Sunday 17 May 2015

PANDANGAN HIDUP DALAM NOVEL INTERLOK

Masyarakat yang Hidup dalam Keadaan Serba Kekurangan

Kehidupan masyarakat yang digambarkan dalam novel ini adalah masyarakat yang miskin dan perlu menyara diri dengan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal yang demikian, kerana kebanyakan penduduknya adalah petani kecil yang tidak memberi banyak keuntungan dan hanya cukup sekadar menyara diri dan keluarga. Hal yang demikian dijelaskan seperti berikut:

Bau tanah dan rumput amat menyegarkan perasaan Seman, tetapi entah berapa lama pula dia akan datang menghidu kembali bau tanah dan rumput itu. Dia akan berpindah kelapangan baru dalam hidupnya. Daripada anak tani dia akan menjadi kuli kebun getah, daripada hidup seperti ayam kais pagi makan pagi dia akan hidup seperti buruh, terima gaji tiap-tiap bulan. Mereka terus berjalan dengan tidak berhenti-henti sehingga matahari terbit.
(Interlok: halaman 365)

Namun demikian, bukan semua penduduknya miskin masih terdapat penduduk yang mempunyai taraf ekonomi yang baik. Bagi penduduk yang miskin, mereka perlu melalui kesusahan dan kepayahan tersebut dalam menyara kehidupan bagi memastikan kelangsungan hidup.

Taraf Kehidupan Seseorang

Taraf kehidupan seseorang amat dipentingkan oleh masyarakat untuk menilai kedudukannya sama ada seorang yang miskin mahupun berada dalam kelompok orang yang kaya. Hal yang demikian, dijelaskan dalam watak Mat Ranggi dan Bedah Ranggi yang tidak bersetuju untuk mengahwini anaknya, iaitu Gayah dengan Seman kerana Seman berasal daripada keluarga yang miskin dan tidak setaraf dengan keluarga Mat Ranggi yang mempunyai taraf kehidupan yang lebih baik daripada keluarga Seman. Hal yang demikian, dapat diertikan sebagai pipit sama pipit, enggang sama enggang yang tidak sama tarafnya antara pipit dan enggang. Sikap tersebut masih berlaku dalam masyarakat pada hari ini, di mana pangkat dan kedudukan lebih dipandang daripada aspek lain, seperti sahsiahnya. Pandangan masyarakat tersebut jelas ditunjukkan dalam novel ini, iaitu:

“Ceh!” mendesis Mat Ranggi kepada isterinya yang sedang mengumpul cawan bekas minuman tetamu tadi. “Seman? Seman yang mau meminang anak kita. Sudah gilakah Lebai Man tu? Ke mana sudah ilmunya aku pun tak tahu? Kankah Seman itu macam pipit. Pipit dengan enggang manakan nak sama.”
“Tak ada seorang pun yang berjenis, yang masuk meminang anak kita ni,” ujar isterinya sambil bangun untuk ke dapur. “Sekurang-kurangnya biarlah ada sedikit harta, kalau tak harta pun biarlah ada nama, jadilah juga?”         
(Interlok: halaman 382)

Dalam novel ini, menjelaskan bahawa taraf kehidupan seseorang menjadi ukuran dalam menentukan kebahagiaan sesebuah institusi kekeluargaan tersebut berbanding penilaian terhadap nilai budi pekerti yang ditunjukkan oleh seseorang.

Mengekalkan Adat dan Warisan Melayu


Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun mengikut musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Oleh yang demikian, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.
Dalam novel ini, pengarang cuba memperlihatkan kehidupan masyarakat yang masih berpegang kepada adat dan budaya Melayu dalam kehidupan harian. Hal yang demikian, dapat dilihat melalui watak Mak Limah yang gemar makan sirih. Sirih merupakan sejenis makanan atau ulaman yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu kerana memberi pelbagai khasiat untuk tubuh badan malah turut digunakan dalam upacara perkahwinan, dimana sirih junjung merupakan pelengkap utama semasa proses bertunang atau pernikahan dijalankan. Contohnya seperti berikut:

“Baik orang India tu, Seman,” kata Mak Limah ketika dia mulai menggobek sirihnya
(Interlok: halaman 366)
Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting, iaitu merisik, meminang, bertunang, akad nikah, adat berinai, dan akhir sekali adalah majlis perkahwinan.
Berdasarkan pengkajian dalam novel ini, memperlihatkan di mana adat resam perkahwinan itu diamalkan. Hal yang demikian, dapat dilihat melalui watak Seman yang berhasrat untuk memperisterikan gayah, namun demikian terdapat beberapa proses yang perlu dilaluinya sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung. Oleh yang demikian, Seman bertindak dengan merisik terlebih dahulu sebelum keputusan seterusnya dibuat. Misalnya, dapat dilihat seperti berikut:

Lazim telah memberitahukan ibu dan bapanya apabila Seman telah bersetuju untuk membuat risikan lebih dahulu, kalau-kalau belum ada orang yang masuk lagi dan kalau-kalau Seman mahu diterima sebagai menantunya apabila belum ada orang yang masuk meminang. 
(Interlok: halaman 380)

Tindakan Seman tersebut, amat menepati nilai adat dan budaya dalam masyarakat Melayu, khususnya adat resam perkahwinan. Sehubungan dengan itu, jelas menunjukkan masyarakat dalam novel ini, amat menitikberatkan soal adat dan budaya dalam kehidupan harian mereka.

