Sunday 17 May 2015

NILAI ILMU DALAM NOVEL INTERLOK

Di dalam karya agung Melayu terdapatnya nilai ilmu yang dibicarakan. Antaranya ialah ilmu firasat, ilmu pendukunan, ilmu jampi, ilmu pengasih, maklumat tentang strata sosial masyarakat dan adat istiadat. Orang melayu pada zaman dahulu mempunyai banyak ilmu. Kedatangan Islam dan pengaruh Barat menambahkan lagi kerencaman ilmu yang bermanfaat dalam masyarakat Melayu. Kesemua nilai ilmu digambarkan dengan jelas dalam banyak karya agung Melayu.

Nilai Ilmu dan maklumat
Konsep nilai
Menurut kamus dewan edisi keempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Mohd Rashid Md Idris,2012 mendefinisikan nilai kepada tiga konteks utama iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Dalam bahasa arab nilai ialah “al-qimah” yang bermaksud harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga mempunyai hubung kait dengan falsafah dan bersifat aksiologi. Nilai membolehkan manusia untuk membezakan antara baik atau jahat dan betul atau salah.  Nilai juga menjadi dasar atau asas bagi seseorang manusia untuk menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia yang lain. Perlakuan tersebut sama ada baik atau jahat dan salah atau betul.
Masyarakat melayu tidak akan terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Pemupukan nilai dalam diri seseorang membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian dalam masyarakat Melayu. Nilai amat penting dan ditekankan dalam masyarakat melayu kerana aspek nilai ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan bersikap beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Nilai dalam masyarakat melayu dapatdipupuk melalui dua cara iaitu secara formal dimana dipupuk melalui pendidikan formal di institusi pendidikan dan secara tidak normal iaitu mellaui persekitaran bermula daripada keluarga, rakan dan seterusnya masyarakat itu sendiri.
            Nilai dan etika masyarakat melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Nilai-nilai ini cukup sinonim dengan agama islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat melayu seluruh nusantara. Berdasrkan pengaruh agama islam, ketinggian dan kesucian nilan dan etika memberikan pengaruh yang sangat besar terhadap akal budi Melayu ia kekal pada masyarakat hari ini.
Konsep Ilmu
Menurut kamus dewan edisi keempat(2010). Ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu merupakan hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita untuk menyebarkan kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Terdapat beberapa fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan iaitu untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Ilmu dan maklumat yang ingin dikaji berdasarkan karya agung merupakan ilmu pendukunan, ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih dan sebagainya.
Kekuatan novel Interlok adalah nilai ilmu yang diigarapkan oleh penulis amat memberi impak kepada kehidupan masyarakat pada masa itu. Menurut Hashim, Hamzah dan Mohamad Saleeh (2011), antara ciri-ciri pemilihan novel yang terbaik ialah memiliki pemikiran yang tinggi, mencabar taakulan, menyisipkan gagasan dan ideologi yang besar dan mempunyai nilai ilmu yang bersifat sejagat. Perkara ini disokong oleh Illias Zaidi (2010) yang menyatakan bahawa novel Interlok merupakan sebuah karya yang sarat dengan ilmu pengetahuan dan mampu memberikan nilai moral kepada masyarakat sekelilingnya.

ILMU AGAMA
Nilai ilmu banyak di garapkan oleh penulis didalam Novel ini. Ilmu dapat mempengaruhi masyarakat sekeliling. Hal ini dapat dibuktikan apabila dalam buku 1, penulis menggambarkan realiti kehidupan orang Melayu pada zaman sebelum merdeka yang kurang menitikberatkan mengenai ilmu. Bilangan orang Melayu yang boleh menulis dan membaca sangat kurang. Bagi mereka tiada gunanya anak-anak mereka belajar kerana akhirnya akan menjadi seorang petani juga. Tetapi, ada juga yang menghantar anak-anak untuk mengaji, asalkan anak-anak tahu membaca Al-Quran dan solat, itu sudah cukup bagi mereka. Di sebabkan oleh kurangnya pengamalan ilmu agama dalam diri tidak mantap, amalan dan kepercayaan karut seperti penggunaan tengkorak serta mentera-mentera yang bercanggah dengan agama Islam untuk tujuan perubatan masih diamalkan (Syed Mohd Zakir, 2011).
Walaubagaimanapun, penulis turut menekankan kepentingan ilmu. Hal ini terbukti apabila guru bertanggungjawab supaya masyarakat pada masa itu diwajibkan bersekolah. Contohnya, Guru Besar Sekolah Menengah Simpang Empat dan beberapa orang guru lain sedang berkeliaran untuk mengajar pemuda-pemuda untuk diajak belajar di sekolah. Dengan pembinaan sekolah dan kepentingan menguasai ilmu, akhirnya anak Maniam iaitu Ramakrishnan telah berjaya menjadi seorang inspektor polis.

