Sunday 17 May 2015

TEKNIK KEPENGARANGAN DALAM HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

Teknik kepengarangan ialah cara pengarang menghasilkan sesebuah cerita. Pengarang menghasilkan sesebuah cerita berdasarkan pengalaman yang pernah dialami atau pengalaman orang lain. Pengarang memperoleh pengalaman melalui imaginasi, ingatan, kenangan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan. Berbekalkan kreativiti dan kesenian yang dimiliki pengarang, sesebuah cerita yang menarik boleh dihasilkan. Pengarang juga harus inovatif dan sentiasa melakukan pembaharuan dalam setiap karya yang dihasilkan. Pembaharuan yang dibawa dalam setiap karya menunjukkan kematangan yang dipunyai oleh pengarang.
Secara keseluruhan HRP ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian yang pertama tentang pembukaan dan pengislaman Pasai iaitu diceritakan dari bab pertama sehingga bab yang keenam. Bahagian kedua pula menceritakan tentang kehandalan Tun Beraim Bapa dan detik kemerosotan Pasai pada bab ketujuh sehingga bab kesembilan. Bahagian terakhir ialah penceritaan tentang kejatuhan kerajaan Pasai bermula daripada bab kesepuluh sehingga bab kesebelas. Pengarang merupakan seorang yang berpengalaman dan mempunyai daya kreativiti tinggi. Pengarang dapat menghasilkan tiga cerita yang berbeza melalui HRP. Ketiga-tiga bahagian ini dapat berdiri dengan sendirinya sebagai sebuah cerita berasingan dan sekiranya digabung juga dapat menghasilkan sebuah cerita yang menarik.
HRP adalah sebuah cerita yang berbentuk naratif. Cerita berbentuk naratif ialah cerita yang disusun secara kronologi atau turutan sehingga menjadi satu rangkaian cerita. Cerita yang berbentuk naratif dapat membawa pembaca berada dalam situasi sebenar dalam karya mengikut urutan waktu. Pengarang mahu pembaca dapat membayangkan urutan peristiwa atau waktu seperti yang digambarkan. Kebiasaanya, cerita berbentuk naratif pada zaman dahulu dikarang oleh penulis golongan istana yang mempunyai daya kreatif yang tinggi untuk merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan pemerintahan atas perintah raja atau pemerintah. Menurut Aristotle, beliau mengatakan bahawa orang yang mampu berfikir secara metaforik atau metafora adalah manusia genius. Oleh itu, kebanyakan karya Melayu dihasilkan oleh manusia Melayu yang geliga akalnya. Pengarang menghasilkan sebuah cerita juga berfungsi sebagai wadah untuk menasihat, memberi pengajaran, panduan dan petunjuk kepada golongan pemerintah dan pembesar. HRP mengandungi unsur-unsur pembukaan negeri, pemerintahan dan peperangan yang menjadi nadi untuk HRP.
Salah satu contoh unsur pembukaan negeri dapat dilihat melalui pembukaan negeri Pasai. Sultan Maliku’l–Saleh  telah membawa seekor anjing perburuan pergi bermain-main dan berburu dengan semua askar. Apabila sampai di tepi laut, anjing yang dibawa Sultan dilepaskan dan anjing tersebut terus masuk ke dalam hutan lalu bertemu seekor pelanduk. Anjing tersebut menyalak kerana hendak menangkap pelanduk tersebut namun pelanduk bertindak ingin menerkam anjing. Kemudian anjing terus menyalak dan berundur. Peristiwa ini berulang selama tujuh kali. Seterusnya baginda terfikir ingin membuat negeri dan anaknya Sultan Maliku’l–Tahir  akan dijadikan raja. Setelah negeri tersebut didirikan, anjing yang bernama Pasai mati lalu ditanam di negeri tersebut. Berikutan pembukaan negeri Pasai, pengarang menunjukkan bahawa golongan pemerintah mempunyai kekuasaan dan keistimewaan untuk membuka negeri apabila dirasakan sesuatu tempat sesuai.
Kata Sultan Maliku’l–Saleh kepada segala orang yang ada bersama baginda, “Adakah pernah kamu lihat pelanduk yang gagah seperti ini? Pada bicaraku sebab ia diam pada tempat ini, itulah sebabnya pelanduk itu menjadi gagah.”
Jawab segala yang hadir,  “Sebenarnyalah seperti kata tuanku itu.”
Kata Sultan Maliku’l–Saleh sambil berfikir, “Baik tempat ini kuperbuat negeri. Anakku Sultan Maliku’l–Tahir akan dijadikan raja di negeri ini.”
(HRP: halaman 37-38)
            Pemerintahan pula dapat dilihat daripada bab pertama iaitu bermula daripada pemerintahan Raja Ahmad dan Raja Muhammad pada halaman satu sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Ahmad pada halaman 107.
Ada sebuah negeri di bawah angin bernama negeri Pasai. Antara negeri di bahagian yang dikenali sebagai negeri di bawah angin maka negeri Pasailah negeri yang pertama menerima agama Islam. Pada zaman dahulu, di negeri Pasai ada raja dua bersaudara. Yang tua bernama Raja Ahmad dan adiknya bernama Raja Muhammad. Kedua-dua beradik itu hendak membuat negeri di Semerlangga.
(HRP: halaman 1)