Perpaduan

Hormat-menghormati merupakan nilai murni yang menjadi pegangan hidup dalam semua lapisan masyarakat bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan hidup. Amalan tersebut, telah diamalkan sejak dahulu lagi, sehingga pengarang turut menerapkan         nilai-nilai tersebut dalam hasil karyanya. Misalnya dapat dilihat seperti berikut:
“Berehatlah dulu,” kata Maniam. “Saya mau pergi buat kerja.” Dia menyusun jari kedua-dua belah tangannya memberi hormat kepada Mak Limah. Mak Limah tidak tahu apa yang mesti dibuat olehnya untuk membalas hormat itu. Dia melihat pada Seman dan ketika dia berpaling semula, Maniam telah berjalan jauh sambil menyeret basikalnya. 
(Interlok: halaman 366)
Walaupun berlainan bangsa, Maniam masih menunjukkan rasa hormatnya kepada Mak Limah yang berbangsa Melayu itu. Amalan murni yang ditunjukkan tersebut, dapat memberi pengajaran kepada khalayak pembaca supaya hidup bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa  agar hidup sentiasa hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Selain daripada itu juga, kekuatan yang terdapat di dalam novel Interlok ialah pandangan hidup masyarakat yang saling bantu-membantu dalam urusan seharian seterusnya bekerjasama untuk mewujudkan masyarakat Malaya yang hidup bersatu-padu, aman dan harmoni (Anwar dan Zakir, 2014). Perkara ini dapat dibuktikan apabila Seman, Cing Huat dan Yew Hock hidup saling bantu-membantu. Orang Melayu meminjam wang daripada orang Cina dan orang Cina pula menggunakan orang Melayu membeli tanah orang Melayu. Sebagai contohnya, Cina Panjang (Cing Huat) memberikan wang iaitu dengan meminjamkannya kepada Musa dan sebaliknya Cing Huat menggunakan Musa untuk membeli tanah orang Melayu. Musa pula telah menyelamatkan Maniam dari dipukul dengan teruk dan Maniam membalas jasa Musa dengan memberikan bantuan kepada anaknya, iaitu Seman bagi mendapatkan pekerjaan di ladang di tempat Maniam bekerja sebagai tandil. Kehidupan pelbagai kaum dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India itu berlangsung dengan aman, saling bergantungan dan tiada persengketaan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Mereka berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni serta menjadikan negara ini negara yang merdeka dan berdaulat.

Selain itu, perpaduan yang terjalin antara kaum dapat dilihat melalui sikap kerjasama dan saling tolong-menolong antara satu sama lain sehingga menjalinkan hubungan perpaduan yang erat antara kaum walaupun berbeza kefahaman atau pegangan agama. Misalnya, dijelaskan dalam hubungan persahabatan yang erat antara Maniam dan Musa walaupun mereka berlainan bangsa dan agama namun, dapat hidup bersama sebagai sebuah komuniti yang bersatu-padu antara satu sama lain. Contoh petikan, seperti berikut:

Dalam masa berjalan pulang itu, dia berfikir sendirian, betapa hebatnya persahabatan bapanya dengan orang itu. Dia tidak pernah mengetahui ada perhubungan persahabatan  antara orang yang berlainan bangsa yang sedemikian rupa. Dan dia pelik mengapa orang itu beria-ia benar mahu menolongnya. Memang dunia ini agak aneh!.
 (Interlok: halaman 360)
Seterusnya, nilai perpaduan dapat dilihat apabila Yew Seng yang berbangsa Cina lebih gemar menjalinkan hubungan persahabatan dengan rakan Melayu meskipun terdapat ramai orang Cina di sekolah tersebut. Contohnya seperti berikut:

Kerana selalu dimarahi itu dia berasa dirinya bukan daripada golongan orang cina, sebab itu dia tidak mahu bergaul dengan anak-anak Cina lain, walaupun banyak anak-anak yang sebaya dengannya di sekolah. Dia mencari kawan di antara anak-anak Melayu dan dia lebih fasih berbahasa Melayu daripada orang-orang Cina lain di pekan itu.
(Interlok: halaman 367)
Oleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa masyarakat pada waktu itu, telah memupuk nilai-nilai perpaduan dalam kehidupan seharian mereka. Sungguhpun, mereka berlainan bangsa namun mereka saling bantu-membantu sekiranya menghadapi sebarang kesusahan mahupun permasalahan.

