Sunday 17 May 2015

SENI BAHASA DALAM NOVEL INTERLOK

Seni bahasa atau gaya bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan  penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan,  secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera.
            Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk melembutkan lagi makna percakapan dan juga untuk mengindahkan lagi bahasa  itu. Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur penting seperti kejujuran, sopan-santun dan menarik. Dalam Novel Interlok, pengkaji telah mengenal pasti beberapa jenis gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang seperti penggunaan retorik, skema, dan majaz.

Retorik
Menurut kamus dewan edisi keempat (2011), retorik ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Goys Keraf dalam modul karya agung Melayu, (2014) pulan menyatakan bahawa istilah yang diberikan secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Menurut Adenan Ayob, Mohd Rasyid dan Mohd Ra’in Shaari, (2010), retorik merupakan seni penggunaan bahasa persuratan atau lisan yang melibatkan penyampaian fakta dan idea dengan menggunakan bahasa yang tersusun, menarik dan mampu memberikan impak kepada pendengar dan juga pembaca.
            Secara ringkasnya, retorik merupakan seni penggunaan atau pemakaian bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar dan pembaca. Kemampuan penulis menggarap isi dan mesej penulisannya terletak kepada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran serta kemahiran menulis yang dimiliki. Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rasyid Md Idris (2012), retorik terbahagi kepada enam jenis iaitu :

a)      Pemerian
Penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Retorik pemerian bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Terdapat juga retorik pemerian yang berjaya dikenal pasti dalam novel Interlok.
Contoh :
Pitt Street penuh dengan orang-orang India. Boleh dikatakan jalan itu ialah jalan orang-orang India. Di situ ada sebuah kuil India yang besar, ada masjid untuk orang-orang Muslim dan kebanyakan kedai di jalan itu dipunyai oleh orang-orang India belaka. Maniam mendapati dirinya bukan orang asing di negeri baru ini. dia berasa dia berada di sebuah di negerinya sendiri, dia berasa seperti berada di Madras atau Trivandrum. Cuma yang selalu menyedarkan dirinya ialah dia belum mempunyai pekerjaan dan dia perlu mencari kerja segera untuk nafkah hidupnya. 
(Interlok: halaman 258)

b)      Penceritaan
Retorik penceritaan merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Retorik ini juga menghubungkan beberapa siri peristiwa yang berkaitan dalam satu plot yang logik.
Contoh :
Enam bulan kemudian Maniam pun dikahwinkan dengan Malini dalam satu upacara yang sederhana. Pada hari itu kuli-kuli di perkebunan kelapa itu yang kesemuanya terdiri daripada orang-orang Tamil telah merayakan perayaan itu dengan satu pesta yang meriah. Orang putih tuan kebun itu pun ikut sama menyaksikan perkahwinan anak tandilnya. Upacara perkahwinan yang serupa ini walaupun kecil tetapi jarang-jarang berlaku. 
(Interlok: halaman 272)

c)      Penerangan
Penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Retorik penerangan berfungsi untuk memberi penjelasan sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun.
Contoh :
Malini kemudian dipakaikan sari dari kain kasa buatan Mysore yang halus dan indah, enam ela panjangnya dan lebarnya empat puluh lima inci. Sari itu, dibalut di keliling tubuhnya yang ramping dari pinggang sampai ke tumit, bahagian atas melintang di dada melewati bahu sebelah kiri, menutupi baju coli ketat dipakai sampai ke pinggang. Rambutnya disanggul bulat dan dihiasi di sekelilingnya dengan veni, karangan bunga melur. 
(Interlok: halaman 273)

