Sunday 17 May 2015

TEKNIK KEPENGARANGAN DALAM NOVEL INTERLOK

Teknik kepengarangan ialah cara pengarang menghasilkan sesebuah cerita. Pengarang menghasilkan sesebuah cerita berdasarkan pengalaman yang pernah dialami atau pengalaman orang lain. Pengarang memperoleh pengalaman melalui imaginasi, ingatan, kenangan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan. Berbekalkan kreativiti dan kesenian yang dimiliki pengarang, sesebuah cerita yang menarik boleh dihasilkan. Pengarang juga harus inovatif dan sentiasa melakukan pembaharuan dalam setiap karya yang dihasilkan. Pembaharuan yang dibawa dalam setiap karya menunjukkan kematangan yang dipunyai oleh pengarang.

Boleh Berdiri Sendiri     
Secara keseluruhan, novel Interlok terbahagi kepada empat bahagian iaitu buku satu, buku dua, buku tiga dan buku empat. Buku satu menceritakan tentang keluarga Seman iaitu tentang Seman yang hidup susah selepas kematian ayahnya kerana ayahnya berhutang dengan Cina Panjang. Buku dua pula tentang keluarga Cing Huat yang berhijrah ke Tanah Melayu dan melakukan pelbagai pekerjaan sehingga akhirnya bapa Cing Huat berjaya membuka sebuah kedai. Buku tiga menceritakan tentang keluarga Manian yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran di Tanah Melayu. Buku empat menceritakan tentang interlok iaitu kisah ketiga-tiga kaum iaitu keluarga Seman, keluarga Cing Huat dan keluarga Maniam bersatu padu ketika zaman sebelum kemerdekaan. Setiap buku dalam novel Interlok ini boleh berdiri dengan sendiri. Contohnya bagi buku satu iaitu keluarga Seman, tanpa buku dua, buku tiga dan buku empat, buku satu dapat berdiri dengan sendiri kerana buku satu hanya menceritakan tentang keluarga Seman iaitu tentang kaum Melayu. Berdasarkan contoh tersebut, hal yang sama juga berlaku kepada buku dua, buku tiga dan buku empat.

Pengalaman Hidup
Novel Interlok dihasilkan melalui pengalaman hidup pengarang. Pengarang amat teliti dan banyak menggunakan pengalamannya sebagai seorang wartawan pada tahun-tahun 50an, pergaulannya dan pembacaannya sebagai sumber berkarya. Novel Interlok ini juga adalah kisah sebenar Tanah Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan yang dilalui sendiri oleh pengarang. Walaupun pengarang telah menghasilkan novel Interlok ini lebih 40 tahun yang yang lalu, namun isunya masih relevan untuk menanam kesedaran sejarah tentang kehidupan rakyat sebelum kemerdekaan kepada masyarakat zaman ini. Contohnya dapat dilihat pada halaman 400.
            “Orang Jepun ganngu orang perempuan. Ada orang lelaki yang sudah dibunuhnya, kerana tak mau membiarkan isterinya diganggu,” jawab Pak Cin dengan termengah-mengah. Lekas sahaja dia berjalan sehabis saja dia berkata-kata itu. Cing Huat kebingungan. Tetapi dia cepat insaf. Anak dan isterinya masih ada di dalam rumah itu.
(Interlok: halaman 400)

            Berdasarkan contoh di atas, penjajah mengganggu orang perempuan adalah sejarah yang benar-benar pernah berlaku di Tanah Melayu. Oleh itu isunya masih relevan dan dapat menanam kesedaran masyarakat zaman ini dengan menjaga tanah air sebaiknya dan menghalang negara dijajah lagi kerana kesengsaraan pasti akan dirasai rakyat Malaysia.

