Penghasilan novel banyak memaparkan nilai budaya,
khususnya dalam novel Interlok yang tulis oleh Abdullah Hussain. Nilai menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081) dalam Mohd Rashid Md Idris et. al bermaksud
darjat, kualiti, mutu dan taraf. Menurutnya lagi, nilai dan etika masyarakat
Melayu mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap mempunyai nilai
yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Berdasarkan novel yang
dikaji, terdapat banyak nilai budaya yang diamalkan oleh kaum-kaum yang berbeza
misalnya Melayu, Cina dan India yang hidup secara bermuafakat.
Menghormati orang tua
Budaya menghormati golongan yang lebih tua merupakan
suatu nilai yang sangat ditekankan dalam kehidupan masyarakat majmuk. Sikap ini
telah diamalkan sejak turun-temurun dan sewajarnya dikekalkan kepada generasi
baru. Petikan di bawah merupakan salah satu nilai murni yang ada pada Seman
sehingga dirinya digelar sebagai anak yang taat terhadap ibu bapa.
“Seman seorang anak yang tidak pernah melawan orang tua.
Sejak kecil lagi dalam dirinya telag ditanam kesedaran tentang kuasa orang tua
ke atas anaknya”.
(Interlok: halaman 15)
Memuliakan tetamu
Islam amat mementingkan persaudaraan, oleh itu para
tetamu juga harus diberi layanan yang baik seperti mana hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim. Ertinya, daripada Abu bin Umar r.a. Nabi S.A.W “Seorang
Muslim adalah saudara kepada saudara seorang yang lain, ia tidak menzaliminya
dan tidak menghinanya”. Berikut merupakan contoh petikan memuliakan tetamu
dalam novel Interlok.
“Marilah makan dulu Seman. Nasi banyak ni,” Pak Utih
mempelawa Seman.
(Interlok: halaman 20)
Lebai Man terkenal alimnya di kampung itu seperti Pak
Utih yang terkenal tentang ubatnya, Walaupun dia datang dari Sumatera, tetapi
orang-orang kampung itu tidak pernah menganggapnya orang asing. Dia diterima
sebagai orang kampung itu sendiri.
(Interlok: halaman 32)
Mementingkan ilmu
Ilmu merupakan tunjang utama keperibadian seseorang.
Sekiranya individu tersebut memiliki wang yang banyak tetapi tidak memiliki
ilmu yang bermanfaat nescaya dirinya tergolong dalam kalangan orang yang rugi.
Pepatah Arab ada menyatakan bahawa “tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”.
Oleh itu, ilmu penting terhadap semua golongan manusia di dunia ini mengira
warna kulit, agama mahupun bangsa.
“Saya tidak keberatan kalau budak-budak lelaki itu
disuruh mengaji di sekolah. Memang kita semua mesti menuntut ilmu, di mana saja
ilmu itu ada”.
(Interlok: halaman 44)
Penduduk-penduduk Cina yang kira-kira lima belas keluarga
itu berasa sudah sampai masanya mereka mendirikan sebuah sekolah untuk mengajar
anak-anak mereka membaca dan menulis bahasa kebangsaannya.
(Interlok: halaman 221)
Saling bekerjasama
Perpaduan dan kerjasama dalam kalangan kaum, bangsa dan
warna kulit yang berbeza amat penting dalam melahirkan masyarakat majmuk.
Berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Asalkan saudara se-Islam, maka
hendaklah mereka bersatu padu dan bantu-membantu. Apabila terdapat mana-mana
bahagian dalam kalangan umat Islam yang ditimpa musibah, maka hendaklah orang
Islam yang lain turut merasakan musibah tersebut dan memberikan pertolongan
kepadanya”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semangat bersatu padu amat
dititikberatkan dalam sesebuah komuniti dalam melahirkan modal insan yang
berkualiti. Petikan berikut merupakan contoh semangat kerjasama yang
digambarkan dalam novel Interlok.
Beberapa orang lain sedang mengupas kelapa, memasang
tungku. Orang-orang perempuan menyiang
ayam di tepi perigi sambil bercakap-cakap sesama sendiri.