Sultan Ahmad pun keluarlah dari dalam istananya membawa segala hartanya dengan segala perkakas alat kerajaanya. Sultan Ahmad berpindah ke sebuah tempat bernama Menduga dan di sanalah tempat baginda tinggal, iaitu kira-kira lima belas hari perjalanan dari negeri pasai jaraknya.
(HRP: halaman 107)

            Berdasarkan keseluruhan HRP, pengarang menceritakan tentang keagungan golongan pemerintah. Pemerintahan hanya boleh diwarisi oleh generasi golongan pemerintah sahaja iaitu diwarisi oleh anak, kemudian cucu dan generasi-generasi seterusnya. Hal ini menunjukkan bahawa golongan pemerintah menduduki hierarki yang tertinggi dalam susun lapis masyarakat dan tidak boleh dibandingi oleh golongan bawahan. Oleh itu, rakyat biasa tidak boleh menjadi pemerintah. Golongan pemerintah juga mempunyai kekuasaan terhadap golongan bawahan. Pelbagai corak pemerintahan yang dipaparkan pengarang dalam HRP seperti pemerintahan berlandaskan Islam yang boleh dijadikan panduan golongan pemerintah dan masyarakat kini.
            Melalui peristiwa Majapahit menyerang Pasai, dapat dilihat peperangan juga menjadi nadi kepada HRP. Peperangan ini terjadi disebabkan Sultan Ahmad membunuh anaknya iaitu Tun Abdul Jalil kerana iri hati Puteri Gemerencang terlalu berahi terhadap Sultan Abdul Jalil. Setelah bapa Puteri Gemerencang mendapat tahu anaknya telah tenggelam kerana kecewa dengan kematian Tun Abdul Jalil, maka Sang Nata Majapahit mengambil tindakan untuk menyerang Pasai.
Apabila Sang Nata Majapahit sedar daripada pengsan, baginda mengarahkan supaya Patih menghimpunkan semua menteri, penggawa, rakyat dan bala tenteranya. Setelah itu, baginda menyuruh melengkapkan segala persiapan senjata peperangan untuk menyerang Pasai. Ada kira-kira empat ratus jong yang besar-besar, perahu jalur dan kelulus. Setelah cukup segala kelengkapan itu, segala menteri, pegawai dan rakyat naiklah ke perahu berserta dengan alat senjata bekalnya. Baginda menitahkan penggawa yang besar bernama Senapati Ing Alaga dan beberapa ratus para menteri dan para penggawa.
(HRP: halaman 105)
            Berdasarkan petikan diatas, pengarang juga memasukkan unsur peperangan. Peperangan digambarkan pengarang dalam HRP adalah disebabkan ketidakpuashatian dalam kalangan golongan pemerintah. Peperangan juga terjadi disebabkan penaklukan negeri serta perampasan harta dan mendapatkan orang tawanan. Pengarang menggambarkan bahawa pemerintahan Sultan Ahmad yang zalim tidak akan bertahan lama dan lama-kelamaan kekuasaanya akan hilang serta peristiwa ini boleh dijadikan iktibar untuk generasi masa kini.
            HRP juga mengandungi unsur mitos. Menurut Ahimsa–putra, mitos adalah cerita yang aneh yang seringkali sulit difahami maknanya atau diterima kebenarannya kerana kisah di dalamnya tidak masuk akal atau tidak sesuai dengan apa yang kita temui sehari-hari. Dalam Webster’s Dictionary pula, mitos adalah perumpamaan atau alegori yang keberadaannya hanya merupakan khayal dan tidak dapat dibuktikan. Oleh itu, pengarang memasukkan unsur mitos untuk membolehkan pembaca menginterprestasi atau mentafsir sendiri cerita. Pengarang memasukkan unsur mitos bertujuan untuk menunjukkan keistimewaan raja dan golongan pemerintah serta bertujuan untuk menyindir atau mengkritik perlakuan buruk golongan pemerintah. Peristiwa-peristiwa mitos yang terdapat dalam HRP mempunyai motif yang jelas iaitu menunjukkan keistimewaan golongan pemerintah. Antara mitos yang terdapat dalam HRP ialah Raja Muhammad mendapat anak daripada buluh betung lalu diberikan nama Puteri Betong, Raja Ahmad yang berjumpa orang tua di sebuah surau dalam hutan belantara dan menceritakan perihal Raja Muhammad yang mendapat anak daripada buluh betung lalu Raja Ahmad juga mendapat anak daripada gajah yang sangat besar, cacing gelang-gelang menjadi emas setelah direbus oleh Merah Silu dan buihnya mejadi perak serta mitos pembukaan negeri. HRP juga mengandungi unsur mitos setempat serta berdasarkan fakta sejarah seperti nisan Maliku’l-saleh dapat dilihat wujudnya sehingga ke hari ini. 
