Sunday 17 May 2015

RUMUSAN

Karya agung Melayu karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang berjudul Interlok mempunyai kekuatan yang tersendiri. Novel ini mengandungi empat buku (bab) yang menekankan integrasi tiga kaum utama di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India yang terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk hidup bersama-sama dalam sebuah negara yang bebas dan bermaruah. Pengarang menggunakan teknik mosaik dalam penceritaannya yang mengisahkan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam buku (bab) terakhir novel dengan jalinan plot yang kemas dan rapi. Kekayaan novel ini terbukti apabila pengarang menyelitkan pelbagai kekuatan seperti falsafah sejarah, falsafah sosial dan falsafah ekonomi yang menjadi rencah dalam penulisan beliau. Keberanian penulis terbukti apabila beliau dengan berani memasukkan beberapa kosa kata yang sensitif dan telah menjadi isu bagi sesetengah kaum. Sebagai masyarakat yang berfikiran merdeka dan rasional, kita haruslah menerima hakikat dan harus berpijak di dunia realiti tanpa menidakkan perkara yang benar. Selain itu, masyarakat juga boleh menghayati dengan baik erti persefahaman antara kaum yang mula terjalin yang disampaikan oleh pengarang dalam novel ini. Hal ini kerana novel ini merupakan realiti masyarakat berbilang kaum pada peringkat awal kemerdekaan negara. Secara rasionalnya, novel Interlok ini mempunyai banyak mutiara penyatuan kaum dan falsafah budaya yang boleh dijadikan penyatuan, persefahaman dan mengenali sejarah budaya masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment