Sunday 24 May 2015

GURINDAM DUA BELAS KARYA RAJA ALI HAJI

PENGENALAN

 Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun berasal daripada bahasa asing, tetapi dalam perkembangan puisi Melayu, gurindam yang berkembang dalam tradisi lisan Melayu mempunyai bentuknya yang tersendiri dan berbeza dengan gurindam dalam bahasa Sanskrit. Selalunya gurindam Melayu mempunyai bahasa yang padat dan bernas serta isinya lebih cenderung kepada riang, dan sukacita, sindiran dan gurauan.
             Menurut Harun Mat Piah (1989), gurindam merupakan sejenis puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris serangkap dan mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris dengan rimanya. Biasanya, beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapi keseluruhan idea yang ingin disampaikan oleh pengarang.
         Seperti seloka, gurindam bukanlah puisi yang selalu digunakan oleh masyarakat Melayu. Bentuk ini lebih formal penggunaannya. Puisi ini mungkin digunakan dalam majlis-majlis tertentu. Oleh itu, agak sukar untuk mencari contoh gurindam kecuali yang wujud dalam bentuk tulisan seperti ‘Gurindam Dua Belas” yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Berdasarkan isinya, gurindam dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk pendidikan dan hiburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti, estetika dan keintelektualan masyarakat Melayu lama dalam menangani apa-apa situasi dalam kehidupan mereka.
            Gurindam Dua Belas mengandungi 12 fasal  dan mempunyai cirinya yang tersendiri. Terdiri daripada rima aa bagi setiap rangkap yang mempunyai dua baris. Setiap baris mempunyai dua hingga enam patah perkataan dan dalam gurindam ini mengandungi perkataan bahasa Arab. Mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam gurindam ini ialah unsur nasihat berkaitan keagamaan kepada masyarakat Melayu dan islam. Pengarang menasihati masyarakat supaya taat kepada perintah Allah dan meninggalkan larangannya.


FALSAFAH
Dari sudut etimologi, perkataan falsafah berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘philo’ bermaksud cinta dan ‘sophia’ bermaksud hikmah. Boleh diringkaskan bahawa falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Mekanisme falsafah secara mudahnya dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam untuk membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar tentang sesuatu perkara.
          Bidang falsafah yang sering diberikan penekanan dalam sesebuah karya ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi , politik dan logik. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa falsafah ialah satu kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam. Karya sastera yang dihasilkan yang membicarakan sesuatu subjek, biasanya akan membicarakan sesuatu itu secara artistik dan estetik, maka di situlah tersimpannya mutiara falsafah. (Mana Sikana, 1996).
         Pengarang memaparkan falsafah sosial iaitu dengan menyampaikan pesanan kepada pembaca mengenai kehidupan sosial masyarakat. Pada fasal ke enam pengarang menyebut tentang pergaulan, yang menyarankan kita supaya mencari sahabat yang baik dan mencari guru yang dapat mengajar kita perkara yang baik. Pada fasal ketujuh pula, pengarang memberi nasihat agar ibu bapa  membangunkan akhlak dan budi pekerti anak-anak mereka sejak dari kecil lagi dengan sebaik-baiknya kerana jika tidak diikut, maka mereka akan mendapan kesusahan di kemudian hari. Contoh :

Ini gurindam pasal yang keenam:
Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi.

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:
Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.


PEMIKIRAN 
Pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan oleh pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri untuk memilih bahan, mengejapkan dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Bahagian ini pengkaji telah mewacanakan pemikiran dalam Gurindam 12.
            Pemikiran yang terdapat di sebalik Gurindam 12 ini ialah tanggungjawab seseorang individu dalam melaksanakan perintah Allah. Sebagai orang yang beragama Islam, kita perlu melaksanakan kewajipan sebagai orang Muslim seperti yang diperintahkan Allah. Hal ini bertujuan membuktikan kepatuhan kita terhadap Allah. Tanggungjawab yang dimaksudkan ialah mematuhi rukun Islam dan rukun iman serta tanggungjawab terhadap diri sendiri dan agama sebagai orang Islam dengan penuh rasa ketakwaan.
            Melaksanakan tanggungjawab kepada-Nya sebagai landasan untuk mendapat kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Kesempurnaan di dunia dari sudut jasmani dan rohani amat penting untuk mendapatkan ketenangan di akhirat. Contoh bait Gurindam 12 yang menjelaskan pemikiran karya ini dapat dilihat pada Fasal 1 dan fasal 2 :
Ini gurindam pasal yang pertama
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudarat.

