Novel Interlok mengandungi 4 Buku iaitu sama
seperti 4 bab. Bab yang pertama mengisahkan tentang keluarga Seman yang
terpaksa bersusah payah selepas kematian ayahnya. Bab kedua pula menceritakan
tentang keluarga Cing Huat yang berasal dari China dan berhijrah ke Tanah
Melayu serta terpaksa bersusah payah di sana. Bab ketiga pula menceritakan
mengenai keluarga Maniam yang berasal dari India Selatan dan terpaksa
mengharungi segala dugaan ketika berada di Malaya. Bab terakhir pula
mengisahkan kehidupan ketiga-tiga keluargaa berkenaan yang mengenal sesama
sendiri ketika zaman penjajahan Jepun, zaman darurat dan zaman kemerdekaan
negara.
Buku Satu – Keluarga Seman
Bahagian
Buku Satu novel Interlok memaparkan kisah Seman, anak tunggal pasangan
Pak Musa dan Mak Limah. Seman seorang pemuda yang gagah dan rajin tetapi tidak
tahu membaca kerana tidak ke sekolah. Apabila Pak Musa sakit, secara rahsia dia
meminta Seman membawa Mak Limah berpindah tanpa memberikan sebarang alasan.
Akhirnya Pak Musa meninggal dunia sebelum sempat menceritakan perkara sebenar.
Setelah 27 hari kematian Pak Musa, Cina Panjang menemui Seman untuk memaklumkan
bahawa Pak Seman berhutang sejumlah wang daripadanya untuk membeli tanah dan
pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang. Cina
Panjang menunjukkan surat-surat hutang Pak Musa. Akhirnya Seman membawa ibunya
berpindah dari kampung kerana semua harta bukan miliknya lagi.
Buku Dua – Keluarga Cing Huat
Penduduk
kampung gempar kerana tanaman padi dimakan belalang. Keadaan ini menyebabkan
Kim Lock dan anaknya Cing Huat serta beberapa orang lelaki di kampung itu
berhasrat merantau mencari pekerjaan di Singapura. Di sana Kim Lock ditawarkan
menjual anaknya Cing Huat tetapi ditolaknya. Selepas 30 bulan di Singapura, Kim
Lock bercadang bekerja di Melaka. Bersama-sama Kim Sui, dia dan anaknya menaiki
tongkang tetapi di Muar. Dia bekerja di Lukut dan di Pulau Pinang. Akhirnya,
Kim Sui mengajak Kim Lock berniaga di Simpang Empat. Perniagaan mereka maju
tetapi Kim Lock menjadi penagih candu hingga meninggal dunia selepas isterinya
di negara China meninggal dunia. Orang Cina mendirikan sekolah Cina untuk
anak-anak mereka. Cing Huat berkahwin dan dikurniakan empat orang anak. Seorang
anaknya, iaitu Yew Seng rapat dengan Lazim dan keadaan ini tidak disenangi oleh
Cing Huat. Akhirnya Yew Seng keluar dari rumah ayahnya.
Buku Tiga – Keluarga Maniam
Maniam datang dari dari India dan bekerja sebagai kuli di
pelabuhan Pulau Pinang. Waktu petang dia minum tuak di kedai. Dia juga mengirim
wang untuk isterinya di India. Pillay tidak menyampaikan kiriman tersebut,
sebaliknya isteri Maniam jatuh ke tangan Pillay akibat desakan hidup. Maniam
kecewa. Dia berpindah tempat kerja dan akhirnya bekerja di kebun kelapa di
Cangkat Lima. Maniam berkahwin dengan Malini secara rahsia. Rahsia
perkahwinannya dibongkar oleh Suppiah, orang kampungnya. Akibatnya, Maniam tidak
disenangi dan dihalau keluar dari tempat tersebut. Peristiwa ini menyebabkan
Malini meninggal dunia tiga tahun kemudian. Suppiah mencadangkan sekolah Tamil
didirikan di kebun untuk anak-anak orang India. Raman, iaitu guru sekolah
mengetahui bahawa Suppiah lari dari negaranya kerana takut ditangkap polis dan
menerangkan perkara sebenar tentang Maniam kepada Perumal. Perumal menyesal
atas tindakannya terhadap Maniam.
Buku Empat – Interlok
Maniam menjadi tandil di kebun getah. Apabila Seman
datang meminta kerja, Maniam berusaha membantunya, lebih-lebih lagi sesudah
mengetahui Seman ialah anak Musa, kawan baiknya. Maniam juga mendapatkan sebuah
petak di rumah kuli untuk Seman dan ibunya yang telah keluar dari kampung
mereka. Yew Seng pula lari dari rumah kerana kecil hati terhadap ayahnya yang
tidak menghargainya. Dia bekerja di lombong bijih timah. Seman melawat Kampung
Nyiur Condong setelah dua tahun setengah meninggalkan kampung tersebut. Dia
diterima baik oleh orang-orang kampung. Pinangannya untuk Gayah juga diterima
dan dia menjadi menantu Mat Ranggi. Penduduk Kampung Nyiur Condong gempar
dengan kehadiran orang Jepun ke Tanah Melayu. Orang Melayu berpakat membantu
Jepun mengusir Inggeris.
Cing Huat pula cuba berbaik-baik dengan Seman. Pada suatu malam kedai Cing Huat dimasuki perompak. Pada masa yang sama juga Poh Eng berjaya melepaskan diri dan diselamatkan oleh Seman yang kemudian membawa Poh Eng kepada emaknya. Sementara itu, pihak Jepun mencari Yew Seng yang dipercayai terlibat dengan komunis. Yew Seng yang mengetahui adiknya hilang berjaya menemukan adiknya, Poh Eng dan dibawa menyertainya ke hutan, iaitu ke markas komunis. Pada waktu petang askar Jepun pula menangkap Mak Limah, Maniam, dan beberapa orang lagi kerana disyaki membantu komunis. Maniam diseksa kerana tidak memberikan kerjasama. Seorang Inspektor berbangsa India menyoal siasat Maniam dan melalui soal siasat tersebut, barulah diketahui bahawa Inspektor tersebut ialah anak Malini, iaitu anak Maniam sendiri. Inspektor Rama Krishnan berjanji akan menolong ayahnya dan cuba membebaskan Mak LImah.
Harga barang
semakin mahal. Lazim pula menyesal kerana menyokong Jepun. Dia ditangkap Jepun.
Akhirnya Jepun menyerah kalah. Semua orang bergembira, terutamanya orang Cina.
Orang yang menjadi tali barut Jepun diseksa. Kumpulan Kong Beng (Kuomintang)
menangkap orang-orang yang bekerjasama dengan Jepun. Yew Seng yang mengenali
Lazim telah membebaskannya. Poh Eng pula berjumpa semula dengan Mak Limah.
Tanah Melayu diperintah oleh Inggeris semula. Orang Melayu semakin matang.
Orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union. Akhirnya perlembagaan
dibentuk. Pengaruh komunis pula mula berkembang semula di Tanah Melayu Orang
Cina pula berpendapat mereka patut bekerjasama dengan orang Melayu dan India
menentang komunis. Hasil kerjasama itu, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada
31 Ogos 1957.
No comments:
Post a Comment