Raja Muhammad terpandang rebung di tengah-tengah buluh betung itu besarnya seperti badan manusia. Baginda hendak menebang rebung itu, maka sekonyong-konyong keluar seorang kanak-kanak perempuan. Rupa paras anak itu terlalu cantik. Raja Muhammad mencampakkan pedang pendeknya lalu mengambil anak itu.
(HRP: halaman 2)
            Nilai keislaman juga terdapat dalam HRP. Pengarang menggambarkan golongan pemerintah menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam iaitu melakukan kebaikan dengan meninggalkan kemungkaran serta menyuruh orang berbuat kebajikan dan melarang daripada berbuat kejahatan. Hal ini menunjukkan bahawa HRP mencakupi satu jangka waktu dalam sejarah Pasai yang menceritakan perihal agama Islam mula bertapak di gugusan pulau-pulau Melayu iaitu antara akhir abad ke-13 dan awal abad ke-14.
Selepas itu, Sultan menyuruh panggil kedua-dua cucunda baginda itu. Setelah datang kedua-dua raja itu, Paduka Seri Sultan pun bersabda kepada cucunda berdua itu di hadapan segala menteri dan orang besar-besar sekalian. “Hai cucuku berdua! Ketahui oleh kamu berdua, kerana aku ini sakit sangat rasanya hampir hukum Allah taala akan daku berpindah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa itu: ada pun sepeninggalan ini baik-baik laku cucunda berdua memelihara pekerjaan al-amru bi’lma’rufi wa’lnahyi ‘ani’l-munkar. Sebermula jangan kamu banyak tamak akan harta dunia, kerana dunia ini tempat segala yang masyur dan jangan sangat kamu ingin akan segala yang tiada memberi manfaat akan kamu di akhirat, dan jangan kamu tiada muafakat dua bersaudara daripada segala pekerjaan kamu; jangan sekali-kali bersalahan antara kamu berdua bersaudara supaya dikararkan Allah taala kamu berdua dalam kerajaan dan supaya diperkenankan Allah segala pinta kamu daripada segala yang kebajikan dan jangan kamu melalui seperti barang yang dititahkan Allah akan kamu dan segeralah kamu mengerjakan pekerjaan yang kebajikan dan meninggalkan pekerjaan yang kejahatan dan meyuruh segala orang berbuat kebajikan dan melarangkan segala orang berbuat kejahatan serta dengan adil kamu berdua bersaudara akan segala rakyat kamu itu. Hubaya-hubaya jangan tiada kamu turut wasiatku ini, hai cucuku berdua.”
                                                                                                    (HRP: halaman 41-42)
            Selain itu, keindahan yang dimuatkan pengarang ialah adat yang berunsurkan Islam iaitu aqiqah bagi bayi yang sempurna lahir daripada perut ibunya dan sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Ketika karya sastera ini dihasilkan, pengaruh Islam sudah mula diamalkan oleh golongan pemerintah dan masyarakat serta diamalkan juga oleh pengarang.
Sultan menitahkan orang memalu genderang dan segala bunyi-bunyian berjaga-jaga seperti adat segala raja-raja beranak. Setelah genap tujuh hari tujuh malam berjaga-jaga dan bersuka-sukaan makan minum dan masing-masing dengan kesukaan masing-masing maka sampailah pada hari berjijiak tanah. Orang pun membuat akikah. Segala rakyat dan menteri hulubalang berhimpun dan berjamu makan dan minum.
(HRP: halaman 36)
… “Asyhadu an la ilahaillallah waasyahadu la syarik lauh, wa asyhadu ana Muhammadar ‘abduhu wa rasuluh.”…