d)     Pendedahan
Retorik ini memperlihatkan cara pengarang mendedahkan, memaparkan atau menunjukkan sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas dan terperinci. Usaha untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada khalayak dengan berkesan. Retorik ini juga digunakan untuk memerihalkan sesuatu dengan lebih jelas dan terperinci untuk memberi idea atau maklumat kepada pembaca atau pendengar.
Contoh :
Sepasukan tentera Jepun yang berbasikal dan berjalan kaki telah sampai di pekan itu. Mereka menyerbu ke dalam kedai dan mengancam orang-orang Cina yang ada di kedai itu. Perut Ching Huat yang buncit itu hampir sahaja ditusuk dengan bayonetnya. Hampir petang pasukan itu berangkat menuju arah selatan. Beberapa orang yang tinggal di dalam pekan itu, mereka berkhemah di sekolah Cina. Malam itulah yang paling laknat bagi penduduk-penduduk di pekan itu. Orang-orang perempuan yang masih tinggal habis lari kerana diganggu oleh Jepun. Anak gadis Cung Sing Hin telah diperkosa beramai-ramai. Cung Sin Hin telah dipukul setengah mati. Pagi-pagi lagi Jepun telah meninggalkan pekan tersebut.
(Interlok: halaman 404)
            Retorik penghujahan dan retorik pemujukan tidak dapat dikenal pasti oleh pengkaji berdasarkan novel Interlok.

Gaya Bahasa
Menurut Hashim Awang (2012), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu, pengarang, fikiran, dan tujuannya. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.
            Gaya bahasa dibahagikan kepada lima jenis iaitu, gaya bahasa pengulangan, penyirnaan, perbandingan, pertautan dan pertentangan. Novel Interlok merupakan karya moden dan mengandungi gaya bahasa yang seiring dengan peredaran waktu iaitu bersesuaian dengan persekitaran tempat dan budaya masyarakat pada masa tersebut. Terdapat beberapa skema yang dapat dikenal pasti dalam novel Interlok ini.

Skema perulangan
Skema perulangan merujuk kepada perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada dan bunyi yang puitis, berirama atau pelbagai.

a)      Anafora
Dalam novel Interlok, terdapat penggunaan gaya bahasa anafora yang merujuk kepada pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat (Corbett dan Conors, 1999 dalam Seni Mengarang).

Contoh :
Kalau hari raya di selalu mendapat duit dan mercun. Kalau hari raya Cina dia selalu mendapat mercun dan duit dalam bungkusan merah. 
(Interlok: halaman 18)

Entah apa sudah terjadi pada orang tua itu. Entah apa sudah terjadi pada ibunya. (Interlok : 22)
Dia tidak pernah dididik untuk berfikir. Dia dididik untuk menerima. Dia tidak bersekolah kecuali mengaji al-Quran di rumah Lebai Man, orang Sumatera yang telah lama bermastautin di kampung itu.
(Interlok: halaman 32)


Skema pengguguran
Terdapat dua bentuk skema jenis ini. Pertama, pengguguran kata hubung atau tanda mekanis. Kedua, penggunaan kata hubung dengan jumlah yang melebihi kebiasaan. Tujuan penggunaan skema ini untuk memberi kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa.

a)      Elipsis
Hanya satu jenis skema pengguguran dalam novel Interlok yang dapat dikenal pasti iaitu Elipsis yang merujuk kepada pengguguran secara sengaja kata atau beberapa kata yang dibayangkan oleh konteks (Corbett dan Connors, 1999). Menurut Umar Junus (1968), elipsis adalah pengsirnaan unsur-unsur yang terdapat dalam ayat.
Contoh :
      Matahari petang ayun-temayun. Sinar keemasan yang terakhir itu bertebar di merata tempat di permukaan bumi : di atas daun pisang, di atas pelepah kelapa, di atas rumput, di atas belakang seman di atas muka Mak Limah yang sudah lisut itu.

Majaz Pertautan
Majaz bermaksud memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan petunjuk. Majaz pertautan ialah hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan. Majaz pertautan yang diperoleh dalam novel Interlok hanyalah dua iaitu, eufemisme dan disfemisme.

a)      Eufemisme
Strategi eufemisme digunakan bagi memperhalus kata-kata atau ungkapan. Ia juga disebut sebagai ucapan pemanis atau ungkapan lembut yang digunakan untuk menggantikan kata-kata yang kurang sopan. Unsur eufemisme yang terdapat dalam novel Interlok :
·         Indera membawa maksud mata
·         Menunaikan hajat membawa maksud membuang air.

b)     Disfemisme
Strategi disfemisme ialah kebalikan daripada eufemisme. Disfemisme memilih bentuk kata atau ragam bahasa daripada yang lembut kepada kasar. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lama, kata-kata kasar selalunya bertujuan bergurau dan berjenaka. penggunaan kata-kata kasar untuk tujuan tertentu. Dalam novel Interlok terdapat satu unsur disfemisme yang dikenal pasti.
Contoh :
·         Matanya mata tongkang, mata kayu. (Interlok: halaman 19)
·         “tutup mulutmu binatang”, pekik Ching Huat. (Interlok: halaman 242)
·         “Pergi lu dari sini babi sui”, pekik Ching Huat. (Interlok: halaman 242)

