Sunday 17 May 2015

NILAI ILMU DALAM HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

Di dalam karya agung Melayu terdapatnya nilai ilmu yang dibicarakan. Antaranya ialah ilmu firasat, ilmu pendukunan, ilmu jampi, ilmu pengasih, maklumat tentang strata sosial masyarakat dan adat istiadat. Orang Melayu pada zaman dahulu mempunyai banyak ilmu. Kedatangan Islam dan pengaruh Barat menambahkan lagi kerencaman ilmu yang bermanfaat dalam masyarakat Melayu. Kesemua nilai ilmu digambarkan dengan jelas dalam banyak karya agung Melayu.

Konsep Nilai
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Mohd Rashid Md Idris (2012) mendefinisikan nilai kepada tiga konteks utama iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Dalam bahasa Arab nilai ialah “al-qimah” yang bermaksud harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga mempunyai hubung kait dengan falsafah dan bersifat aksiologi. Nilai membolehkan manusia untuk membezakan antara baik atau jahat dan betul atau salah.  Nilai juga menjadi dasar atau asas bagi seseorang manusia untuk menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia yang lain. Perlakuan tersebut sama ada baik atau jahat dan salah atau betul.
Masyarakat Melayu tidak akan terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Pemupukan nilai dalam diri seseorang membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian dalam masyarakat Melayu. Nilai amat penting dan ditekankan dalam masyarakat Melayu kerana aspek nilai ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan bersikap beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Nilai dalam masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua cara iaitu secara formal di mana dipupuk melalui pendidikan formal di institusi pendidikan dan secara tidak normal iaitu melalui persekitaran bermula daripada keluarga, rakan dan seterusnya masyarakat itu sendiri.
            Nilai dan etika masyarakat Melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Nilai-nilai ini cukup sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu seluruh nusantara. Berdasarkan pengaruh agama Islam, ketinggian dan kesucian nilai dan etika memberikan pengaruh yang sangat besar terhadap akal budi Melayu ia kekal pada masyarakat hari ini.

Konsep Ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu merupakan hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita untuk menyebarkan kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Terdapat beberapa fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan iaitu untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Ilmu dan maklumat yang ingin dikaji berdasarkan karya agung merupakan ilmu pendukunan, ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih dan sebagainya.

Nilai Ilmu dalam Hikayat Raja-raja Pasai
i.       Ilmu firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka, badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum juga berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui dengan lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, hari atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh. Umumnya ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu dirasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.

ii.        Firasat mimpi
Firasat mimpi dalam Hikayat Raja-raja Pasai memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod Merah Silu bermimpi dan apabila bangun daripada mimpi baginda telah memeluk Islam. Di dalam mimpi Merah Silu, baginda telah didatangi oleh seseorang dan menampung dagu baginda dengan jari dan mata Merah Silu juga ditutup dengan empat jarinya lalu orang tersebut menyuruh Merah Silu mengucap dua kalimah syahadah tetapi Merah Silu tidak tahu untuk mengucap dua kalimah syahadah. Orang tersebut telah menyuruh Merah Silu membuka mulut lalu orang tersebut telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan telah memberitahu bahawa Merah Silu sekarang sudah menjadi Sultan Malikul Saleh. Merah Silu telah memeluk Islam kerana sudah mengucap dua kalimah syahadah. Orang yang datang ke dalam mimpi baginda ialah nabi Muhammad. Ini dapat dilihat dalam petikan dalam karya agung Hikayat Raja Pasai.
“Sementara itu Merah Silu bermimpi. Dalam mimpi itu, seseorang menampung dagu baginda dengan jari dan mata Merah Silu juga ditutup dengan empat jarinya, lalu orang itu berkata, “Hai Merah Silu, ucap olehmu dua kalimat syahadah.” Sahut Merah Silu,”Tiada hamba tahu mengucap akan dia.” Kata orang itu, “Bukalah mulutmu.” Merah Silu membuka mulutnya. Orang itu meludah ke dalam mulut Merah Silu, dan dirasainya lemak manis. Ujar orang itu, “Hai Merah Silu, engkaulah Sultan Malik al-Salleh. Kamu sekarang telah Islam kerana kamu mengucap dua kalimah syahadah.”

