkar apabila Pak Musa meninggal dunia. Seman dan ibunya diminta meninggalkan rumah dan tanah yang mereka diduduki oleh tauke kedai bernama Cing Huat (Panjang). Rupanya semua tanah sawah dan dusun tersebut adalah kepunyaan Cing Huat. Cing Huat mempergunakan Pak Musa untuk membeli tanah orang Melayu, kerana Cing Huat tidak boleh membeli tanah kepunyaan orang Melayu.Tanpa diketahui oleh Mak Limah dan Seman, antara Cing Huat dan Pak Musa telah membuat perjanjian bertulis agar tanah tersebut diberikan kembali kepada Cing Huat sekiranya Pak Musa meninggal dunia. Seman yang tidak tahu menulis dan membaca terpaksa meninggalkan kampung itu bersama ibunya.
            Pada bahagian kedua pula, pengarang menceritakan mengenai keluarga Cing Huat. Cing Huat yang berusia 10 tahun dibawa oleh ayahnya bernama Kim Lock keturunan Hokien dari negara China (Tung San) datang Ke Rantau Selatan (Malaya) dengan menaiki kapal bersesak-sesak untuk mencari kehidupan baru. Apatah lagi faktor penolak di negaranya, kerana sudah beberapa musim sawah padinya tidak menjadi akibat bencana alam dan diserang oleh ribuan belalang. Tambahan pula pada ketika itu Paman Kok Leng yang pulang ke kampungnya yang menceritakan tentang kemudahan mencari wang di Rantau Selatan. Paman Kok Leng yang bertujuan untuk mencari pekerja yang sanggup bekerja di Rantau Selatan, mempengaruhi Kim Lok untuk pergi ke sana. Soal tambang pengangkutan boleh dibayar apabila telah bekerja nanti. Kim Lok bersetuju dan berangkat bersama anaknya Cing Huat dengan meninggalkan isteri di kampung. Setelah beberapa minggu belayar, akhirnya kapal yang mereka naiki sampai di Singapura (Sin-cia-pu). Di Singapura, Kim Lok bekerja sebagai kuli di pelabuhan, bertukar kerja menjadi penarik lanca sementara anaknya Cing Huat menjadi pelayan di kedai kopi. Kerana hendak mencari pendapatan lebih, Kim Lok pergi belayar ke Melaka dengan bantuan seorang kenalannya dan akhirnya sampai di Lukut bekerja di lombong bijih. Dengan simpanan yang ada Kim Lok menuju ke Pulau Pinang untuk mencari peluang membeli tanah. Kemudian dia pergi ke Kedah dan sampai di daerah kecil bernama Simpang Empat. Di tempat itu dia membuka kedai runcit yang akhirnya menjadi maju, kerana kedai tersebut menjadi tumpuan para petani dan pekerja estet di sekitarnya. Masa terus berlalu, kedai runcit yang semakin besar ini diteruskan oleh Cing Huat yang telah berumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Kim Lok tidak sempat menemui isterinya yang ditinggalkan di China(Tung San) kerana peperangan telah berlaku antara China dan Jepun pada ketika itu. Kim Lok akhirnya meninggal dunia akibat ketagihan candu kerana dipengaruhi oleh perempuan simpanannya Mei Hua yang akhirnya juga meninggal dunia. Cing Huat meneruskan hidup bersama isterinya bernama Tua Tao dengan empat orang anaknya, yang lelaki bernama Yew Hock dan Yew Seng, sementara yang perempuan bernama Poh Eng dan Poh Kheng.