Keagamaan
Novel ini, turut menerapkan unsur-unsur keagamaan dalam kehidupan masyarakatnya. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), mendefinisikan bahawa keagamaan merupakan perihal agama atau hal-hal yang berkaitan dengan agama. Hal yang demikian jelas diperlihatkan melalui watak Seman yang taat pada perintah agama dalam mendirikan solat. Misalnya seperti berikut:
Seman sampai di depan surau ketika orang-orang mahu sembahyang isyak. Dia terus mengambil wuduk dan berdiri di saf yang kedua di sebelah Mail Jambul.
(Interlok: halaman 362)

Seman tidak acuh. Dia terus sembahyang sunat tahiyat masjid dua rakaat dan duduk mendengar khatib membaca khutbah. Tidak menghiraukan orang yang panjang memanjangkan lehernya itu.
(Interlok: halaman 375)


Hal yang sama diperlihatkan melalui watak ibu Seman yang berpegang teguh pada ajaran agama, di mana beliau akan menghabiskan sisa hidupnya untuk mempelajari agama walaupun pada ketika itu, Seman anaknya mengajak Mak Limah untuk tinggal bersamanya dan Isteri namun ditolak baik oleh Mak Limah kerana dia lebih selesa untuk tinggal di pondok bagi meningkatkan ilmunya tentang agama Islam. Contohnya:

Ibunya sudah mengambil keputusan akan menghabiskan masa hidupnya dengan belajar agama bersama-sama dengan beratus-ratus orang pelajar lain, tua dan muda. Lebai Man sekarang sudah terkenal sebagai seorang alim agama. Dari merata-rata tempat datang orang menuntut ilmu kepadanya. Mereka itu mendirikan pondok-pondok kecil disekeliling rumahnya
(Interlok: halaman 390)

Unsur-unsur keagamaan itu, bukan sahaja diperlihatkan dalam watak Seman dan ibunya sahaja malah penduduk kampung itu sendiri yang mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan harian mereka, misalnya solat berjemaah di surau dan menjalankan aktiviti keagamaan di sekolah pondok. Sesungguhnya, kehidupan manusia tidak terlepas daripada pegangan agama malah menjadi teman sejati dalam memperoleh kehidupan yang diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t.

Penderitaan yang Dialami semasa Peperangan

Novel interlok antara novel yang mengandungi unsur-unsur sejarah yang cuba memberi gambaran kepada pembaca tentang pengalaman atau penderitaan yang dilalui oleh masyarakat terdahulu dalam mengahadapi penjajahan bangsa asing ke atas Tanah Melayu. Penjajahan yang berlaku di Tanah Melayu, menyebabkan masyarakatnya menghadapi penderitaan atas penyiksaan yang telah dilakukan oleh penjajah. Teks tersebut menggambarkan suasana penjajahan yang dilakukan terhadap penduduk Tanah Melayu:

“Orang Jepun ganggu orang perempuan. Ada orang lelaki yang sudah dibunuhnya, kerana tak mau membiarkan isterinya diganggu,” jawab Pak Cin dengan termengah-mengah. Lekas-lekas dia berjalan sehabis sahaja dia berkata-kata itu. Cing Huat kebingungan. Tetapi dia cepat insaf. Anak dan isterinya masih ada di dalam rumah itu
(Interlok: halaman 400)
Jepun itu memaki mata-mata yang lain itu, menyuruh memegang kaki Maniam. Maniam sudah tidak dapat bergerak lagi. Kepalanya sahaja dipusing-pusingkan untuk mengelak supaya air itu jangan masuk ke dalam mulutnya, ke dalam lubang hidungnya. Tetapi  kepalanya juga dipegang. Perutnya sudah penuh dengan air. Hidungnya lemas tersumbat dengan air yang dicurahkan itu. Dia mencuba mengeleng-gelengkan kepalanya sambil mengeluarkan cakap yang tidak begitu jelas. Jepun itu berhenti daripada mencurahkan air ke dalam mulutnya. 
(Interlok: halaman 435)
Orang-orang kampung juga sudah mulai tercekik hidupnya, hasil pertanian mereka terpaksa dijual kepada Jepun dengan harga yang murah, kalau tidak mahu dijual dirampas dan yang punyanya ditangkap dan dihukum.                   Nelayan-nelayan juga tidak terlepas daripada perbuatan kejam itu, ikan basah yang mereka bawa pulang daripada tangkapannya, diambil oleh Jepun dengan harga yang murah, kalau ketahuan disembunyikan mereka akan ditangkap dan diseksa
(Interlok: halaman 448)

            Penderitaan atas penyeksaan yang dilakukan oleh penjajah menunjukkan kesusahan dan kesakitan yang dialami oleh penduduk pada ketika itu. Namun demikian, disebalik penderitaan tersebut, dapat menjelaskan kepada kita ketabahan dan kesabaran masyarakat pada ketika itu dalam mengahadapi ujian dan dugaan hidup meskipun, banyak nyawa yang terkorban dan harta benda dirampas.





No comments:

Post a Comment