(HRP: halaman 24)
            Berdasarkan petikan di atas, pengarang menggunakan bahasa Arab untuk memperlihatkan estetika keislaman. HRP banyak dipengaruhi Islam kerana pengarangnya menerima pengaruh daripada bahasa asing seperti bahasa Arab. Petikan di atas menggunakan bahasa Arab serta kata-kata pujian diperindah dengan unsur-unsur ciptaan Tuhan. Puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad adalah makna bagi bahasa Arab di atas untuk menujukkan unsur keislaman dan sekaligus dapat menambahkan nilai keindahan dalam HRP.
            Peminjaman perbendaharaan bahasa asing bertujuan memperkaya perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Pengarang menggunakan peminjaman bahasa asing untuk menamakan sesuatu benda, konsep atau fenomena baru. Hal ini menunjukkan pengarang sering menggembara dan mempunyai pengalaman yang luas untuk menghasilkan cerita. HRP mengandungi pengaruh bahasa asing seperti pengaruh daripada bahasa Arab, bahasa Jawa, bahasa Indonesia dan bahasa Sanskrit. Perkataan pinjaman dalam bahasa Arab yang terdapat dalam HRP ialah syeikh, akil baligh dan khatan. Ngabehi dan aria ialah bahasa Jawa yang terdapat dalam HRP. Bahasa Indonesia ialah lasykar. Perkataan Sanskrit pula yang terdapat dalam HRP ialah raja dan gajah.
Setelah mendengar kisah suaminya menemui kanak-kanak lelaki dalam hutan yang dibawa oleh gajah itu, tuan puteri berkata, “Ya, tuanku. Usahakan apa cara sekali pun mendapatkan kanak-kanak itu.”
 (HRP: halaman 6)
            Gaya bahasa yang indah juga dimuatkan dalam HRP. Gaya bahasa yang terdapat dalam HRP ialah anafora, simile, disfemisme, hiperbola, retorik dan dialek. Kesemua gaya bahasa yang digunakan pengarang menimbulkan keindahan. Pengarang membandingkan kanak-kanak yang dilihat oleh Raja Ahmad lebih bernilai daripada emas atau manikam kerana Raja Ahmad tidak mempunyai anak serta menginginkan kanak-kanak tersebut untuk dijadikan anaknya. Salah satu contoh ialah perkataan seperti dalam HRP menunjukkan bahawa penggunaan gaya bahasa simile digunakan pengarang untuk memberi keindahan kepada karya sastera.
Raja Ahmad berkata kepada orang tua itu, “Hai bapak, jikalau emas atau manikam ditunjukkan di hadapan hamba atau ada diberikan kepada hamba tiadalah hamba suka seperti hamba melihat kanak-kanak ini.”
(HRP: halaman 5)
            HRP mengandungi dialog, monolog dan pantun. Pengarang memasukkan pelbagai unsur dalam HRRP untuk mengindahkan karya dan membuatkan pembaca tidak bosan untuk membaca. Kesenian yang dihasilkan pengarang amat bernilai dan masih wujud sehingga ke hari ini seperti penggunaan dialog, monolog dan pantun dalam penghasilan karya oleh penulis-penulis zaman ini. Dialog ialah proses komunikasi antara dua pihak atau lebih. Pengguanaa dialog dalam HRP amat banyak dan bernilai. Salah satu dialog yang terdapat dalam HRP ialah ketika Sultan Ahmad Perumal memarahi gundiknya iaitu Dara Zulaikha Tingkap kerana Sultan terkejut daripada tidur kerana mendengar gegaran yang kuat di istananya.
“Ayuhai Dara Zulaikha Tingkap!
bergelar Tun Derma Dikara.
asalmu orang terjunan
nasabmu daripada pengaliran,
jana-berjana dari sungai Rahat!
karna engkau penghulu gundikku dalam istana”.
            (HRP: halaman 77)

            Berdasarkan dialog antara Sultan Perumudal Perumal dan Dara Zulaikha Tingkap di atas, terdapat penggunaan seloka yang isinya menyamai puisi moden ciptaan Amir Hamzah. Oleh itu, teknik penceritaan dan penulisan yang digunakan pengarang HRP  adalah indah, masih relevan serta masih digunakan pada zaman ini.

No comments:

Post a Comment