Sunday 17 May 2015

NILAI BUDAYA DALAM HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

Penghasilan karya Melayu banyak memaparkan nilai budaya, khususnya dalam Hikayat Raja-Raja Pasai. Nilai menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081) dalam Mohd Rashid Md Idris et. al bermaksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Menurutnya lagi, nilai dan etika masyarakat Melayu mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Berdasarkan hikayat ini terdapat banyak nilai budaya yang diamalkan oleh golongan-golongan pembesar dan rakyat biasa. Antaranya termasuklah adat menyambut tetamu, adat menghormati orang tua, adat pelantikan raja, adat menyembah raja,  adat berkhatan dan sebagainya.

i.              Adat menyambut tetamu
Meraikan kedatangan tetamu merupakan satu nilai budaya yang penting dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai, terdapat beberapa peristiwa yang menggambarkan adat menyambut tetamu yang masih diamalkan. Misalnya :
“Setelah Raja Ahmad sampai di istana Raja Muhammad, baginda dipersilakan duduk. Mengikut adat, tepak sireh dibawa keluar lalu disogokkan kepada Raja Ahmad dua laki isteru”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 3)
“Merah Silu bertemu dengan Megat Iskandar. Megat Iskandar mempelawa Merah Silu dan menjamunya makan minum”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 16)

ii.            Adat menghormati orang tua
Setiap masyarakat amat menitikberatkan adat menghormati orang tua. Hal ini demikian kerana sikap ini merupakan cerminan keperibadian seseorang. Tambahan pula, adat ini telah diamalkan dari turun-temurun dan mestilah dijadikan amalan bagi setiap insan. Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, nilai budaya menghormati orang tua dapat dilihat dengan jelas. Misalnya dalam petikan berikut :
“Dalam surau itu ada seorang orang tua. Hamba memberi salam kepada orang tua itu, maka disambut salam hamba”.
(Hikayat Raja-Raja Pasai : Halaman 6)


iii.          Adat pelantikan raja
Raja merupakan golongan tertinggi dalam sesebuah pemerintahan. Pelantikan raja melibatkan beberapa adat yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Misalnya adat bermuafakat dan musyawarah bagi setiap golongan yang terlibat. Hal ini peting untuk mendapatkan kata sepakat bersama bagi membuat sesuatu keputusan. Petikan di bawah merujuk kepada amalan muafakat yang ditunjukkan oleh Megat Iskandar semasa membuat pemilihan pelantikan raja di negerinya.
“Pada suatu hari Megat Iskandar bermuafakat dengan orang besar-besar, orang tua-tua dan segala rakyat dalam negeri itu. kata Megat Iskandar, “Hai, segala tuan-tuan, apa fikiran kita akan Merah Silu ini? Pada bicara hamba baiklah kita jadikan dia raja kerana ia pun sedia raja, lagi ia hartawan”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 17)
“Megat Iskandar bermuafakat lagi dengan segala orang dan baginda tetap hendak merajakan Merah Silu, lalu Merah Silu diangkat menjadi raja”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 18)

iv.          Adat menyembah raja
Raja merupakan ketua pemerintah dalam sesebuah kerajaan. Oleh itu, golongan pembesar dan golongan rakyat biasa perlulah mentaati raja. Berikut merupakan adat-adat menyembah raja yang terdapat dalam Hikayat Raja-Raja Pasai.
“Nama raja dalam negeri itu ialah Sultan Muhammad. Orang Ma’abri terlihat sebuah kapal berlabuh di teluk. Segera ia masuk menghadap raja serta ia berdatang sembah, demikian sembahnya, “Daulat dirgahayu, Syah Alam ; ada sebuah kapal berlabuh di teluk kita”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 21)
“Gendang tabal itu pun dipalu dan segala bunyi-bunyian pun berbunyi. Bedil nobat pun dipasang dan segala hulubalang dan segala rakyat sekalian menjunjung duli menyembah mengatakan, “Daulat dirgahayu Syah Alam Zillu ‘Ilalhi fi ‘I-Alam”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 26)

v.            Adat berkhatan
Hikayat Raja-Raja Pasai juga ada menyatakan tentang adat berkhatan tetapi tidak dijelaskan dengan terperinci. Misalnya dalam petikan seperti berikut:
“Maka ditanggalkan tangannya daripada dagunya itu. Maka sabda Nabi rasulullahi salla Illhahi ‘alaihi wa-sallam kepada Merah Silu, “Tunduklah engkau.” Merah Silu pun tunduk ke bawah, lalu terjaga daripada tidur. Merah Silu melihat yang dia telah berkhatan”.
            (Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 24)