(Interlok: halaman 55)
Malam kedua hujan turun lagu, tetapi tidak selebat malam
pertama. Orang-orang yang tidur di atas geladak itu sudah mulai membuat
persiapan untuk menghadapi serangan hujan itu, mereka mengikat kain terpalnya
dengan kuat dan di sebelah menyebelah kain terpal mereka ditutup dengan
kain-kain yang dapat mereka capai dari geladak itu.
(Interlok: halaman 137)
Enam bulan kemudian Maniam pun dikahwinkan dengan Malini
dalam satu upacara yang sederhana. Pada hari itu kuli-kuli di perkebunan kelapa
itu yang kesemuanya terdiri daripada orang-orang Tamil telah merayakan perayaan
itu dengan satu pesta yang meriah. Semua kuli-kuli telah bergotong-royong untuk
menjadikan majlis perkahwinan itu suatu hari yang patut dikenang oleh tiap-tiap
orang.
(Interlok: halaman 272)
Tolong-menolong
Budaya tolong-menolong merupakan aspek utama untuk
melahirkan masyarakat yang harmoni. Berdasarkan novel ini juga, pengarang ada
menyelitkan semangat tolong-menolong yang melibatkan golongan lemah dan
ditindas oleh pihak atasan. Namun, akhirnya mereka bangkit semula dengan
semangat juang yang tinggi untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan gelora.
Waktu dia dalam kesusahan yang tidak tentu arah, KimSui
datang menunjukkan jalan kepadanya. Kalau tidak kerana Kim Sui tentulah dia
masih lagi menjadi kuli mengangkat najis di Singapura. Sekarang ini ketika dia
sudah putus asa Kim Sui pula datang memberi jalan.
(Interlok: halaman 192)
“Apa ni, Zim? Aku dengar kau telah mengutip derma mahu
menolong mendirikan rumah untuk aku”.
(Interlok: halaman 110)
Mentaati suami
Golongan lelaki dianggap ketua dalam sesebuah institusi
keluarga. Oleh itu, golongan perempuan mestilah menghormati dan mentaati suami
mereka. Berikut merupakan contoh petikan mentaati suami yang terdapat dalam
novel Interlok.
Halimah membawa sekeranjang sarapan untuk suaminya. Dalam
keranjang itu ada pulut, ada kelapa yang diparut, ada gula dan kopi satu teko.
(Interlok: halaman 37)
Malini terus bekerja, sampai dia mengandung lapan bulan.
Dengan membawa perut yang sarat dia masih bekerja. Kadang-kadang Maniam berasa
khuatir kalau isterinya itu melahirkan anak jauh daripada pandangannya. Maniam
pernah ingin membantu isterinya tetapi dia menolak.
(Interlok: halaman 276)
Setia
Sikap setia turut diketengahkan dalam novel ini, iaitu melibatkan suami
isteri yang berjauhan semata-mata untuk mencari rezeki di perantauan.
Maniam tidak pernah renggang dengan isterinya itu. Dia
pun bekerja dengan rajin, walaupun kadang-kadang pekerjaan itu bukan tugasnya.
Kerajinannya semata-mata kerana dia mahu hidup bahagia dengan Malini.
(Interlok: halaman 276)
Dia tahu anaknya itu rindu pada ibunya., tetapi kerana
sikapnya yang suka mengambara mengikut bapanya maka dia tidak pernah menyebut
apa-apa tentang ibunya itu. Dia sendiri rindu pada isterinya.
(Interlok: halaman 194)
Maniam serupa dengan orang-orang India lain, tidak pernah
khuatir tentang keselamatan isterinya. Ada di antara temannya sudah dua tahun
tidak pulang, tetapi sekali pulang isterinya masih tetap menunggu. Maniam juga
masih tetap setia pada isterinya.