Bahagian ketiga pula menceritakan mengenai keluarga Maniam. Maniam berasal dari desa Tricur Kerala, India. Maniam Pada ketika itu berusia 30 tahun datang ke Pulau Pinang atas kemahuannnya sendiri kerana mendengar cerita beberapa orang kampungnya yang telah bekerja di Pulau Pinang, mudah mencari wang di sana. Maniam yang telah beristeri bernama Ambika, tetapi tidak mempunyai anak (anak sulungnya meninggal dunia) terpaksa meninggalkan isterinya untuk mencari penghidupan baru dan berjanji akan mengirimkan wang setiap bulan. Di Pulau Pinang dia bekerja sebagai buruh pelabuhan. Setelah beberapa lama bekerja dia dapat mengirimkan wang menerusi rakannya bernama Pillay. Malangnya Pillay tidak menyampaikan wang tersebut kepada isterinya, menyebabkan akhirnya isterinya terpengaruh dengan pujukan Pillay untuk hidup bersamanya. Cerita ini di sampaikan oleh rakan sekampungnya bernama Raman yang datang ke Pulau Pinang. Maniam berasa kecewa kerana dia amat setia dengan isterinya lalu membawa diri ke Bagan Tuan Kecil dan bekerja di sebuah estet getah. Tidak Lama dia bekerja di estet tersebut Maniam berpindah bekerja di kebun milik orang Inggeris di Cangkat Lima. Di Estet getah ini dia bekerja dengan baik dan amat disayangi oleh tandil estet bernama Perumal. Maniam akhirnya berkahwin dengan Malini anak tandil Perumal. Namun rumah tangga mereka berkocak, kerana Suppiah yang kemudiannya bekerja di ladang yang sama membawa mulut menceritakan Maniam telah beristeri dan tidak bertanggungjawab terhadap isterinya. Berita tersebut sampai ke telinga Malini dan ayah mentuanya Perumal. Maniam yang tidak tahan dengan sindiran para pekerja estet terpaksa meninggalkan Malini yang amat dicintainya tambahan pula Malini pada waktu itu sedang mengandung anak pertama. Pada malam dia berangkat meninggalkan estet tersebut, dia diserang oleh beberapa orang yang memusuhinya sehingga pengsan. Dia hanya tersedar apabila seorang Melayu bernama Musa menyelamatkannya. Meraka menjadi sahabat baik dan bekerja di Kebun Cangkat Janggus, sehinggalah Musa mengambil keputusan untuk berhenti dan pulang ke kampungnya dengan alasan untuk berkahwin.
Pada bahagian terakhir pula, pengarang menceritakan mengenai Interlok yang membawa maksud penyatuan bagi ketiga-tiga keluarga tersebut. Pengarang menceritakan ketiga-tiga kaum ini menerusi generasi kedua dan ketiga saling bantu membantu dan saling menjalani hidup bertoleransi. Ia dapat dilihat menerusi beberapa episod. Pengarang menggunakan latar semasa perang Jepun dan semasa darurat iaitu kebangkitan Kominis Bintang Tiga. Diceritakan apabila Seman meninggalkan kampungnya Nyior Chondong dia bersama ibunya sampai ke Kebun Cangkat Janggus. Di situ dia bertemu Perumal yang menjadi tandil di estet tersebut. Semasa ditemu duga, Seman menceritakan asal usulnya dan nama ayahnya. Apabila Maniam mendengar nama ayah Seman iaitu Musa berasal dari Nyior Condong, Maniam teringatkan Musa yang telah menyelamatkannya selepas dia diserang. Maniam yang mengenang jasa ayah Seman terus menerimanya bekerja di ladang tersebut. Kerana peluang orang Melayu untuk bekerja di ladang amat terbatas kerana momokan Melayu malas oleh orang Inggeris.
Episod selanjutnya Maniam ditangkap oleh tentera Jepun, dia disoal siasat oleh seorang Inspektor muda bernama Ramakrisynan. Dalam sesi soal siasat akhirnya Maniam baru tahu bahawa Inspektor itu adalah anaknya yang ditinggalkan semasa dalam kandungan ibunya. Inspektor Maniam juga dapat menyelamatkan Mak Limah yang ditahan oleh Jepun. Apabila Jepun sampai di Kedah, tentera Jepun akan menangkap orang-orang yang disyakki menjadi ahli Bintang Tiga. Suatu malam Jepun datang ke kedai Cing Huat yang mengesyakki ada anaknya menjadi ahli Bintang Tiga. Poh Eng yang ketakutan lari keluar rumah dan diselamatkan oleh Seman lalu dibawa ke rumah tinggal bersama ibunya. Mak Limah akhirnya ditangkap Jepun kerana melindungi Poh Eng adik Yew Seng yang menjadi ahli Bintang Tiga. Nasib Mak Limah agak baik dia kemudian dilepaskan oleh Inspektor Ramakrisynan setelah diberitahu oleh ayahnya - Maniam, bahawa Mak Limah ialah ibu Seman anak kawan baiknya.