Majaz Perbandingan
Majaz perbandingan ialah penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan dua hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama. Hanya satu sahaja majas perbandingan yang diperoleh berdasarkan novel yang di kaji iaitu simile yang merujuk kepada perbandingan secara langsung.

a)      Simile
·         …musa pejam rapat, nafasnya saja yang agak keras seperti lembu marah.
 (Interlok: halaman 9)
·         Tetapi cita-citanya itu hancur lebur bagai kaca terhempas ke batu.
(Interlok: halaman 377)
·         Lidahku bagai ada rasa tembaga. (Interlok: halaman 9)
·         Kembang hatinya itu bagai buah kembang semangkuk. (Interlok: halaman 15)

Majaz pertentangan
Majaz pertentangan merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan. Hanya satu majaz pertentangan yang diperoleh dalam Novel Interlok iaitu hiperbola yang membawa maksud penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat. (Corbett dan Connors, 1999).

a)      Hiperbola
      Gelojak kemarahan itu menjilat-jilat ke kiri kanan, mencari gas pembakar dari bahan-bahan kering untuk menyemarakkan lagi nyalanya, untuk mempercepat kemusnahan. (Interlok: halaman 16)
      Batuk itu telah memakan daging dan menghisap darahnya. (Interlok: halaman 9)
      Hujung misainya itu melentik tirus tajam seperti tanduk diasah, melengkung ke atas , seolah-olah benteng hidungnya yang tinggi dan ekstrem. (Interlok: halaman 269)
      Hatinya sendiri sudah hancur lebur. (Interlok: halaman 68)
      Darah memercik keluar dari jantungnya. (Interlok: halaman 135)
      Kim Lock terasa kata-kata itu bagai menggigit hulu jantungnya. (Interlok: halaman 135)

Majaz Melayu
Majaz Melayu merujuk kepada kaedah orang Melayu memanipulasikan bahasa secara simbolik dan kiasan melalui bahasa lisan atau tulisan untuk menyampaikan idea, fikiran dan perasaan mereka. Orang Melayu menggunakan pelbagai elemen bahasa seperti peribahasa, pepatah, petitih kiasan, pelambangan, perbilangan, sindiran, imejan di samping penggunaan patah kata, suku kata seperti awalan, sisipan atau akhiran.

Pepatah
            Pepatah adalah satu unsur dalam peribahasa yang digolongkan dalam peribahasa Melayu. Pepatah ialah kiasan yang digunakan untuk mematah atau memutuskan pembicaraan orang lain. pepatah lebih memberatkan tentang sifat ringkasnya, bijaksana perkataannya dan benar pengajarannya ( Za’ba, 2002) contoh pepatah cina yang digunakan dalam novel Interlok dan yang lain-lain ialah :

      Kalau tak berwang, ke mana pergi terbuang. (Interlok:halaman 113) * pepatah cina
      Makan hati berulam jantung. (Interlok: halaman 204)
      Jauh panggang dari api. (Interlok: halaman 6)
      Ada udang di sebalik batu. (Interlok: halaman 323)

Simpulan Bahasa
Simpulan bahasa merupakan rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asalnya (Safian Hussain, et al. 1998). Bentuk majaz ini paling banyak digunakan oleh orang Melayu kerana sifatnya yang ringkas dan dapat menyampaikan maksud dengan tepat, tajam dan berseni. Contoh simpulan bahasa yang terdapat dalam novel Interlok ialah :