Ini gurindam pasal yang kedua
Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

         Maksud fasal pertama gurindam tersebut ialah memberi nasihat tentang agama yang perlu diutamakan dalam kehidupan dengan menjauhi perkara mungkar dengan mengingati pembalasan di akhirat. Pada fasal kedua pula, penulis tetap menegaskan prinsipnya dalam kepatuhan terhadap Tuhan iaitu dengan memasukkan kepentingan rukun Islam di dalamnya. Penghayatan yang mendalam terhadap keseluruhan isi gurindam ini dapat menimbulkan pemikiran sebenar yang ada pada Raja Ali Haji untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.
     Walaupun begitu, bukan pada kedua-dua fasal ini sahaja terdapat pemikiran tentang tanggungjawab sebagai seorang individu yang beragama Islam, sebaliknya keseluruhan isi Gurindam 12 ini memberi nasihat dan bimbingan ke arah kesempurnaan manusia. Hal ini terbukti apabila dilihat pada fasal kedua belas, penulis mengingatkan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah sehinggalah ke saat kematian pun kita perlu berbakti kepada Allah.
            Selain itu, terdapat juga pemikiran Raja Ali Haji mengenai hakikat manusia sebagai makhluk yang perlu menambah ilmu pengetahuan tentang manusia di bumi ini. Pemikiran beliau membawa warna tersendiri dengan pengungkapan yang menarik dan tetap berilmiah kerana apabila ditapis terdapat nilai luhur yang terkandung di dalamnya.
            Melalui huraian yang ada dalam Gurindam 12, kita dapat lihat bahawa Raja Ali Haji seorang yang sangat menekankan kesucian jiwa manusia sebagai langkah utama untuk menuju kebahagian yang abadi. Penekanan terhadap kesucian jiwa manusia ini mempunyai hubungan yang langsung dengan Tuhan dan masyarakat lain di sekeliling kita. Oleh itu, pemikiran beliau yang hebat tidak dapat disangkal lagi oleh sesiapa pun terutamanya dalam Gurindam 12.


KEPENGARANGAN
Kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan puncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sift keperibadian masing-masing. Pengukuhan merupakan usaha pematangan, pengecapan dan penyempurnaan dalam berkarya. Pengarang yang memiliki nilai-nilai keunggulan tidak pernah berpuas hati dengan karya mereka, justeru pembetulan demi pembetulan dilakukan sehinggalah terlahirnya sebuah karya yang unggul.
          Begitu juga dengan Raja Ali Haji, beliau merupakan seorang tokoh karya agung yang terulung. Beliau dianggap sebagai pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air. Ilmu agama yang mendalam dalam dirinya dapat dilihat melalui Gurindam 12 yang dikaji. Penulis sangat teliti dalam menghasilkan gurindam ini. Suruhan, larangan, peringatan, rukun, dan nasihat yang digarap dalam gurindam ini telah dikaji dahulu sebelum lahirnya gurindam ini.
         Selain itu, penghasilan Gurindam 12 juga dipengaruhi oleh riwayat hidup yang berkaitan dengan pengarang itu sendiri. Pengaruh jelas yang dapat dilihat ialah kehidupan keluarga bangsawan yang memiliki tradisi keagamaan serta keilmuan yang kuat dapat dilihat kepada ayahnya yang merupakan seorang pengarang yang terkenal di Riau dan mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang keagamaan. Beliau sendiri hidup dalam lingkungan suasana intelektual. Oleh itu, pengaruh tersebut dapat dilihat dengan jelas dalam karya Raja Ali Haji.
          Pengarang mempunyai ilmu agama yang tinggi, jadi beliau menghasilkan Gurindam 12 dengan menggunakan laras-laras bahasa Melayu dan Arab yang betul bagi menekankan sesuatu perkara yang ingin disampaikan sebagai nasihat kepada khalayak. Pengarang begitu peka terhadap balasan-balasan ke atas umat manusia yang melakukan kemungkaran. Malah pengarang juga begitu menekankan segala asuhan dan arahan yang diajarkan oleh nabi kita supaya dijadikan pedoman hidup.
            Pada keseluruhannya, dapat dilihat bahawa Gurindam 12 ini terdiri daripada tiga bahagian iaitu bahagian pembukaan, isi, dan penutup yang ringkas menerangkan bahawa gurindam tersebut telah tamat. Bentuk bahasa asli yang digunakan dalam gurindam ini ialah bahasa Arab-Melayu. Terdapat ilmu tasawuf yang sangat padat, malah terdapat beberapa orang pengkaji yang menafsirkan bahawa Gurindam 12 ini adalah karya sufi kerana terdapat banyak terjemahan kreatif dari hadis yang dikenali oleh ahli sufi atau alim ulama.