Kisah selanjutnya, apabila Inspektor Ramakrisynan menyelamatkan ayahnya Maniam, Yew Seng dan Poh Eng yang berhajat tidak ingin lagi menyertai pasukan Bintang Tiga. Hal ini berlaku apabila Jepun menyerah kalah, gerombolan kominis cuba berkuasa di Tanah Melayu. Inspektor Ramakrisynan yang ditugaskan oleh tentera British mengetuai serangan perkhemahan Bintang Tiga dan berjaya memusnahkan khemah gerombolan tersebut dan dapat menyelamatkan bapanya, Yew Seng dan Poh Eng.

Episod terakhir digambarkan oleh pengarang tiga manusia dari tiga suku kaum yang sebelumnya hidup penuh konflik akibat hidup di bawah penjajahan Jepun, Kominis dan Inggeris sama-sama menyambut hari kemerdekaan di Kuala Lumpur. Seman, Yew Seng berserta rombongan diketuai oleh Raman yang aktif dalam persatuan bertolak ke Kuala Lumpur dan kedatangan mereka nanti akan disambut oleh Inspektor Ramakrisynan yang telah bertugas di Kuala Lumpur tinggal bersama ayahnya Maniam yang sudah tinggal menetap bersama anaknya. Pengarang mengakhiri cerita dengan suasana harmoni ketiga-tiga watak yang mewakili tiga kaum menyambut kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

NILAI BUDAYA DALAM NOVEL INTERLOK

Penghasilan novel banyak memaparkan nilai budaya, khususnya dalam novel Interlok yang tulis oleh Abdullah Hussain. Nilai menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081) dalam Mohd Rashid Md Idris et. al bermaksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Menurutnya lagi, nilai dan etika masyarakat Melayu mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Berdasarkan novel yang dikaji, terdapat banyak nilai budaya yang diamalkan oleh kaum-kaum yang berbeza misalnya Melayu, Cina dan India yang hidup secara bermuafakat.

Menghormati orang tua
Budaya menghormati golongan yang lebih tua merupakan suatu nilai yang sangat ditekankan dalam kehidupan masyarakat majmuk. Sikap ini telah diamalkan sejak turun-temurun dan sewajarnya dikekalkan kepada generasi baru. Petikan di bawah merupakan salah satu nilai murni yang ada pada Seman sehingga dirinya digelar sebagai anak yang taat terhadap ibu bapa.
“Seman seorang anak yang tidak pernah melawan orang tua. Sejak kecil lagi dalam dirinya telag ditanam kesedaran tentang kuasa orang tua ke atas anaknya”.
(Interlok: halaman 15)
Memuliakan tetamu
Islam amat mementingkan persaudaraan, oleh itu para tetamu juga harus diberi layanan yang baik seperti mana hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ertinya, daripada Abu bin Umar r.a. Nabi S.A.W “Seorang Muslim adalah saudara kepada saudara seorang yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya”. Berikut merupakan contoh petikan memuliakan tetamu dalam novel Interlok.  
“Marilah makan dulu Seman. Nasi banyak ni,” Pak Utih mempelawa Seman.
(Interlok: halaman 20)
Lebai Man terkenal alimnya di kampung itu seperti Pak Utih yang terkenal tentang ubatnya, Walaupun dia datang dari Sumatera, tetapi orang-orang kampung itu tidak pernah menganggapnya orang asing. Dia diterima sebagai orang kampung itu sendiri.
(Interlok: halaman 32)
Mementingkan ilmu
Ilmu merupakan tunjang utama keperibadian seseorang. Sekiranya individu tersebut memiliki wang yang banyak tetapi tidak memiliki ilmu yang bermanfaat nescaya dirinya tergolong dalam kalangan orang yang rugi. Pepatah Arab ada menyatakan bahawa “tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”. Oleh itu, ilmu penting terhadap semua golongan manusia di dunia ini mengira warna kulit, agama mahupun bangsa.
“Saya tidak keberatan kalau budak-budak lelaki itu disuruh mengaji di sekolah. Memang kita semua mesti menuntut ilmu, di mana saja ilmu itu ada”.
(Interlok: halaman 44)
Penduduk-penduduk Cina yang kira-kira lima belas keluarga itu berasa sudah sampai masanya mereka mendirikan sebuah sekolah untuk mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis bahasa kebangsaannya.