      Lebai Man tersenyum simpul geli hati. (Interlok: halaman 43)
      Dia mahu menyimpan wang hasil titik peluhnya yang pertama di negeri asing ini sebagai azimat. (Interlok: halaman 132)   
      Kim Lock berasa besar hati. (Interlok: halaman 136)
      Keras hati. (Interlok: halaman 48)
      Berat hati (Interlok: halaman 53)
      Ringan tulang. (Interlok: halaman 6)
Diksi
Diksi dalam maksud yang mudah ialah pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan untuk mengungkapkan idea, peristiwa dan lain-lain secara bertulis atau lisan. Apabila melihat diksi dalam karya sastera, kita akan membicarakan tentang pemilihan perkataan khususnya oleh pengarang sama ada perkataan tersebut sesuai atau tidak, masih relevan atau tidak, sesuai dengan tema cerita atau berkesan untuk menggambarkan sesuatu peristiwa di dalam karya tersebut.
            Secara umumnya diksi dalam karya sastera boleh dilihat dari dua sudut iaitu perkataan konkrit dan abstrak. Dalam novel Interlok ini terdapat penggunaan perkataan yang bercampur-campur untuk menyesuaikannya dengan setiap peristiwa yang diceritakan oleh pengarang. Contohnya :
                 Penggunaan telor Cina.
Ø  “Apa balang lu mahu, lu moleh cakap sama Ah Hock”
                 Penggunaan bahasa Cina
Ø  Oncoi
                 Penggunaan bahasa Inggeris.
Ø  Boy, lodging
                 Penggunaan bahasa Tamil.
Ø  Veni, dhoti, bini, homa, rasam, sambar
                 Penggunaan bahasa Jepun.
Ø  Heiho, kempeitai

Personifikasi
Menurut kamus dewan edisi keempat, personifikasi ialah pemberian atau penyerapan sifat-sifat manusia kepada benda yang tidak bernyawa atau sesuatu abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan sastera atau seni dalam sesebuah karya. Perlambangan atau pengemukaan benda tidak bernyawa atau sesuatu abstrak sebagai mempunyai sifat-sifat manusia. Dalam Novel Interlok, pengarang banyak menggunakan gaya bahasa personifikasi yang memberi kesan menarik kepada pembaca. Antaranya ialah :
      Alam mulai hidup. (Interlok: halaman 48)
      Paman Kok Leng mengangguk-anggukkan kepalanya yang bulan itu dan tocangnya melambai-lambai macam ekor kuda. (Interlok: halaman 110)
      …….melihat kota yang sedang bermandikan cahaya lampu. (Interlok: halaman 123)
      Dia melihat pohon kelapa melambai-lambai di tepi pantai dan… (Interlok: halaman 257)
      Dia berlari-lari ke punggung bukit yang sudah terang itu… (Interlok: halaman 180)
      Embun baru turun dan padi-padi sudah mulai bunting peringgi. (Interlok: halaman 484)
      …matanya yang hitam tajam itu memanah anak mata orang yang tinggi panjang itu… 
(Interlok: 263)


Metafora
Menurut Rahman Shaari, metafora ialah penggunaan kata-kata yang menerbitkan makna yang lain dari makna yang tersurat. Metafora sejenis bahasa figuratif yang memberi sifat secara perbandingan atau kiasan. Asmah Haji Omar (1996), pula menyatakan bahawa definisi metafora tidak terbatas sekadar bunga-bunga bahasa atau bahasa yang indah tetapi lebih dalam daripada pengertian itu kerana metafora menggambarkan konseptual sesuatu bahasa dan kepercayaan terhadap sesuatu kebudayaan para penutur asli bahasa tersebut. Contoh gaya bahasa metafora yang berjaya dikenal pasti dalam novel Interlok ialah :

      Sinar yang berkaca-kaca dalam tasik mata itu. (Interlok: halaman 15)
      Curiga pada isterinya berbuat serong di belakangnya menyucuk-nyucuk hulu hatinya
(Interlok: halaman 231)

Sinkof
Sinkof ialah penyingkatan perkataan yang digunakan dalam sesebuah karya bertujuan untuk mempelbagaikan susunan bahasa. Dalam novel Interlok, pengarang menggunakan gaya bahasa sinkof dengan banyak terutamanya di dalam dialog. Banyak singkatan yang digunakan sesuai dengan latar belakang watak, cerita, dan latar zaman cerita. Contohnya :
 
      “ Sebab tak puaslah aku pandang. Kalau dah puas, takkan aku nak pandang lagi? “
        (Interlok: halaman 3)

            Secara keseluruhan, gaya bahasa adalah satu corak, bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di antara satu sama lain sama ada secara lisan mahupun tulisan. Gaya bahasa yang terdapat dalam novel Interlok sangat menarik dan memberi rasa yang indah kepada pembacanya.


No comments:

Post a Comment