Sunday 17 May 2015

SENI BAHASA DALAM HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

Seni bahasa atau gaya bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan  penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan,  secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera.
            Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk melembutkan lagi makna percakapan dan juga untuk mengindahkan lagi bahasa  itu. Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur penting seperti kejujuran, sopan-santun dan menarik. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, pengkaji telah mengenal pasti beberapa jenis gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang seperti penggunaan retorik, skema, dan majaz.

Retorik
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2011), retorik ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Goys Keraf dalam modul karya agung Melayu (2014) pula menyatakan bahawa istilah yang diberikan secara tradisional diberikan pada cara pemakaian bahasa sebagai seni didasarkan pada pengetahuan yang tersusun baik. Menurut Adenan Ayob, Mohd Rasyid dan Mohd Ra’in Shaari, (2010), retorik merupakan seni penggunaan bahasa persuratan atau lisan yang melibatkan penyampaian fakta dan idea dengan menggunakan bahasa yang tersusun, menarik dan mampu memberikan impak kepada pendengar dan juga pembaca.
            Secara ringkasnya, retorik merupakan seni penggunaan atau pemakaian bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar dan pembaca. Kemampuan penulis menggarap isi dan mesej penulisannya terletak kepada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran serta kemahiran menulis yang dimiliki. Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rasyid Md Idris (2012), retorik terbahagi kepada enam jenis iaitu :

i.              Pemerian
Penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Retorik pemerian bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Terdapat juga retorik pemerian yang berjaya dikenal pasti dalam Hikayat Raja-raja Pasai.
Contoh :
Maka peranglah mereka itu terlalu ramai kelam kabut. Maka duli pun berbangkit lalu ke udara tiadalah berkenalan lagi seorang dengan seorang jua pun. Maka tempik segala hulubalang dan segala rakyat juga kedengaran dan gemerencang bunyi segala senjata dan pendahan segala pahlawan juga kedengaran. Maka bahananya datang ke tengah rimba belantara. Maka daripada kedua pihak lasykar itu banyaklah mati dan luka sebab beramuk-amukan sama sendirinya dan berbunuh-bunuhan mereka itu hinggalah mati kedua-dua raja itu.
(HRP: halaman 28)
ii.            Penceritaan
Retorik penceritaan merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Retorik ini juga menghubungkan beberapa siri peristiwa yang berkaitan dalam satu plot yang logik.
Contoh :
Pada suatu hari, Merah Silu pergi bermain di sungai dan melihat terlalu banyak ikan di dalam sungai itu. Apabila Merah Silu pulang ke rumah, dia segera menyuruh orangnya membuat bubu. Setelah bubu itu siap, Merah Silu pergi ke hulu sungai untuk menahan bubunya.
 (HRP: halaman 13)
iii.          Penerangan
Penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Retorik penerangan berfungsi untuk memberi penjelasan sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun.
Contoh :
Merah Silu mengupah orang dengan emas dan perak untuk membuat anderak besar. Besarnya anderak itu sekadar muat kerbau dua tiga ratus. Setelah siap, disuruh askar gemparkan kerbau liar ke arah muka anderak itu. Kerbau itu pun terkejut lalu lari masuk ke dalam mulut anderak itu dan tersangkut tanduknya lalu tersekat, tidak dapat masuk dan keluar. Pintu anderak itu disumbat seorang segumpal tanah. Pintu itu tertutup dan matilah kerbau itu.
(HRP: halaman 14-15)
iv.          Pendedahan
Retorik ini memperlihatkan cara pengarang mendedahkan, memaparkan atau menunjukkan sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas dan terperinci. Usaha untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada khalayak dengan berkesan. Retorik ini juga digunakan untuk memerihalkan sesuatu dengan lebih jelas dan terperinci untuk memberi idea atau maklumat kepada pembaca atau pendengar.
Contoh :
Beberapa kali diminta oleh Merah Gajah untuk mencabut rambut itu, tetapi tidak dibenarkan oleh isterinya. Pada suatu hari semasa isterinya sedang tidur, Merah Gajah mencabut rambut isterinya yang berwarna keemasan itu. Baginda menyangka tiada apa-apa yang akan berlaku. Apabila rambut itu tercabut, keluarlah darah dari liang rambut. Sebaik sahaja darahnya berhenti maka Puteri Betong pun hilanglah.
 (HRP: halaman 11)
            Retorik penghujahan dan retorik pemujukan tidak dapat dikenal pasti oleh pengkaji berdasarkan Hikayat Raja-raja Pasai.

Gaya Bahasa
Menurut Hashim Awang (2012), gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu, pengarang, fikiran, dan tujuannya. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.
Gaya bahasa dibahagikan kepada lima jenis iaitu, gaya bahasa pengulangan, penyirnaan, perbandingan, pertautan dan pertentangan. Hikayat Raja-raja Pasai merupakan naskhah Melayu yang memperlihatkan gaya bahasa yang lebih tua. Terdapat beberapa skema yang dapat dikenal pasti dalam Hikayat Raja-raja Pasai ini.

i.              Skema perulangan
Skema perulangan merujuk kepada perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada dan bunyi yang puitis, berirama atau pelbagai.

a)            Anafora
Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, terdapat penggunaan gaya bahasa anafora yang merujuk kepada pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat (Corbett dan Conors, 1999 dalam Seni Mengarang). Contoh:

Maka Tun Beraim Bapa pun berjalanlah dari Pintu Tanani. Maka baginda
bertemu dengan Malik Sulaiman Dendang Air. Maka berkata Tun Beraim
Bapa, “Ayuh mamakku Malik Sulaiman Dendang Air, tiadalah siapa bersenda
bergurau dengan tuan hamba, karna hamba hendak ke hulu sungai ke Bukit
Fudul Allah, entah kembali entah tiada.” 
(HRP: halaman 2)