 ESTETIKA
Pendekatan estetik ialah penilaian teks sastera yang merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatan. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, dan kegembiraan yang merujuk kepada manfaat keindahan dalam sesebuah karya. Cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya akan menyerlahkan rasa keindahan kepada pembaca melalui penghayatan yang mendalam. 
            Pengarang bijak menggunakan bahasa dalam menghasilkan keindahan dalam gurindam 12. Sebagai contoh dalam fasal tiga hingga empat, pengarang berbicara tentang diri manusia. Fasal ketiga, pengarang menggunakan fungsi pancaindera untuk menyampaikan pesanan kepada pembaca. ‘Mata’ disamakan dengan ‘cita-cita’ atau keinginan pada baris 1 dan 2, dengan mata kita dapat melihat segala-galanya sehingga menimbulkan keinginan. Cita-cita dalam konteks ini ialah keinginan yang tidak baik. ‘Kuping’ disamakan dengan ‘khabar’ pada baris 3 dan 4. Hal ini kerana, melalui telinga kita akan mendengar bermacam-macam khabar dan pengarang menyatakan fungsi sebenar telinga untuk dikaitkan dengan perlakuan manusia yang selari dengan fungsi anggota badan. Sekiranya pancaindera dijaga, maka perlakuan kita turun dijaga dengan baik. Contoh :
Ini gurindam pasal yang ketiga:
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.

                Dalam pasal ketujuh terdapat pasangan kata yang bersinonim, misalnya ‘berkata-kata’ dan ‘dusta’, ‘dilatih’ dan ‘letih’, ‘tidur’ dan ‘umur’, perkataan yang ‘lemah lembut’ dan ‘orang mengikut’, ‘kasar’ dan ‘gusar’. Kata berkata-kata bererti ‘berbual‘ dan bual adalah dusta. Kata dilatih dan letih mempunyai komponen makna yang sama iaitu ‘letih‘. Orang yang berlatih akan letih. Kata tidur bererti ‘istirahat tubuh dan kesedaran‘. Kata umur bererti ‘lama hidup‘ atau ‘usia‘. Kedua kata itu mempunyai komponen makna ‘hidup‘. Orang yang tidur adalah orang yang hidup. Frasa ”perkataan yang lemah lembut” bererti ‘perkataan yang halus‘. Frasa ‘orang yang mengikut‘ bererti ‘orang yang tunduk atau taat‘. Orang yang taat adalah mereka yang berjiwa lembut. Kedua kata itu mempunyai komponen makna ‘halus‘. Contohnya :

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:
Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.