(Interlok: halaman 260)
Kasih sayang
Hubungan anak dan ibu bapa ibarat carik-carik bulu ayam
lama-lama bercantum juga. Berdasarkan novel Interlok, pengarang turut
menggambarkan kasih sayang antara anak dan ayah yang sanggup hidup bersama
walaupun pelbagai halangan yang menimpa. Hal ini dibuktikan apabila Kim Lock
tetap tegas dengan pendiriannya untuk melindungi anaknya. Sebaliknya tidak akan
menjual anaknya walaupun dia diberi tawaran yang istimewa. Bukan itu sahaja,
sebagai anak yang taat Cing Huat selalu mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka
tidak kira walau di mana ua berada.
Kim Lock tidak beberapa memerhatikan percakapan kedua-dua
orang itu, dia memandang pada anaknya yang sedang mengangkat cawan kopi kosong
ke belakang. Kemudian anaknya membalas pandangannya dengan senyuman riang. Kim Lock
besar hatinya. Dia tidak mahu menjual anaknya itu.
(Interlok: halaman 152)
Cing Huat sudah berdoa. Setiap pagi dia bangun daripada
tidur sebelum matahari terbit, dia membongkok kepada gambar Kwan Yin, meminta
doa supaya dewi perempuan itu menyelamatkan bapanya, menyelamatkan ibunya dan
juga menyelamatkan dia dan kedainya.
(Interlok: halaman 206)
Cinta akan tanah air
Kepelbagaian kaum di negara ini asalnya daripada
penghijrahan bangsa-bangsa asing seperti India dan Cina untuk mendapatkan
sumber rezeki bagi menyara kehidupan mereka. Melalui novel ini, pengarang juga
ada menyebut tentang keinginan dan kerinduan Cing Huat terhadap kampung
halamannya di ngeri China. Antara contoh petikan adalah seperti berikut :
Entah kenapa ingatan Tauke Cing Huat hari ini selalu
sahaja pada negeri leluhurnya. Sedang makan itu pun ingatannya masih ke sana
juga.
(Interlok: halaman 231)
Mentaati ibu bapa
Sebagai anak yang taat kita mestilah menghormati ibu bapa.
Justeru, dalam novel ini turut disertakan nilai mentaati perintah ibu bapa
dengan mengikut segala kehendak baiknya dan meninggalkan segala perkara yang
tidak disukai mereka. Berikut merupakan contoh petikan yang menggambarkan Poh
Eng mentaati perintah ibunya.
Selesai menolong ibunya Poh Eng pun mengambil sulamannya
pula dan mulai menyulam dengan tekun di meja makan berhampiran dengan tempat adiknya Poh Kheng, membaca.
(Interlok: halaman 235)
Nasihat-menasihati
Novel Interlok juga menggambarkan sikap masyarakatnya
yang gemar memberi nasihat antara satu sama lain demi keharmonian pada masa
akan hadapan.
Dia cuba memejamkan matanya, tetapi semakin dipejam
semakin jelas gambaran yang dapat dilihat dalam khayalannya, dia kembali
melihat bapanya, semasa hidupnya bapanya selalu berkata kepadanya, “Kau jangan
melawan ibu bapa, biar bagaimana pun jauhnya kau merantau ke negeri lain au
mesti kembali ke negeri sendiri kerana di sanalah kubur datuk nenekmu”.
(Interlok: halaman 243)
Kerajinan
Novel Interlok juga ada menyatakan tentang kerajinan yang
dimiliki oleh golongan-golongan sering mengalami masalah kesempitan hidup
sehingga mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mendapatkan sesuap nasi
untuk meneruskan kelangsungan hidup. Misalnya dalam petikan berikut ada
menyatakan tentang sikap rajin yang dimiliki oleh Maniam.
Penduduk sudah padat dan Maniam berasa sudah terlalu
sempit baginya untuk mencari makan. Dia mengambil upah mengerjakan tanah orang
lain, upahnya dengan beras tetapi hanya cukup untuk beberapa bulan. Lepas tu
dia terpaksa cari kerja lain.
(Interlok: halaman 254)
Adat perkahwinan
Contoh petikan berikut menunjukkan wujudnya budaya dalam
upacara perkahwinan bagi kaum India.
Pada pagi upacara perkahwinan itu akan dilangsungkan,
Malini telah menjalani pelbagai upacara penyucian diri.
(Interlok: halaman 272)
No comments:
Post a Comment