Sunday 17 May 2015

NILAI BUDAYA DALAM NOVEL INTERLOK

Penghasilan novel banyak memaparkan nilai budaya, khususnya dalam novel Interlok yang tulis oleh Abdullah Hussain. Nilai menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081) dalam Mohd Rashid Md Idris et. al bermaksud darjat, kualiti, mutu dan taraf. Menurutnya lagi, nilai dan etika masyarakat Melayu mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Berdasarkan novel yang dikaji, terdapat banyak nilai budaya yang diamalkan oleh kaum-kaum yang berbeza misalnya Melayu, Cina dan India yang hidup secara bermuafakat.

Menghormati orang tua
Budaya menghormati golongan yang lebih tua merupakan suatu nilai yang sangat ditekankan dalam kehidupan masyarakat majmuk. Sikap ini telah diamalkan sejak turun-temurun dan sewajarnya dikekalkan kepada generasi baru. Petikan di bawah merupakan salah satu nilai murni yang ada pada Seman sehingga dirinya digelar sebagai anak yang taat terhadap ibu bapa.
“Seman seorang anak yang tidak pernah melawan orang tua. Sejak kecil lagi dalam dirinya telag ditanam kesedaran tentang kuasa orang tua ke atas anaknya”.
(Interlok: halaman 15)
Memuliakan tetamu
Islam amat mementingkan persaudaraan, oleh itu para tetamu juga harus diberi layanan yang baik seperti mana hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ertinya, daripada Abu bin Umar r.a. Nabi S.A.W “Seorang Muslim adalah saudara kepada saudara seorang yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya”. Berikut merupakan contoh petikan memuliakan tetamu dalam novel Interlok.  
“Marilah makan dulu Seman. Nasi banyak ni,” Pak Utih mempelawa Seman.
(Interlok: halaman 20)
Lebai Man terkenal alimnya di kampung itu seperti Pak Utih yang terkenal tentang ubatnya, Walaupun dia datang dari Sumatera, tetapi orang-orang kampung itu tidak pernah menganggapnya orang asing. Dia diterima sebagai orang kampung itu sendiri.
(Interlok: halaman 32)
Mementingkan ilmu
Ilmu merupakan tunjang utama keperibadian seseorang. Sekiranya individu tersebut memiliki wang yang banyak tetapi tidak memiliki ilmu yang bermanfaat nescaya dirinya tergolong dalam kalangan orang yang rugi. Pepatah Arab ada menyatakan bahawa “tuntutlah ilmu hingga ke negeri China”. Oleh itu, ilmu penting terhadap semua golongan manusia di dunia ini mengira warna kulit, agama mahupun bangsa.
“Saya tidak keberatan kalau budak-budak lelaki itu disuruh mengaji di sekolah. Memang kita semua mesti menuntut ilmu, di mana saja ilmu itu ada”.
(Interlok: halaman 44)
Penduduk-penduduk Cina yang kira-kira lima belas keluarga itu berasa sudah sampai masanya mereka mendirikan sebuah sekolah untuk mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis bahasa kebangsaannya.
(Interlok: halaman 221)
Saling bekerjasama
Perpaduan dan kerjasama dalam kalangan kaum, bangsa dan warna kulit yang berbeza amat penting dalam melahirkan masyarakat majmuk. Berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Asalkan saudara se-Islam, maka hendaklah mereka bersatu padu dan bantu-membantu. Apabila terdapat mana-mana bahagian dalam kalangan umat Islam yang ditimpa musibah, maka hendaklah orang Islam yang lain turut merasakan musibah tersebut dan memberikan pertolongan kepadanya”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semangat bersatu padu amat dititikberatkan dalam sesebuah komuniti dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Petikan berikut merupakan contoh semangat kerjasama yang digambarkan dalam novel Interlok.