            Penggunaan istilah yang dekat dengan pembaca membuatkan pembaca mudah faham dan keindahan itu dapat dihayati dengan sebaiknya. Pengarang begitu menghargai setiap pemberian Tuhan dengan menggunakannya untuk menyampaikan nasihat kepada pembaca. Keindahan garapan bahasa, istilah dan simbol makna yang digunakan dapat memberikan bayangan dan dorongan kepada pembaca untuk memahami setiap bait kata di dalam gurindam ini dengan tenang dan baik.
            Gaya bahasa juga merupakan nilai estetika yang diterapkan dalam sesebuah karya. Unsur bahasa yang digunakan menggambarkan jati diri penulis kerana pembaca dapat mengenali diri pengarang melalui penggunaan gaya bahasa dalam teks yang dihayati. Gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata yang indah dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu, pengarang, fikiran dan tujuan sesebuah karya dihasilkan.
            Seterusnya, penggunaan sinkof turut digunakan oleh pengarang untuk menyingkatkan perkataan yang digunakan dalam gurindam ini. Antara perkataan yang disingkatkan ialah ‘tak’ dan ‘mu’ . Selain itu, gaya bahasa diksi iaitu pemilihan dan penyusunan kata-kata oleh pengarang dalam karyanya. Dalam Gurindam 12, pengarang menggunakan bahasa Arab dan bahasa Melayu yang mudah difahami oleh pembaca seperti perkataan :
Bahasa Arab
·         Ma’rifah dan bakhil.
            Gaya bahasa anafora pula ialah pengulangan kata di awal baris. Anafora banyak digunakan oleh pengarang dalam gurindam ini. Hampir setiap fasal pengarang menggunakan gaya bahasa anafora untuk menghasilkan emosi yang kuat kepada pembaca. Contoh diambil pada fasal kesebelas.

Ini gurindam pasal yang kesebelas:
Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hujjah.
Hendak dimalui,
jangan memalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.

             Penggunaan bahasa yang kasar iaitu gaya bahasa disfemisme turut digunakan oleh pengarang dalam Gurindam 12. Hal ini bertujuan menyatakan bahawa sesuatu yang buruk itu tidak harus dilakukan kerana akan dipandang hina oleh masyarakat dan dimurkai Allah. Sebagai contohnya perkataan ‘ketur’ yang membawa maksud ‘tempat meludah’. Perkataan tersebut digunakan untuk menggambarkan keburukan sikap bercakap kotor.
Ini gurindam pasal yang keempat:
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi



PENUTUP
Raja Ali Haji merupakan tokoh karya agung yang telah banyak menyumbangkan bakti dalam dunia penulisan. Beliau telah banyak menulis karya dalam pelbagai bidang seperti keagamaan, kesusasteraan, bahasa, dan sejarah. Penguasaan beliau dalam pelbagai bidang mampu memberikan kekuatan pada setiap karya yang dihasilkan. Beliau menghasilkan karya yang kreatif dan mempunyai penghayatan yang mendalam dari sudut pemikiran para intelektual.
            Gurindam Dua Belas adalah satu karya yang diciptakan dengan teliti dan rapi oleh Raja Ali Haji. Kesungguhan beliau dalam membimbing masyarakat Melayu dapat dilihat dalam gurindam ini dengan jelas sekali. Melalui gurindam ini, pengarang menyampaikan ilmu tasawuf yang bersumberkan dari ajaran agama yang sebenar kepada pembaca. Ilmu tasawuf juga melingkungi pendidikan moral kepada masyarakat supaya tidak terlalu mengikut hawa nafsu dalam melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka.
            Oleh itu, nasihat-nasihat yang disampaikan oleh Raja Ali Haji berdasarkan fenomena latar masyarakat Melayu pada masa itu perlulah dijadikan pedoman kepada semua pembaca. Selain itu, keindahan bahasa dan nilai estetika yang digarap oleh pengarang untuk menghasilkan karya ini perlu dijadikan contoh kepada pengkarya-pengkarya muda agar dapat menghasilkan sesuatu karya yang mempunyai nilai estetika tinggi seperti karya-karya agung yang terdahulu.





No comments:

Post a Comment