Sunday 17 May 2015

PEMIKIRAN DALAM NOVEL INTERLOK

Pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya.
            Novel Interlok merupakan sebuah novel yang mempunyai pemikiran yang unik. Pemikiran utama yang ingin disampaikan oleh pengarang menerusi novel tersebut ialah penyatuan dan perpaduan kaum. Menerusi novel ini, pengarang mempunyai pemikiran yang bijak dengan menggunakan watak-watak yang terdiri daripada pelbagai kaum yang wujud di Malaysia seperti kaum Melayu, Cina dan India. Dalam novel ini, pengarang, iaitu Abdullah Hussain telah menggarap cerita yang menggambarkan kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sekitar awal tahun 1990-an hingga 31 Ogos 1957 apabila Malaysia mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Dalam jangka masa ini, perpaduan atau pertautan antara rakyat sangat penting untuk mencapai kemerdekaan dan seterusnya untuk membangunkan negara. Integrasi antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India melalui tiga keluarga yang berusaha untuk hidup bersama di Tanah Melayu yang aman, merdeka dan bersatu padu. Sebagai buktinya, Seman, Maniam, Cing Huat dan Yew Hock hidup saling membantu dalam urusan kehidupan seharian dan seterusnya bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat Malaya yang bersatu padu, aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum tersebut merupakan keistimewaan yang wujud secara semula jadi berdasarkan fakta sejarah apabila orang Cina yang diwakili oleh Cing Huat, dan orang India yang diwakili oleh Maniam datang ke Tanah Melayu pada masa itu untuk mencari rezeki dan seterusnya tinggal dan menetap di negara ini.
Dalam kehidupan mereka, setiap kaum itu hidup saling bergantungan antara satu sama lain. Orang Melayu meminjam wang daripada orang Cina dan orang Cina pula menggunakan orang Melayu untuk membeli tanah orang Melayu. Sebagai contohnya, Cina Panjang (Cing Huat) memberikan wang iaitu dengan meminjamkannya kepada Musa dan sebaliknya Cing Huat menggunakan Musa untuk membeli tanah orang Melayu. Musa pula telah menyelamatkan Maniam daripada dipukul dengan teruk dan Maniam membalas jasa Musa dengan memberikan bantuan kepada anaknya iaitu Seman untuk mendapatkan kerja di ladang di tempat Maniam bekerja sebagai tandil.
Kehidupan pelbagai kaum dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, dan India itu berlangsung dengan aman, saling bergantungan dan tiada persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Mereka berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni serta menjadikan negara ini negara yang merdeka dan berdaulat.
Oleh hal yang demikian, novel ini memaparkan pemikiran atau mesej tentang integrasi tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Di sinilah konsep `interlok’ yang hendak digambarkan dalam keseluruhan novel ini. Ketiga-tiga kaum ini berusaha untuk menjalani hidup bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat.
Novel ini memaparkan keadaan masyarakat pada awal abad ke 20 iaitu zaman kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu, orang India dari selatan benua India dan orang Melayu yang menjadi penghuni asal Tanah Melayu. Disitulah digambarkan situasi sosial, ekonomi dan politik. Ketiga-tiga kaum ini hidup dalam kemiskinan akibat penjajahan Inggeris yang mengamalkan sistem pemerintahan pecah-perintah. Orang Melayu sebagai petani, orang Cina sebagai pengusaha dan orang India bekerja di estet.
Ketiga-tiga kaum ini berusaha meningkatkan taraf hidup untuk merubah penghidupan mereka daripada kehidupan yang kurang baik menjadi lebih baik. Maka berlaku proses mobiliti sosial ke atas ketiga-tiga kaum terutama bagi generasi kedua dan ketiga. Mengikut Ting Chew Peh dalam bukunya Konsep Asas Sosiologi (1979), menjelaskan mobiliti sosial adalah satu proses perubahan individu atau kelompok daripada satu lapisan sosial kepada satu lapisan sosial yang lain dalam satu sistem stratifikasi sosial.