Pemajmukan Kaum
Teknik kepengarangan yang diketengahkan oleh pengarang juga ialah pemajmukan kaum. Pengarang peka dan akur dengan ciri-ciri pemajmukan kaum yang terdapat di Malaysia. Perhubungan tiga kaum terbesar tanah air iaitu kaum Melayu, Cina dan India terjalin melalui semangat perpaduan semenjak zaman sebelum kemerdekaan. Pemaparan aspek perhubungan kaum dalam novel Interlok memperlihatkan kekuatan pengarang menguasai pertumbuhan dan perkembangan sejarah tanah air. Pemajmukan kaum dalam novel Interlok dapat dilihat pada halaman 481.
“Kita mesti bersatu dalam persatuan bangsa kita dan bekerjasama dengan orang-orang Melayu, orang-orang India untuk menjadikan negeri ini negeri kita semua, kita tak akan balik lagi ke negeri China”.
(Interlok: halaman 481)

            Berdasarkan contoh di atas, orang Cina mahu bekerjasama dengan orang Melayu dan Orang India untuk menentang penjajah dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negeri bersama. Kaum Cina juga tidak akan pulang lagi ke negara China dan mahu terus menetap di Tanah Melayu.

Tema yang Diketengahkan Pengarang
Novel Interlok melibatkan tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Maka, tiga agama juga terlibat dalam novel dan ketiga-tiga kaum ini mengamalkan agama masing-masing. Hal ini juga adalah tema yang diketengahkan oleh pengarang. Bagi orang Melayu, mereka berpegang kepada ajaran Islam.
            Semua orang lelaki di kampung itu telah keluar untuk sembahyang. Dan ketika khatib sedang membaca khutbah, Seman pun sampai…Hanya orang yang duduk di sebelah menyebelahnya di hadpaan dan belakang sahaja, cuba berbisik dan menyatakan kehairanan kerana kedatangan Seman secara tiba-tiba itu. Orang-orang yang jauh sekali-sekala memanjangkan leher menjenguk kearahnya. Seman tidak acuh. Dia terus sembahyang sunat tahiyat masjid dua rakaat dan duduk mendengar khatib membaca  khutbah.
 (Interlok: halaman 375)

          Berdasarkan contoh di atas, Seman adalah orang Islam yang menunaikan solat di masjid. Walaupun orang-orang disekelilinya hairan dengan kedatangan Seman, namun Seman tetap menunaikan solat seperti biasa dan tidak mempedulikan pandangan orang terhadapnya.
            Orang Cina juga mengamalkan agamanya iaitu ketika Cing Huat mengadakan upacara persembahan untuk ibunya. Cing Huat memberi persembahan kepada ibunya dengan mengirim rumah, kenderaan dan wang. Ketika ini ibunya telah mati dua bulan yang lalu dan Cing Huat baru mengetahuinya melalui surat. Maka keesokan harinya, Cing Huat mengadakan persembahan untuk ibunya.
Lentera putih dan bertulisan huruf-huruf biru telah digantung di depan kedai itu. Memberitahukan di kedai itu ada kemalangan. Cing Huat sebenarnya telah membuat persiapan-persiapan untuk memberi persembahan kepada ibunya, untuk mengirim rumah, kenderaan dan wang kepada ibunya dan untuk urusan ini dia telah meminta Kim Sui menolongnya. Tanpa diminta Mei Hwa juga ikut membantunya. Kim Lock tetap berkeras hati. Dia tidak mahu memakai toha, seperti yang dipakai oleh anaknya. Cing Huat memakai baju dan seluar hitam.
(Interlok: halaman 211)

Orang India mengamalkan ajarannya dalam novel Interlok melalui upacara perkahwinan Manian dan Malini. Maniam dan Malini diraikan mengikut amalan kaum India seperti pengantin didudukkan di atas pelamin, upacara pemujaan dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat pada halaman 274.
Malini dan Manian didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan, yang dihiasai dengan daun-daun mangga yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta dan kain merah. Setelah menjalankan upacara ankurappanam iaitu upacara pemujaan yang dilakukan dengan periuk-periuk tembikar berisi sembilan macam tunas biji-bijian, doa pun dibaca oleh dewa Palikai. Sembilan utas benang yang dipilin menjadi satu dan dilumuri dengan kunyit telah diikat di pergelangan tangan kanan Manian dan di pergelangan tangan kiri Malini, sebagai azimat bagi melindungi kedua-dua mereka daripada segala bahaya selama upacara purana-kunbham yang melambangkan kemewahan dan kesuburan, diikuti dengan upacara nalariku iaitu pengantin lelaki dan pengantin perempuan berganti-ganti menyapu minyak cendana,kuma-kuma dan kunyit kepada satu sama lain…
(Interlok: halaman 274)