(Interlok: halaman 221)
Saling bekerjasama
Perpaduan dan kerjasama dalam kalangan kaum, bangsa dan warna kulit yang berbeza amat penting dalam melahirkan masyarakat majmuk. Berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Asalkan saudara se-Islam, maka hendaklah mereka bersatu padu dan bantu-membantu. Apabila terdapat mana-mana bahagian dalam kalangan umat Islam yang ditimpa musibah, maka hendaklah orang Islam yang lain turut merasakan musibah tersebut dan memberikan pertolongan kepadanya”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semangat bersatu padu amat dititikberatkan dalam sesebuah komuniti dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Petikan berikut merupakan contoh semangat kerjasama yang digambarkan dalam novel Interlok.

Beberapa orang lain sedang mengupas kelapa, memasang tungku. Orang-orang perempuan  menyiang ayam di tepi perigi sambil bercakap-cakap sesama sendiri.
(Interlok: halaman 55)
Malam kedua hujan turun lagu, tetapi tidak selebat malam pertama. Orang-orang yang tidur di atas geladak itu sudah mulai membuat persiapan untuk menghadapi serangan hujan itu, mereka mengikat kain terpalnya dengan kuat dan di sebelah menyebelah kain terpal mereka ditutup dengan kain-kain yang dapat mereka capai dari geladak itu.
(Interlok: halaman 137)
Enam bulan kemudian Maniam pun dikahwinkan dengan Malini dalam satu upacara yang sederhana. Pada hari itu kuli-kuli di perkebunan kelapa itu yang kesemuanya terdiri daripada orang-orang Tamil telah merayakan perayaan itu dengan satu pesta yang meriah. Semua kuli-kuli telah bergotong-royong untuk menjadikan majlis perkahwinan itu suatu hari yang patut dikenang oleh tiap-tiap orang.
(Interlok: halaman 272)
Tolong-menolong
Budaya tolong-menolong merupakan aspek utama untuk melahirkan masyarakat yang harmoni. Berdasarkan novel ini juga, pengarang ada menyelitkan semangat tolong-menolong yang melibatkan golongan lemah dan ditindas oleh pihak atasan. Namun, akhirnya mereka bangkit semula dengan semangat juang yang tinggi untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan gelora.
Waktu dia dalam kesusahan yang tidak tentu arah, KimSui datang menunjukkan jalan kepadanya. Kalau tidak kerana Kim Sui tentulah dia masih lagi menjadi kuli mengangkat najis di Singapura. Sekarang ini ketika dia sudah putus asa Kim Sui pula datang memberi jalan.
(Interlok: halaman 192)

“Apa ni, Zim? Aku dengar kau telah mengutip derma mahu menolong mendirikan rumah untuk aku”.
(Interlok: halaman 110)
Mentaati suami
Golongan lelaki dianggap ketua dalam sesebuah institusi keluarga. Oleh itu, golongan perempuan mestilah menghormati dan mentaati suami mereka. Berikut merupakan contoh petikan mentaati suami yang terdapat dalam novel Interlok.
Halimah membawa sekeranjang sarapan untuk suaminya. Dalam keranjang itu ada pulut, ada kelapa yang diparut, ada gula dan kopi satu teko.
(Interlok: halaman 37)
Malini terus bekerja, sampai dia mengandung lapan bulan. Dengan membawa perut yang sarat dia masih bekerja. Kadang-kadang Maniam berasa khuatir kalau isterinya itu melahirkan anak jauh daripada pandangannya. Maniam pernah ingin membantu isterinya tetapi dia menolak.
(Interlok: halaman 276)

Setia
Sikap setia turut diketengahkan dalam novel ini, iaitu melibatkan suami isteri yang berjauhan semata-mata untuk mencari rezeki di perantauan.
Maniam tidak pernah renggang dengan isterinya itu. Dia pun bekerja dengan rajin, walaupun kadang-kadang pekerjaan itu bukan tugasnya. Kerajinannya semata-mata kerana dia mahu hidup bahagia dengan Malini.
(Interlok: halaman 276)
Dia tahu anaknya itu rindu pada ibunya., tetapi kerana sikapnya yang suka mengambara mengikut bapanya maka dia tidak pernah menyebut apa-apa tentang ibunya itu. Dia sendiri rindu pada isterinya.
(Interlok: halaman 194)
Maniam serupa dengan orang-orang India lain, tidak pernah khuatir tentang keselamatan isterinya. Ada di antara temannya sudah dua tahun tidak pulang, tetapi sekali pulang isterinya masih tetap menunggu. Maniam juga masih tetap setia pada isterinya.