vi.          Adat memeluk agama Islam
Agama Islam mengandungi rukun Islam dan rukun iman. Oleh itu, seseorang yang beragama Islam mestilah percaya dan beramal dengan kedua-dua rukun tersebut. Berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai, jelas diceritakan tentang pengislaman Sultan Maliku’l-Saleh.
“Apabila bertemu dengan Sultan Maliku’l-Saleh, Syeikh Ismail berkata, “Hai sultan, ucaplah oleh tuan hamba dua kalimah al-syahadah. “ Maka sultan mengucap, Asyhadu an laillallah wahdahu la syarika lahu wa asyhadu anna Muhammadar ‘abdahu wa rasuluh”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 25)

vii.        Adat berpakaian orang besar
Antara petikan yang menjelaskan pemakaian bagi golongan sultan dan pembesar adalah seperti berikut :
“Sultan pun memakai selengkap pakaian kerajaan anugerah dari Makkah, kerana akan ditabalkan sebagai raja”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 25)
“Pada keesokan harinya, baginda menyuruh orang menghias istana dan anakanda tuan puteri berdua itu dengan pakaian yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Seorang lagi anak gundik baginda bernama Tuan Puteri Ganggang memakai kain sutera dan baju berwarna bunga jambu dan memakai cincin permata dan bersubang berjentera”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 30)
“Tun Beraim Bapa pun memakai pakaian : pertama berkain sutera nipis kuning berpunca warna murup bertepi emas dipahat bersiratkan emas berambu bergiring-giring di puncanya dan berbaju sinar matahari, berkancing dan berpermata podi merah, dan bertengkolok warna Cina bertepi emas berpermata bersirat berambukan mutiara dan berkamar berkilat bahu dan berpontoh bernaga tujuh belit dengan manikam bersarungkan emas dan menyandang pedang halilintar dan mengenakan berpermata dan menyangkutkan busar yang keemasan pada bahu kirinya”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 69)

viii.      Adat meminang
Hikayat Raja-Raja turut memaparkan adat meminang antara golongan kerabat diraja. Misanya :
“Mereka mempersembahkan segala kelengkapan dan segala perhiasan yang dibawa itu diiringi kata yang baik-baik lagi sempurna daripada yang memberi nasihat pada membersihkan muka segala manusia dan menerangkan segala hati akan pekerjaan meminang tuan puteri”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 30)

ix.          Adat bertandang
Selesai adat meminang, hikayat ini turut menjelaskan adat bertandang bagi pihak perempuan.
“Titah Sultan Perlak, “Baiklah, kami serah anak kami itu.” Maka baginda pun menyuruh melengkapkan seratus perahu menjadi kenaikan paduka anakanda itu. Tun Perpatih Pandak mengetuai rombongan menghantar Tuan Puteri Ganggang itu ke negeri Samudera Darul Islam”.
(Hikayat Raja-raja Pasai:halaman 32)

x.            Adat melahirkan
“Sultan menitahkan orang memalu genderang dan segala bunyi-bunyian berjaga-jaga seperti adat segala raja-raja beranak”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 36)

xi.          Adat berakikah
“Setelah genap tujuh hari tujuh malam berjaga-jaga dan bersuka-sukaan makan minum dan masing-masing dengan kesukaan masing-masing maka sampailah hari berjijak tanah. Orang pun membuat akikah. Segala rakyat dan menteri hulubalang  berhimpun dan menjamu makan dan minum”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 36)

xii.        Adat kematian
“Setelah itu baginda pun naiklah ke darat menanamkan mayat itu. baginda menamakan tempat itu Padang Maya Sultan Maliku’l-Mansur pu menanamkan mayat Syed Semayam al-Din itu. setelah sudah ditanam, ditalqinkan dan dibacakan baginda tahlil arwah”.
(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 53)

xiii.      Adat menziarahi tanah perkuburan
“Apabila sampai di Padang Maya, di kubur Asmayu’d-din, Sultan Maliku ‘l-Mansur pun singgah di kubur  Semayam al-Din itu hendak membaca al-Fatihah, mengaji dan berdoa. Setelah selesai membaca al-Fatihah baginda bangkit lalu memberi salam pada kubur itu, demikian bunyi salam baginda itu, Assalamualaikum ya qauma ‘I-mu’minina wa inna insya’allahu bikumu ‘lahiqun ”.

(Hikayat Raja-raja Pasai: halaman 55)

No comments:

Post a Comment