Isi dan Mesej dalam novel Interlok
Novel Interlok mempunyai empat bahagian utama. Pada bahagian pertama, pengarang menceritakan mengenai keluarga Seman. Ayahnya Pak Musa dan ibunya Mak Limah. Mereka tinggal di Kampung Nyior Condong. Pak Musa bekerja sebagai petani dan memiliki tanah dusun yang agak luas. Lantas dia dianggap antara orang berharta di kampung itu. Rahsia pemilikan sawah dan dusun ini terbongkar apabila Pak Musa meninggal dunia. Seman dan ibunya diminta meninggalkan rumah dan tanah yang mereka diduduki oleh tauke kedai bernama Cing Huat (Panjang). Rupanya semua tanah sawah dan dusun tersebut adalah kepunyaan Cing Huat. Cing Huat mempergunakan Pak Musa untuk membeli tanah orang Melayu, kerana Cing Huat tidak boleh membeli tanah kepunyaan orang Melayu.Tanpa diketahui oleh Mak Limah dan Seman, antara Cing Huat dan Pak Musa telah membuat perjanjian bertulis agar tanah tersebut diberikan kembali kepada Cing Huat sekiranya Pak Musa meninggal dunia. Seman yang tidak tahu menulis dan membaca terpaksa meninggalkan kampung itu bersama ibunya.
            Pada bahagian kedua pula, pengarang menceritakan mengenai keluarga Cing Huat. Cing Huat yang berusia 10 tahun dibawa oleh ayahnya bernama Kim Lock keturunan Hokien dari negara China (Tung San) datang Ke Rantau Selatan (Malaya) dengan menaiki kapal bersesak-sesak untuk mencari kehidupan baru. Apatah lagi faktor penolak di negaranya, kerana sudah beberapa musim sawah padinya tidak menjadi akibat bencana alam dan diserang oleh ribuan belalang. Tambahan pula pada ketika itu Paman Kok Leng yang pulang ke kampungnya yang menceritakan tentang kemudahan mencari wang di Rantau Selatan. Paman Kok Leng yang bertujuan untuk mencari pekerja yang sanggup bekerja di Rantau Selatan, mempengaruhi Kim Lok untuk pergi ke sana. Soal tambang pengangkutan boleh dibayar apabila telah bekerja nanti. Kim Lok bersetuju dan berangkat bersama anaknya Cing Huat dengan meninggalkan isteri di kampung. Setelah beberapa minggu belayar, akhirnya kapal yang mereka naiki sampai di Singapura (Sin-cia-pu). Di Singapura, Kim Lok bekerja sebagai kuli di pelabuhan, bertukar kerja menjadi penarik lanca sementara anaknya Cing Huat menjadi pelayan di kedai kopi. Kerana hendak mencari pendapatan lebih, Kim Lok pergi belayar ke Melaka dengan bantuan seorang kenalannya dan akhirnya sampai di Lukut bekerja di lombong bijih. Dengan simpanan yang ada Kim Lok menuju ke Pulau Pinang untuk mencari peluang membeli tanah. Kemudian dia pergi ke Kedah dan sampai di daerah kecil bernama Simpang Empat. Di tempat itu dia membuka kedai runcit yang akhirnya menjadi maju, kerana kedai tersebut menjadi tumpuan para petani dan pekerja estet di sekitarnya. Masa terus berlalu, kedai runcit yang semakin besar ini diteruskan oleh Cing Huat yang telah berumah tangga dan mempunyai empat orang anak. Kim Lok tidak sempat menemui isterinya yang ditinggalkan di China(Tung San) kerana peperangan telah berlaku antara China dan Jepun pada ketika itu. Kim Lok akhirnya meninggal dunia akibat ketagihan candu kerana dipengaruhi oleh perempuan simpanannya Mei Hua yang akhirnya juga meninggal dunia. Cing Huat meneruskan hidup bersama isterinya bernama Tua Tao dengan empat orang anaknya, yang lelaki bernama Yew Hock dan Yew Seng, sementara yang perempuan bernama Poh Eng dan Poh Kheng.
Bahagian ketiga pula menceritakan mengenai keluarga Maniam. Maniam berasal dari desa Tricur Kerala, India. Maniam Pada ketika itu berusia 30 tahun datang ke Pulau Pinang atas kemahuannnya sendiri kerana mendengar cerita beberapa orang kampungnya yang telah bekerja di Pulau Pinang, mudah mencari wang di sana. Maniam yang telah beristeri bernama Ambika, tetapi tidak mempunyai anak (anak sulungnya meninggal dunia) terpaksa meninggalkan isterinya untuk mencari penghidupan baru dan berjanji akan mengirimkan wang setiap bulan. Di Pulau Pinang dia bekerja sebagai buruh pelabuhan. Setelah beberapa lama bekerja dia dapat mengirimkan wang menerusi rakannya bernama Pillay. Malangnya Pillay tidak menyampaikan wang tersebut kepada isterinya, menyebabkan akhirnya isterinya terpengaruh dengan pujukan Pillay untuk hidup bersamanya. Cerita ini di sampaikan oleh rakan sekampungnya bernama Raman yang datang ke Pulau Pinang. Maniam berasa kecewa kerana dia amat setia dengan isterinya lalu