Beberapa orang lain sedang mengupas kelapa, memasang tungku. Orang-orang perempuan  menyiang ayam di tepi perigi sambil bercakap-cakap sesama sendiri.
(Interlok: halaman 55)
Malam kedua hujan turun lagu, tetapi tidak selebat malam pertama. Orang-orang yang tidur di atas geladak itu sudah mulai membuat persiapan untuk menghadapi serangan hujan itu, mereka mengikat kain terpalnya dengan kuat dan di sebelah menyebelah kain terpal mereka ditutup dengan kain-kain yang dapat mereka capai dari geladak itu.
(Interlok: halaman 137)
Enam bulan kemudian Maniam pun dikahwinkan dengan Malini dalam satu upacara yang sederhana. Pada hari itu kuli-kuli di perkebunan kelapa itu yang kesemuanya terdiri daripada orang-orang Tamil telah merayakan perayaan itu dengan satu pesta yang meriah. Semua kuli-kuli telah bergotong-royong untuk menjadikan majlis perkahwinan itu suatu hari yang patut dikenang oleh tiap-tiap orang.
(Interlok: halaman 272)
Tolong-menolong
Budaya tolong-menolong merupakan aspek utama untuk melahirkan masyarakat yang harmoni. Berdasarkan novel ini juga, pengarang ada menyelitkan semangat tolong-menolong yang melibatkan golongan lemah dan ditindas oleh pihak atasan. Namun, akhirnya mereka bangkit semula dengan semangat juang yang tinggi untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan gelora.
Waktu dia dalam kesusahan yang tidak tentu arah, KimSui datang menunjukkan jalan kepadanya. Kalau tidak kerana Kim Sui tentulah dia masih lagi menjadi kuli mengangkat najis di Singapura. Sekarang ini ketika dia sudah putus asa Kim Sui pula datang memberi jalan.
(Interlok: halaman 192)

“Apa ni, Zim? Aku dengar kau telah mengutip derma mahu menolong mendirikan rumah untuk aku”.
(Interlok: halaman 110)
Mentaati suami
Golongan lelaki dianggap ketua dalam sesebuah institusi keluarga. Oleh itu, golongan perempuan mestilah menghormati dan mentaati suami mereka. Berikut merupakan contoh petikan mentaati suami yang terdapat dalam novel Interlok.
Halimah membawa sekeranjang sarapan untuk suaminya. Dalam keranjang itu ada pulut, ada kelapa yang diparut, ada gula dan kopi satu teko.
(Interlok: halaman 37)
Malini terus bekerja, sampai dia mengandung lapan bulan. Dengan membawa perut yang sarat dia masih bekerja. Kadang-kadang Maniam berasa khuatir kalau isterinya itu melahirkan anak jauh daripada pandangannya. Maniam pernah ingin membantu isterinya tetapi dia menolak.
(Interlok: halaman 276)

Setia
Sikap setia turut diketengahkan dalam novel ini, iaitu melibatkan suami isteri yang berjauhan semata-mata untuk mencari rezeki di perantauan.
Maniam tidak pernah renggang dengan isterinya itu. Dia pun bekerja dengan rajin, walaupun kadang-kadang pekerjaan itu bukan tugasnya. Kerajinannya semata-mata kerana dia mahu hidup bahagia dengan Malini.
(Interlok: halaman 276)
Dia tahu anaknya itu rindu pada ibunya., tetapi kerana sikapnya yang suka mengambara mengikut bapanya maka dia tidak pernah menyebut apa-apa tentang ibunya itu. Dia sendiri rindu pada isterinya.
(Interlok: halaman 194)
Maniam serupa dengan orang-orang India lain, tidak pernah khuatir tentang keselamatan isterinya. Ada di antara temannya sudah dua tahun tidak pulang, tetapi sekali pulang isterinya masih tetap menunggu. Maniam juga masih tetap setia pada isterinya.
(Interlok: halaman 260)
Kasih sayang  
Hubungan anak dan ibu bapa ibarat carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Berdasarkan novel Interlok, pengarang turut menggambarkan kasih sayang antara anak dan ayah yang sanggup hidup bersama walaupun pelbagai halangan yang menimpa. Hal ini dibuktikan apabila Kim Lock tetap tegas dengan pendiriannya untuk melindungi anaknya. Sebaliknya tidak akan menjual anaknya walaupun dia diberi tawaran yang istimewa. Bukan itu sahaja, sebagai anak yang taat Cing Huat selalu mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka tidak kira walau di mana ua berada.
Kim Lock tidak beberapa memerhatikan percakapan kedua-dua orang itu, dia memandang pada anaknya yang sedang mengangkat cawan kopi kosong ke belakang. Kemudian anaknya membalas pandangannya dengan senyuman riang. Kim Lock besar hatinya. Dia tidak mahu menjual anaknya itu.
(Interlok: halaman 152)
Cing Huat sudah berdoa. Setiap pagi dia bangun daripada tidur sebelum matahari terbit, dia membongkok kepada gambar Kwan Yin, meminta doa supaya dewi perempuan itu menyelamatkan bapanya, menyelamatkan ibunya dan juga menyelamatkan dia dan kedainya.
(Interlok: halaman 206)