iii.     Firasat terhadap binatang
Ilmu firasat terhadap binatang juga diamalkan misalnya dalam Hikayat Raja-raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting sehingga tertubuhnya sesebuah negeri. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, penemuan negeri Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu. Anjing tersebut telah menyalak di sebuah tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malikul Salleh kemudian berasakan bahawa tempat itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing perburuan tadi. Contoh petikan:
“Maka tersebutlah perkataan Merah Silu di Rimba Jerana itu, sekali persetua pada suatu hari Merah Silu pergi berburu. Maka ada seekor anjing dibawanya akan perburuan Merah Silu itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya seperti kucing. Maka ditangkapnya oleh Merah Silu maka lalu dimakannya. Maka tanah tinggi itu disuruh Merah Silu tebasi pada segala orang yang sertanya itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya.”

iv.     Ilmu perdukunan atau jampi
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampong atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampong atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan masyarakat Melayu pada mulanya berbentuk ananisme di mana mereka menganggap benda-benda sekeliling mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan kepada pokok-pokok, batu-batu, sungai-sungai serta alam semesta. Kuasa ghaib tidak boleh dihubungi oleh sembarangan orang. Hanya pawang atau bomoh sahaja yang boleh berhubung dengan benda-benda tersebut. Bomoh atau dukun juga boleh menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutamanya yang liar dan bisa.
Terdapat juga golongan istana yang menggunakan dukun atau ahli nujum terutamanya sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Ahli nujum lebih kepada membuat ramalan. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sultan Malikul Salleh ingin mengahwini puterinya Sultan Perlak. Baginda menghantar orang untuk melihat anak Sultan Perlak. Apabila sampai di istana Sultan Perlak, terdapat tiga puteri yang cantik-cantik belaka. Apabila rombongan tersebut melihat ketiga-tiga puteri tersebut, mereka lebih berkenan kepada Puteri Ganggang. Apabila pulang ke Samudera, wakil tersebut telah memberitahu apa yang telah dilihatnya. Setelah itu, Sultan Malikul Salleh telah mengarahkan ahli nujum masuk mengadap dan memerintahkan ahli nujum melihat siapa yang lebih sesuai antara ketiga-tiga orang puteri tersebut. Maka ahli nujum melihat nujumannya. Contoh petikan dalam Hikayat Raja Pasai adalah seperti berikut:
“Setelah sudah dipersembahkan oleh orang yang melihat itu, maka disuruh Sultan Malikul Salleh panggil ahli nujum. Datanglah segala ahli nujum. “Lihat apalah oleh tuan-tuan sekalian  dalam nujum kamu akan anak Raja Perlak itu, yang mana baik, kita ambil.” Segala ahli nujum pun melihat nujumnya dan membilang-bilang ramalannya serta menggerakan kepalanya lalu datang sembah segala ahli nujum itu, “Ya Tuanku Syah Alam, jikalau tuan puteri yang duduk tinggi pada martabatnya itu Syah Alam ambil, nescaya datang kepada anak cucu Syah Alam kerajaan tiada berkeputusan terlalu sekali berbahagia.”

v.            Ilmu agama Islam
Dalam Hikayat Raja-raja Pasai terdapatnya ilmu agama Islam. Agama Islam telah lama wujud tetapi belum disebarkan di serata dunia. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sultan Malikul Salleh telah bermimpi dan memeluk Islam. Bermula daripada baginda, rakyat-rakyat juga turut diislamkan. Hal ini dapat dilihat dalam petikan berikut:
“Apabila bertemu dengan Sultan Malikul Saleh, Syeikh Ismail berkata,”Hai Sultan, ucaplah oleh tuan hamba dua kalimah syahadah.” Maka Sultan pun mengucap, “Asyhadul an laillallahwahdahu la syarikalahu wa asyhadu anna Muhammadar abdahu wa rasuluh.” Pada keesokkan harinya, datanglah fakir itu membawa al-Quran tiga puluh juz itu kepada Sultan Malikul Saleh, maka ditunjukkan oleh fakir itu al-Quran kepada Sultan Malikul Saleh maka disambutnya dengan takzim lalu dijunjunginya serta dibukanya lalu dibacanya, tiadalah ia minta diajari lagi, tahulah ia membacanya sendiri. Fakir dan Syeikh Ismail pun mengucap, alhamdulillahi rabbi’l-‘alamin.” Syeikh Ismail meminta dihimpunkan segala hulubalang dan segala rakyat. Apabila sudah berhimpun sekaliannya, Syeikh Ismail mengajar mereka mengucap dua kalimah syahadah. Sekalian yang hadir rela mengucap dua kalimah syahadah dengan tulus ikhlas serta yakin hati mereka.”

Dapat dilihat bahawa agama Islam telah lama wujud dan pemelukan akan Islam dimulai dengan raja dan barulah diikuti oleh rakyat-rakyat. Negeri itu digelar sebagai Darul Islam kerana orang di negeri itu tidak dipaksa untuk memeluk agama Islam.

No comments:

Post a Comment