Teknik Penulisan
Teknik kepengarangan yang terakhir ialah teknik penulisan yang digunakan oleh Abdullah Hussain dalam novel Interlok. Pengarang menggunakan pelbagai teknik penulisan seperti dialog, monolog, peribahasa, pengaruh bahasa asing, unsur suspen, teknik imbas kembali dan sebagainya. Dialog ialah percakapan yang boleh didengar oleh orang.
“Mengapa kita tak panggil ibu saja datang ke mari?” tanya Cing Huat.
(Interlok: halaman 203)

Dialog dapat dilihat pada halaman 203 ketika Cing Huat bertanya kepada bapanya, Kim Lock sebab mereka tidak memanggil ibunya datang ke Tanah Melayu.
Selain itu, monolog terbahagi kepada monolog luaran dan monolog dalaman. Monolog adalah percakapan dengan diri sendiri tanpa melibatkan orang lain. Contohnya dapat dilihat pada watak Maniam.
            Tetapi mengapa Malini menutup pintu terlalu cepat. Apakah ini merupakan satu tanda tidak baik? Dia berasa bagai mereka tidak akan bertemu lagi. Dalam hatinya dia berdoa diam-diam bahawa andaiannya itu tidak benar.
(Interlok: halaman 323-324)

Berdasarkan contoh di atas, Maniam bermonolog dalaman iaitu percakapan di dalam hati. Maniam bermonolog tentang isterinya iaitu Malini yang menutup pintu terlalu cepat. Maniam merasakan bahawa perbuatan Malini adalah petanda tidak baik dan merasakan mereka tidak akan betemu lagi. Maniam lalu berdoa sendirian bahawa andaianya tidak benar.
Peribahasa juga digunakan oleh pengarang seperti peribahasa pipit dengan enggang yang membawa maksud tidak setaraf. Ketika ini Mat Ranggi merasakan taraf Seman dan keluarganya tidak setaraf. Hal ini dapat dilihat pada halaman 382.
“Kankah Seman itu macam pipit. Pipit dengan enggang manakan nak sama”.
(Interlok: halaman 382)

Pengaruh bahasa asing tidak terlepas dan merupakan salah satu tenik penulisan novel Interlok. Hal ini disebabkan oleh kedatangan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu. Perkataan pu nia boa ialah perkataan Cina dan membawa maksud perkataan yang tidak elok.
Pu nia bo punya olang. Dia mau munuh gua punya anak”.
(Interlok: halaman 443)

Unsur suspen juga terdapat dalam novel Interlok. Salah satunya ketika Seman tertanya-tanya tentang perkara yang ingin disampaikan oleh bapanya sehingga ibunya tidak boleh mengetahui perkara tersebut. Seman juga tidak menyangka bahawa antara ibu dan bapanya masih lagi terdapat rahsia antara mereka.
            Dia ingin mendengar apa yang akan diucapkan oleh bapanya. Rahsia apakah yang mahu diluahkan oleh bapanya itu yang tidak boleh diketahui oleh ibunya. Selama ini dia tidak pernah menyangka bahawa di antara ibu dan bapanya itu masih ada satu tabir kabus yang memisahkan mereka.
(Interlok: halaman 13)

            Teknik imbas kembali dapat dilihat ketika Mak Limah iaitu ibu Seman melihat otot-otot yang timbul tenggelam pada kedua-dua belah bahu Seman ketika Seman sedang memotong kayu. Ketika ini Mak Limah teringat kepada suaminya sewaktu suaminya muda-muda dahulu iaitu suaminya jarang memakai baju ketika membuat kerja. Hal ini diikuti pula oleh anaknya iaitu Seman. Contohnya dapat dilihat pada halaman pertama novel Interlok.
Otot-otot yang timbul tenggelam pada kedua-dua belah bahu anaknya itu mengingatkannya kepada suaminya ketika muda-muda dahulu. Suaminya jarang memakai baju waktu dia bekerja. Sepanjang masa tubuhnya yang berkulit sawo matang itu didedahkan kepada cahaya matahari. Perangai yang serupa itu sekarang diikuti pula oleh anaknya yang tunggal.

(Interlok: halaman 1)

No comments:

Post a Comment