membawa diri ke Bagan Tuan Kecil dan bekerja di sebuah estet getah. Tidak Lama dia bekerja di estet tersebut Maniam berpindah bekerja di kebun milik orang Inggeris di Cangkat Lima. Di Estet getah ini dia bekerja dengan baik dan amat disayangi oleh tandil estet bernama Perumal. Maniam akhirnya berkahwin dengan Malini anak tandil Perumal. Namun rumah tangga mereka berkocak, kerana Suppiah yang kemudiannya bekerja di ladang yang sama membawa mulut menceritakan Maniam telah beristeri dan tidak bertanggungjawab terhadap isterinya. Berita tersebut sampai ke telinga Malini dan ayah mentuanya Perumal. Maniam yang tidak tahan dengan sindiran para pekerja estet terpaksa meninggalkan Malini yang amat dicintainya tambahan pula Malini pada waktu itu sedang mengandung anak pertama. Pada malam dia berangkat meninggalkan estet tersebut, dia diserang oleh beberapa orang yang memusuhinya sehingga pengsan. Dia hanya tersedar apabila seorang Melayu bernama Musa menyelamatkannya. Meraka menjadi sahabat baik dan bekerja di Kebun Cangkat Janggus, sehinggalah Musa mengambil keputusan untuk berhenti dan pulang ke kampungnya dengan alasan untuk berkahwin.
Pada bahagian terakhir pula, pengarang menceritakan mengenai Interlok yang membawa maksud penyatuan bagi ketiga-tiga keluarga tersebut. Pengarang menceritakan ketiga-tiga kaum ini menerusi generasi kedua dan ketiga saling bantu membantu dan saling menjalani hidup bertoleransi. Ia dapat dilihat menerusi beberapa episod. Pengarang menggunakan latar semasa perang Jepun dan semasa darurat iaitu kebangkitan Kominis Bintang Tiga. Diceritakan apabila Seman meninggalkan kampungnya Nyior Chondong dia bersama ibunya sampai ke Kebun Cangkat Janggus. Di situ dia bertemu Perumal yang menjadi tandil di estet tersebut. Semasa ditemu duga, Seman menceritakan asal usulnya dan nama ayahnya. Apabila Maniam mendengar nama ayah Seman iaitu Musa berasal dari Nyior Condong, Maniam teringatkan Musa yang telah menyelamatkannya selepas dia diserang. Maniam yang mengenang jasa ayah Seman terus menerimanya bekerja di ladang tersebut. Kerana peluang orang Melayu untuk bekerja di ladang amat terbatas kerana momokan Melayu malas oleh orang Inggeris.
Episod selanjutnya Maniam ditangkap oleh tentera Jepun, dia disoal siasat oleh seorang Inspektor muda bernama Ramakrisynan. Dalam sesi soal siasat akhirnya Maniam baru tahu bahawa Inspektor itu adalah anaknya yang ditinggalkan semasa dalam kandungan ibunya. Inspektor Maniam juga dapat menyelamatkan Mak Limah yang ditahan oleh Jepun. Apabila Jepun sampai di Kedah, tentera Jepun akan menangkap orang-orang yang disyakki menjadi ahli Bintang Tiga. Suatu malam Jepun datang ke kedai Cing Huat yang mengesyakki ada anaknya menjadi ahli Bintang Tiga. Poh Eng yang ketakutan lari keluar rumah dan diselamatkan oleh Seman lalu dibawa ke rumah tinggal bersama ibunya. Mak Limah akhirnya ditangkap Jepun kerana melindungi Poh Eng adik Yew Seng yang menjadi ahli Bintang Tiga. Nasib Mak Limah agak baik dia kemudian dilepaskan oleh Inspektor Ramakrisynan setelah diberitahu oleh ayahnya - Maniam, bahawa Mak Limah ialah ibu Seman anak kawan baiknya.
Kisah selanjutnya, apabila Inspektor Ramakrisynan menyelamatkan ayahnya Maniam, Yew Seng dan Poh Eng yang berhajat tidak ingin lagi menyertai pasukan Bintang Tiga. Hal ini berlaku apabila Jepun menyerah kalah, gerombolan kominis cuba berkuasa di Tanah Melayu. Inspektor Ramakrisynan yang ditugaskan oleh tentera British mengetuai serangan perkhemahan Bintang Tiga dan berjaya memusnahkan khemah gerombolan tersebut dan dapat menyelamatkan bapanya, Yew Seng dan Poh Eng.

Episod terakhir digambarkan oleh pengarang tiga manusia dari tiga suku kaum yang sebelumnya hidup penuh konflik akibat hidup di bawah penjajahan Jepun, Kominis dan Inggeris sama-sama menyambut hari kemerdekaan di Kuala Lumpur. Seman, Yew Seng berserta rombongan diketuai oleh Raman yang aktif dalam persatuan bertolak ke Kuala Lumpur dan kedatangan mereka nanti akan disambut oleh Inspektor Ramakrisynan yang telah bertugas di Kuala Lumpur tinggal bersama ayahnya Maniam yang sudah tinggal menetap bersama anaknya. Pengarang mengakhiri cerita dengan suasana harmoni ketiga-tiga watak yang mewakili tiga kaum menyambut kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

No comments:

Post a Comment