Sunday 17 May 2015

PANDANGAN HIDUP DALAM HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

Definisi Pandangan Hidup
Secara umumnya, pandangan hidup merangkumi keseluruhan yang berada di alam semesta ini. Pandangan hidup boleh dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Munurut perspektif  sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup yang dikemukakan perlulah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Pandangan tersebut lebih menjurus kepada realiti atau hakikat yang lahir dari mata hati manusia tentang kewujudan seluruh alam. Dr. Hj. Mohd Rashid Hj. Md Idris, Prof Madya Dr. Abd. Rahman Napiah dan Dr. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014), menyatakan pandangan hidup merupakan suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu bagi menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia mahupun alam.
Setiap masyarakat memiliki pandangan hidup tersendiri. Bagi pandangan orang Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, sesama manusia dan juga alam. Pandangan hidup sesama manusia dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu, keluarga, pemimpin dan masyarakat. Secara keseluruhannya, pandangan orang Melayu telah berubah mengikut peredaran zaman dan agama Islam telah dijadikan panduan dalam menentukan pembentukan pandangan masyarakat Melayu disamping tidak melupakan       unsur-unsur tradisi masyarakat terdahulu.

Pandangan Hidup Berteraskan Islam
Awang Sariyan (2010), menjelaskan bahawa kewujudan fahaman falsafah yang berkaitan dengan ontologi (sistem kewujudan pencipta dan yang dicipta), epistemologi (teori ilmu) dan aksiologi (teori dan asas nilai atau akhlak) terpapar dalam sekian banyak karya para ulama, pemikir dan pujangga Melayu, baik yang berbentuk prosa mahupun puisi, karya-karya ilmu kalam, fiqah mahupun metafizika atau tasawuf. Malahan amat penting dan menarik bahawa dalam karya-karya yang berbentuk sastera atau dalam zaman modennya dikenali sebagai karya kreatif, asas-asas falsafah Melayu yang bertunjangkan Islam itu dapat juga dikesan. Salah satu karya yang berunsurkan keislaman dapat dilihat dalam Hikayat Raja-raja Pasai (HRP). Hal yang demikian, jelas dapat dilihat melalui raja atau pemerintahnya yang mendapat wahyu untuk memeluk agama Islam dan secara tidak langsung agama Islam telah menjadi pegangan hidup bagi rakyat bawahannya.

Pandangan Hidup dalam Hikayat Raja-raja Pasai
i.              Institusi kekeluargaan pemerintah
Dalam HRP, banyak menceritakan tentang susur galur keturunan bagi Raja-Raja Pasai yang bermula dari Raja Muhammad dan Raja Ahmad. Contohnya:
Ada sebuah negeri di bawah angin bernama negeri Pasai. Antara negeri di bahagian yang dikenali sebagai negeri di bawah angin maka negeri Pasailah negeri yang pertama menerima agama Islam. Pada zaman dahulu, di negeri Pasai ada raja dua bersaudara. Yang tua bernama Raja Ahmad dan adiknya bernama Raja Muhammad. Kedua-dua beradik itu hendak membuat negeri di Semerlanga.
(HRP: halaman 1)

Seterusnya institusi keluarga tersebut, terus berkembang melalui hasil perkahwinan antara anak Raja Ahmad, iaitu Buluh Betung dan anak Raja Muhammad, iaitu Merah Gajah. Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan dua orang anak, iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Institusi keluarga tersebut semakin bertambah melalui hasil perkahwinan kaum kerabat raja-raja tersebut.

ii.            Kehidupan sosial pemerintah
Raja merupakan ketua bagi rakyat dibawahannya. Sehubungan dengan itu, raja mempunyai kuasa untuk menentukan bentuk pentadbiran dan pemerintahannya. Dalam HRP, banyak menceritakan tentang susur galur kaum kerabatnya daripada permulaan institusi kaum kerabat diraja sehinggalah tertubuhnya kerajaan Pasai itu sendiri dan saat kejatuhannya. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan dalam teks ini, HRP lebih menjelaskan tentang kuasa pemerintahan, iaitu perlu patuh apabila sesuatu arahan atau titah seorang raja itu disampaikan. Misalnya:

Maka Raja Muhammad dengan segala rakyatnya menebas rimba. Di tengah rimba itu terdapat serumpun buluh betung yang terlalu rimbun. Sekalian rakyat menebas dan menebang pohon buluh itu.
(HRP: halaman 1)

Bagi raja-raja Melayu konsep daulat atau darjat menjadi sebahagian daripada status raja itu sendiri sebagai lambang kekuasaannya sebagai pemerintah yang berada di puncak atas dalam tatatingkat hierarki susunan sesebuah masyarakat. Dalam HRP, ada menunjukkan bahawa pekerjaan atau hobi yang dilakukan oleh orang bawahan tidak sesuai bagi golongan atasan.
Merah Hasum memanggil seorang hamba, katanya, “Pergi engkau katakan kepada saudaraku, Merah Silu apa gunanya bermain binatang yang tiada berguna kepada orang yang banyak itu. Dan memberi aku malu. Jika dia tiada mendengar kataku ini, nyahlah dia dari negeri ini; janganlah ia duduk bersama-sama aku.”
(HRP: halaman 15)

Hal yang demikian, jelas memperlihatkan bahawa perbezaan darjat atau pangkat mempengaruhi tingkahlaku atau cara hidup seseorang.

iii.          Mitos
Kamus Dewan (2010), mendefinisikan mitos sebagai cerita zaman dahulu yang dianggap benar, terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa, kejadian-kejadian alam dan sebagainya. Mitos juga, dapat diertikan sebagai cerita tentang seseorang atau sesuatu yang tidak benar atau direka-reka mahupun cerita dongeng. Dalam HRP, yang dikaji ini turut memperlihatkan kepercayaan mitos masih dipercayai oleh masyarakat walaupun kebenarannya sukar dipastikan. Contoh tersebut dapat memperlihatkan unsur-unsur mitos yang terkandung dalam HRP.

Raja Muhammad terpandang rebung di tengah-tengah buluh betung itu besarnya seperti badan manusia. Baginda hendak menebang rebung itu, maka sekonyong-konyong keluar seorang kanak-kanak perempuan. Rupa paras anak itu terlalu cantik. Raja Muhammad mencampakkan pedang pendeknya lalu mengambil kanak-kanak itu.
(HRP: halaman 2)

Orang tua itu berkata, “Hai, jikalau tuan hendak akan anak baiklah aku tunjukkan anak itu dan hendaklah tuan tunggu di sini barang sebentar.”Raja Ahmad dengan hulubalang dan orang besarnya menunggu di surau itu. Tidak lama kemudian, datanglah seekor gajah yang sangat besar.
(HRP: halaman 4)
Cacing gelang-gelang itu pun dibawanya pulang ke rumah lalu dimasukkan ke dalam kawah. Merah Silu menyuruh rebus semua cacing gelang-gelang itu. Dengan takdir Allah taala, cacing gelang-gelang itu pun menjadi emas dan buihnya menjadi perak.
(HRP: halaman 14)
      
Berdasarkan penelitian tersebut, masyarakat dahulu masih menganggap mitos atau kepercayaan karut itu masih wujud dan berlaku. Dalam penelitian yang dilakukan, mendapati mitos atau kepercayaan tersebut banyak berlaku sebelum kedatangan Islam di kawasan tersebut. Setelah pengaruh Islam mula tersebar, kepercayaan atau mitos yang berlaku kepada masyarakat ada waktu itu semakin berkurangan. Seharusnya, kepercayaan tersebut perlu ditangani dengan segera kerana kesahihannya tidak dapat dibuktikan secara konkrit. Pada masa sekarang, perbuatan atau perkara tahyul seperti tersebut perlu dibasmi dengan segera supaya masyarakat Islam amnya tidak terpesong yang boleh memberikan kesan negatif sehingga merosakkan aqidah umat Islam.

iv.          Keislaman
Penyebaran agama Islam berkembang luas ke seluruh dunia sama ada melalui perdagangan, perkahwinan, melalui pendakwah dan sebagainya. Berdasarkan HRP, menunjukkan bahawa pengaruh Islam mula tersebar apabila pengislaman bermula dengan pemerintahnya. Contohnya seperti berikut:

Pada keesokan harinya, maka Syeikh Ismail pun turun ke darat menghadap Sultan Maliku’l-Saleh. Apabila bertemu dengan Sultan Maliku’l-Saleh , Syeikh Ismail berkata, “Hai sultan, ucaplah oleh tuan hamba dua kalimah al-syahadah.” Maka sultan, pun mengucap, “Asyhadu an laillallah wahdahu la syarika lahu wa asyhadu anna Muhammadar ‘abdahu wa rasuluh.”
Pada keesokan harinya, datanglah fakir itu membawa al-Quran tiga puluh juz itu kepada Sultan Maliku’l-Saleh, maka diunjukkan oleh fakir itu al-Quran kepada Sultan Maliku’l-Saleh; maka disambutnya dengan takzim lalu dijunjunginya serta dibukanya lalu dibacanya, tiadalah ia minta diajari lagi, tahulah ia membaca sendirinya. Fakir dan Syeikh Ismail pun mengucap, “Al-hamdu lillahi rabbi’l-‘alamin.”
(HRP: halaman 25)

Pengislaman yang berlaku dalam kalangan pemerintah atau raja menunjukkan bahawa proses penyebaran agama Islam itu lebih mudah dijalankan. Hal yang demikian kerana tingkah laku atau cara hidup golongan atasan akan menjadi ikutan orang bawahannya. Penyebaran Islam telah mendapat sambutan baik oleh masyarakat di negeri tersebut sehingga diberi nama Samudera Darul Islam.

          Syeikh Ismail meminta dihimpunkan segala hulubalang dan segala rakyat. Apabila sudah berhimpun sekaliannya, Syeikh Ismail mengajar mereka mengucapkan dua kalimah al-syahada dengan tulus ikhlas serta yakin hati mereka. Sebab itulah negeri itu digelar Darul-Islam, kerana orang di negeri itu tidak dipaksa mengerjakan kerja masuk agama Islam.
Apabila seseorang telah memeluk agama Islam, secara tidak langsung hukum syarak perlu dipatuhi dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Dalam hikayat ini, memperlihatkan bahawa pemerintah menjadi ketua agama dan perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat jelatanya. Misalnya:
Ujar orang itu, “Hai Merah Silu, engkaulah Sultan Malik al-Saleh. Kamu sekarang telah Islam kerana kamu mengucap dua kalimah syahadah. Sekarang segala binatang yang hidup, halal engkau sembelih dan engkau makan. Yang tiada disembelih jangan engkau makan. Dalam empat puluh hari lagi ada sebuah kapal datang dari Makkah, barang segala katanya dan barang segala perbuatannya yang berpatutan dengan segala pekerjaan agama Islam orang yang dalam kapal itu janganlah engkau lalui, dan hendaklah engkau turut apa-apa yang diajari itu.”
(HRP: halaman 23)

Tiga hari kemudian, Sultan Maliku’l-Saleh memberi wasiat kepada Syed Asmayu’d-din dan Syed Ali Ghiatu’d-din. “Hai perdana menteri kedua, baik-baik kamu berdua ini memelihara cucuku berdua ini, insya-Allah, jangan kamu beri bersalahan ia dua bersaudara serta kamu berdua ajari; jangan kamu berdua mengubah setia kamu menyembah segala raja-raja yang lain daripada cucuku. Hubaya-hubaya jangan kamu beri teraniaya daripada segala hamba Allah dan jangan kamu mengerjakan segala pekerjaan yang bersalahan dengan hukum Allah, kerana firman Allah taala dalam        al-Quran demikian ertinya; ‘barang siapa tiada menghukumkan dengan barang hukum yang diturunkan Allah, maka bahawasanya mereka itu jadi kafir.”
(HRP: halaman 41)