ILMU PERDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya.
Contoh yang dapat dilihat dalam novel Interlok ialah apabila bapa Seman, Pak Musa batuk tidak berhenti, emaknya telah menyuruh Seman memanggil dukun iaitu Pak Utih. Pak Utih adalah dukun yang terkenal di kampung itu. Pak Utih telah menggunakan kemenyan dan beberapa lagi benda lain seperti sirih dan tangkai. Ini menunjukkan bahawa pada masa itu, masyarakat melayu masih lagi menggunakan khidmat dukun. Pak Utih sempat berbual bersama Seman dan memberitahu bahawa untuk menjadi dukun bukannya satu perkara yang senang. Dukun perlu melalui dan mempelajari banyak perkara. Pak Utih memberitahu Seman bahawa dia boleh bercakap dengan tengkorak. Ini menunjukkan satu kepercayaan animism yang terdapat dalam kalangan masyarakat tersebut.

ILMU PERNIAGAAN
 Dalam buku kedua, penulis menerapkan tentang kepentingan nilai ilmu dalam diri golongan Cina yang rajin dalam pekerjaan dan mencari ilmu. Penulis mula menceritakan tentang asal usul kaum Cina di Malaya yang digambarkan bahawa kehidupan yang sukar di negara China akibat daripada kerap kali berlakunya bencana alam sehingga menyukarkan kehidupan rakyat di sana. Sawah yang diusahakan musnah sekelip mata sama ada akibat dari kemarau, banjir atau serangan belalang. Disebabkan kesempitan hidup, ramai orang Cina dari pelbagai puak sanggup merantau ke Rantau Selatan (Malaya dan sekitarnya) untuk mencari rezeki. Penulis turut menceritakan terdapat rasa tidak puas hati di antara puak Hakka dan Hokkien namun perasaan tersebut semakin lama semakin padam kerana mereka sama-sama beradu nasib di negeri orang. Apabila masyarakat Cina sudah ramai di Malaya, timbul kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan untuk menjamin masa depan anak-anak mereka. Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.

Dalam buku tiga, masyarakat India turut menekankan aspek ilmu dalam kehidupan apabila golongan India meminta pihak penjajah Inggeris untuk mendirikan sebuah sekolah Tamil bagi memberi ruang kepada anak-anak mereka untuk belajar. Menurut S. Fatimah Said (2011), persoalan akan kepentingan ilmu, kasih sayang dan bekerjasama turut menyokong penuh tema yang dibawa oleh penulis di dalam buku ini dan menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan pengarang ketika menghasilkan novel ini. Menurut Misran, Mawar dan Che Abdullah (2011), Keluarga Cing Huat amat menekankan aspek ilmu perniagaan dan alam kehidupan agar dapat mengubah kehidupan yang lebih baik. Hal ini terbukti apabila Cing Huat dan ayahnya Kim Lock pernah bekerja sebagai kuli mengangkat barang di pelabuhan, kemudian bertukar menjadi penarik lanca, bekerja sebagai pelombong dan dengan wang simpanan, mereka berjaya membuka kedai runcit.  Akhirnya, kedai runcit mereka di Simpang Empat menjadi bertambah besar dan maju kerana menjadi tumpuan para petani dan pekerja estet di daerah tersebut.

No comments:

Post a Comment