Cinta akan tanah air
Kepelbagaian kaum di negara ini asalnya daripada penghijrahan bangsa-bangsa asing seperti India dan Cina untuk mendapatkan sumber rezeki bagi menyara kehidupan mereka. Melalui novel ini, pengarang juga ada menyebut tentang keinginan dan kerinduan Cing Huat terhadap kampung halamannya di ngeri China. Antara contoh petikan adalah seperti berikut :
Entah kenapa ingatan Tauke Cing Huat hari ini selalu sahaja pada negeri leluhurnya. Sedang makan itu pun ingatannya masih ke sana juga.
(Interlok: halaman 231)
Mentaati ibu bapa
Sebagai anak yang taat kita mestilah menghormati ibu bapa. Justeru, dalam novel ini turut disertakan nilai mentaati perintah ibu bapa dengan mengikut segala kehendak baiknya dan meninggalkan segala perkara yang tidak disukai mereka. Berikut merupakan contoh petikan yang menggambarkan Poh Eng mentaati perintah ibunya.
Selesai menolong ibunya Poh Eng pun mengambil sulamannya pula dan mulai menyulam dengan tekun di meja makan berhampiran  dengan tempat adiknya Poh Kheng, membaca.
(Interlok: halaman 235)
Nasihat-menasihati
Novel Interlok juga menggambarkan sikap masyarakatnya yang gemar memberi nasihat antara satu sama lain demi keharmonian pada masa akan hadapan.
Dia cuba memejamkan matanya, tetapi semakin dipejam semakin jelas gambaran yang dapat dilihat dalam khayalannya, dia kembali melihat bapanya, semasa hidupnya bapanya selalu berkata kepadanya, “Kau jangan melawan ibu bapa, biar bagaimana pun jauhnya kau merantau ke negeri lain au mesti kembali ke negeri sendiri kerana di sanalah kubur datuk nenekmu”.
(Interlok: halaman 243)
Kerajinan
Novel Interlok juga ada menyatakan tentang kerajinan yang dimiliki oleh golongan-golongan sering mengalami masalah kesempitan hidup sehingga mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mendapatkan sesuap nasi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Misalnya dalam petikan berikut ada menyatakan tentang sikap rajin yang dimiliki oleh Maniam.
Penduduk sudah padat dan Maniam berasa sudah terlalu sempit baginya untuk mencari makan. Dia mengambil upah mengerjakan tanah orang lain, upahnya dengan beras tetapi hanya cukup untuk beberapa bulan. Lepas tu dia terpaksa cari kerja lain.
(Interlok: halaman 254)
Adat perkahwinan
Contoh petikan berikut menunjukkan wujudnya budaya dalam upacara perkahwinan bagi kaum India.
Pada pagi upacara perkahwinan itu akan dilangsungkan, Malini telah menjalani pelbagai upacara penyucian diri.
(Interlok: halaman 272)


No comments:

Post a Comment