Berdasarkan pernyataan tersebut menunjukkan bahawa pemerintah pada masa tersebut menerima baik ajaran Islam yang disampaikan dan menjadi pegangan hidup dalam kehidupan seharian mereka.
Selain itu, keadilan merupakan satu amalan yang dititikberatkan dalam agama Islam bagi memastikan kelangsungan hidup yang harmoni. Sifat keadilan ini ada ditonjolkan dalam diri pemerintah iaitu, melalui sifat Sultan Maliku’l Saleh yang adil dalam membahagikan hartanya. Contohnya:
Nenda baginda membahagikan rakyat dan segala harta dan perkakas alat kerajaan, gajah dan kuda, dan segala senjata kepada dua bahagian. Sultan Maliku’l-Mahmud sebahagian dan yang sebahagian lagi diserahkan kepada cucunda Sultan Maliku’l-Mansur kerana Sultan Maliku’l-Mansur masih kecil. Tinggallah Sultan Maliku’l-Mahmud menjadi raja di negeri Pasai. Sultan Maliku’l-Saleh membawa cucunda baginda, Sultan Maliku’l-Mansur, ke negeri Semudera Darul Islam.
(HRP: halaman 39)

Contoh-contoh pernyataan tersebut, memperlihatkan bahawa kedatangan agama Islam memberi tauladan serta pedoman hidup yang baik kepada umat manusia dalam menuju kebenaran dan mendapat keredaan hidup di dunia dan di akhirat oleh Allah S.W.T.

v.            Pentadbiran
Pentadbiran merujuk kepada perbuatan mentadbirkan, pengelolaan, pengurusan, dan pemerintahan, Kamus Dewan (2010). Pentadbiran juga melambangkan pengaruh atau kekuasaan yang dimiliki oleh seseorang pemerintah tersebut. Dalam HRP, menunjukkan terdapat  pentadbiran atau sistem pemerintahan yang dilaksanakan oleh pemerintahnya bagi memastikan kelangsungan pentadbirannya. Pentadbiran tersebut diperluas melalui jajahan atau penaklukan sesuatu kawasan baru. Misalnya:

Setelah Merah Silu diangkat menjadi raja, datang Sultan Maliku’l-Nasar ke Rimba Jerun. Maka berperanglah Merah Silu dengan Sultan Maliku’l-Nasar. Sultan Maliku’l-Nasar berundur ke sebuah negeri bernama Benua lalu dia bertahan dan berbuat istana. Beberapa lama Sultan Maliku’l-Nasar duduk dalam negeri itu, pada suatu hari, datang Merah Silu memerangi Sultan Maliku’l-Nasar lalu Sultan Maliku’l-Nasar undur ke rimbanya. Merah Silu menamakan tempat itu Pertama Terjun. Sultan Maliku’l-Nasar berundur lagi dan sampailah di suatu negeri; dan membuat istana di negeri itu.
(HRP: halaman 18)

Jajahan dan penaklukan yang dilakukan akan menambah pengaruh dan kekuasaan pemerintahnya, namun demikian sesebuah pentadbiran akan musnah sekiranya pemimpin atau pemerintah tidak mengamalkan ajaran atau sikap kepimpinan yang baik serta melanggar hukum syarak. Contohnya, dapat dilihat seperti berikut:

Angkatan Majapahit naik menghadap Sang Nata Majapahit dan Permaisuri. Senapati pun mempersembahkan segala harta dan tawanan itu kepada Sang Nata Majapahit. Dia mengkhabarkan perang itu daripada mula hingga kesudahannya bahawa negeri Pasai itu sudah dikalahkan dan sultannya melarikan diri tidak diketahui ke mana. Maka Pasai telah menjadi negeri takluk di bawah kekuasaan Majapahit.
(HRP: halaman 108)

Hal yang demikian, menjelaskan bahawa setiap pentadbiran yang dilaksanakan mestilah berpegang teguh pada ajaran agama supaya sistem pemerintahan yang dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyumbang kepada keruntuhan sesebuah pemerintahan atau kerajaan tersebut.

Pengkajian yang dijalankan dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, memperlihatkan pelbagai pandangan hidup yang dapat diutarakan sama ada melibatkan unsur ketuhanan, kemanusiaan mahupun yang berunsurkan alam. Pandangan ini dapat memberi penjelasan yang lebih mendalam kepada para pembaca tentang perkara atau peristiwa yang telah berlaku disepanjang pemerintahan raja-raja tersebut yang dapat memberi pengajaran serta pedoman kepada kita dalam meniti hari-hari yang mendatang.             

No comments:

Post a Comment