(Interlok: halaman 260)
Kasih sayang  
Hubungan anak dan ibu bapa ibarat carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Berdasarkan novel Interlok, pengarang turut menggambarkan kasih sayang antara anak dan ayah yang sanggup hidup bersama walaupun pelbagai halangan yang menimpa. Hal ini dibuktikan apabila Kim Lock tetap tegas dengan pendiriannya untuk melindungi anaknya. Sebaliknya tidak akan menjual anaknya walaupun dia diberi tawaran yang istimewa. Bukan itu sahaja, sebagai anak yang taat Cing Huat selalu mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka tidak kira walau di mana ua berada.
Kim Lock tidak beberapa memerhatikan percakapan kedua-dua orang itu, dia memandang pada anaknya yang sedang mengangkat cawan kopi kosong ke belakang. Kemudian anaknya membalas pandangannya dengan senyuman riang. Kim Lock besar hatinya. Dia tidak mahu menjual anaknya itu.
(Interlok: halaman 152)
Cing Huat sudah berdoa. Setiap pagi dia bangun daripada tidur sebelum matahari terbit, dia membongkok kepada gambar Kwan Yin, meminta doa supaya dewi perempuan itu menyelamatkan bapanya, menyelamatkan ibunya dan juga menyelamatkan dia dan kedainya.
(Interlok: halaman 206)

Cinta akan tanah air
Kepelbagaian kaum di negara ini asalnya daripada penghijrahan bangsa-bangsa asing seperti India dan Cina untuk mendapatkan sumber rezeki bagi menyara kehidupan mereka. Melalui novel ini, pengarang juga ada menyebut tentang keinginan dan kerinduan Cing Huat terhadap kampung halamannya di ngeri China. Antara contoh petikan adalah seperti berikut :
Entah kenapa ingatan Tauke Cing Huat hari ini selalu sahaja pada negeri leluhurnya. Sedang makan itu pun ingatannya masih ke sana juga.
(Interlok: halaman 231)
Mentaati ibu bapa
Sebagai anak yang taat kita mestilah menghormati ibu bapa. Justeru, dalam novel ini turut disertakan nilai mentaati perintah ibu bapa dengan mengikut segala kehendak baiknya dan meninggalkan segala perkara yang tidak disukai mereka. Berikut merupakan contoh petikan yang menggambarkan Poh Eng mentaati perintah ibunya.
Selesai menolong ibunya Poh Eng pun mengambil sulamannya pula dan mulai menyulam dengan tekun di meja makan berhampiran  dengan tempat adiknya Poh Kheng, membaca.
(Interlok: halaman 235)
Nasihat-menasihati
Novel Interlok juga menggambarkan sikap masyarakatnya yang gemar memberi nasihat antara satu sama lain demi keharmonian pada masa akan hadapan.
Dia cuba memejamkan matanya, tetapi semakin dipejam semakin jelas gambaran yang dapat dilihat dalam khayalannya, dia kembali melihat bapanya, semasa hidupnya bapanya selalu berkata kepadanya, “Kau jangan melawan ibu bapa, biar bagaimana pun jauhnya kau merantau ke negeri lain au mesti kembali ke negeri sendiri kerana di sanalah kubur datuk nenekmu”.
(Interlok: halaman 243)
Kerajinan
Novel Interlok juga ada menyatakan tentang kerajinan yang dimiliki oleh golongan-golongan sering mengalami masalah kesempitan hidup sehingga mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mendapatkan sesuap nasi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Misalnya dalam petikan berikut ada menyatakan tentang sikap rajin yang dimiliki oleh Maniam.
Penduduk sudah padat dan Maniam berasa sudah terlalu sempit baginya untuk mencari makan. Dia mengambil upah mengerjakan tanah orang lain, upahnya dengan beras tetapi hanya cukup untuk beberapa bulan. Lepas tu dia terpaksa cari kerja lain.
(Interlok: halaman 254)
Adat perkahwinan
Contoh petikan berikut menunjukkan wujudnya budaya dalam upacara perkahwinan bagi kaum India.
Pada pagi upacara perkahwinan itu akan dilangsungkan, Malini telah menjalani pelbagai upacara penyucian diri.
(Interlok: halaman 272)