Sunday 17 May 2015

PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), karya merujuk kepada buatan atau ciptaan sesuatu. Manakala agung membawa maksud paling besar, terutama, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Oleh itu, Karya Agung boleh diertikan sebagai ciptaan atau buatan yang tertinggi dan teristimewa daripada seseorang pengarang.
            Karya Agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cerminan budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Malah, karya agung juga melambangkan keunggulan daya cipta sesuatu bangsa untuk membentuk tradisi dan identitinya sendiri (Yayasan Karyawan, 2015).
            Karya Agung Melayu pula merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta atau kreativiti seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran dari segi agama dan moral, visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk-bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga mampu untuk meninggalkan kesan dari aspek seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam kehidupan bangsa Melayu. Tamadun Melayu sememangnya dibentuk dan dipengaruhi oleh tradisi sastera ini sendiri (Yayasan Karyawan, 2015).
            Sastera hikayat merujuk kepada cerita-cerita dalam bentuk tulis yang menggunakan bahasa Melayu lama dengan bahasa dan struktur yang tertentu, membawa cerita ajaib yang berunsurkan hiburan, hasil daripada imaginasi dan fantasi pengarangnya. Hikayat Raja-raja Pasai merupakan salah satu karya agung yang telah diusahakan oleh Russell Jones.

Latar Belakang Hikayat Raja-raja Pasai
Hikayat Raja-raja Pasai (HRP) merupakan karya sastera Melayu tradisional yang tertua di zaman Melayu. Hikayat ini menceritakan tentang kisah raja-raja di negara Islam yang bernama Pasai iaitu Sultan Malikul Saleh yang memeluk Islam. Malah hikayat ini juga merupakan satu-satunya peninggalan sejarah yang menceritakan tentang zaman kerajaan Pasai.

            HRP ditulis dalam bahasa Melayu yang menggunakan huruf jawi pada lembaran-lembaran yang berbentuk buku. Namun, tarikh HRP ini masih belum dipastikan lagi dan pengarang HRP juga tidak diketahui. 

No comments:

Post a Comment