Maka peranglah mereka itu terlalu ramai kelam kabut. Maka duli pun berbangkit lalu ke udara tiadalah berkenalan lagi seorang dengan seorang jua pun. Maka tempik segala hulubalang dan segala rakyat juga kedengaran dan gemerencang bunyi segala senjata dan pendahan segala pahlawan juga kedengaran. Maka bahananya datang ke tengah rimba belantara. Maka daripada kedua pihak lasykar itu banyaklah mati dan luka sebab beramuk-amukan sama sendirinya dan berbunuh-bunuhan mereka itu hinggalah mati kedua-dua raja itu.
(HRP: halaman 28)
Maka Bermamat Panti dan Maidana Panti pun pergilah ia berjalan ke Tukas. Maka dilihat oleh kedua-duanya itu Tun Beraim Bapa bemain-main dengan gurunya dan dengan segala hulubalang. Maka Bermamat Panti dan Maidana Panti pun kedua-duanya segera kembali dari Tukas.
(HRP: halaman 67-68).

ii.            Skema pengguguran
Terdapat dua bentuk skema jenis ini. Pertama, pengguguran kata hubung atau tanda mekanis. Kedua, penggunaan kata hubung dengan jumlah yang melebihi kebiasaan. Tujuan penggunaan skema ini untuk memberi kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa.
a)            Polisindeton
Hanya satu jenis skema pengguguran dalam Hikayat Raja-raja Pasai yang dapat dikenal pasti iaitu Polisindeton yang merujuk kepada penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut kamus tatabahasa dewan. Contoh:
Tun Beraim Bapa pun memakai pakaian: pertama berkain sutera nipis kuning berpunca warna murup bertepi emas dipahat bersiratkan emas berambu bergiring-giring di puncanya dan berbaju sinar matahari, berkacing berpermata podi merah; dan bertengkolok warna Cina bertepi emas permata bersirat berambukan mutiara berkamar berkilat bahu; dan berpotoh bernaga tujuh belit; dengan manikam bersarungkan emas; menyandang pedang halilintar dan mengenakan berpermata dan menyangkutkan busar yang keemasan pada bahunya kiri.
 (HRP: halaman 69)

iii.                Majaz pertautan
Majaz bermaksud memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan petunjuk. Majaz pertautan ialah hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan. Majaz pertautan yang diperoleh dalam Hikayat Raja-raja Pasai hanyalah dua iaitu, eufemisme dan disfemisme.

a)            Eufemisme
Strategi eufemisme digunakan bagi memperhalus kata-kata atau ungkapan. Ia juga disebut sebagai ucapan pemanis atau ungkapan lembut yang digunakan untuk menggantikan kata-kata yang kurang sopan. Eufemisme bukan sahaja wujud dalam bahasa baku, tetapi juga dalam bahasa daerah kolokial atau dialek. Unsur eufemisme yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai ialah :
·         Penggunaan bahasa baku seperti meninggal dunia, bersemayam, gering dan bersiram yang terdapat dalam keseluruhan hikayat ini.
·         Penggunaan bahasa daerah kolokial atau dialek seperti:
Bil
Dialek
Maksud
1
Behina
Tidak berkira / luar biasa
2
Embuai
Dayang istana
3
Gandi
Panah
4
Kejang
Kaku
5
Kejamas
Pencuci rambut
6
Melengkarakan
Menyelenggarakan
7
Mengherip
Menjerit
8
Persih / persik
Memperbaiki
9
Tunu
Bakar

b)           Disfemisme
Strategi disfemisme ialah kebalikan daripada eufemisme. Disfemisme memilih bentuk kata atau ragam bahasa daripada yang lembut kepada kasar. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lama, kata-kata kasar selalunya bertujuan bergurau dan berjenaka. penggunaan kata-kata kasar untuk tujuan tertentu. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai terdapat satu unsur disfemisme yang dikenal pasti. Contoh:
“marilah kita muslihatkan kerbau jalang yang tiada berguna kepada tuan-tuan sekalian itu. Hamba hendak perkenakan kerbau itu.”
 (HRP: halaman 14)



iv.    Majaz perbandingan
Majaz perbandingan ialah penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan dua hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama. Hanya satu sahaja majas perbandingan yang diperoleh berdasarkan hikayat yang di kaji iaitu simile yang merujuk kepada perbandingan secara langsung. Contoh:

“Hai bapak, jikalau emas atau manikam ditunjukkan di hadapan hamba atau ada diberikan kepada hamba tiadalah hamba suka seperti hamba melihat kanak-kanak ini.”
(HRP: halaman 5)

v.            Majaz pertentangan
Majaz pertentangan merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan. Hanya satu majaz pertentangan yang diperoleh dalam Hikayat Raja-raja Pasai iaitu hiperbola yang membawa maksud penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat. (Corbett dan Connors, 1999). Contoh:
Tuan Abdul Jalil pula baik rupa dan parasnya ; tiada bandingan pada masa itu, jikalau ia berdiri di pintu maka berseri pintu, dan jikalau ia berdiri di pekan nescaya bercahaya segala pekan itu.
(HRP: halaman 59)

Tun Beraim Bapa pun memakai pakaian : pertama berkain sutera nipis kuning berpunca warna murup bertepi emas dipahat bersiratkan emas berambu bergiring-giring di puncanya dan berbaju sinar matahari, berkacing berpermata podi merah; dan bertengkolok warna Cina bertepi emas permata bersirat berambukan mutiara; berkamar berkilat bahu ; dan berpotoh bernaga tujuh belit; dengan manikam bersarungkan ema ; menyandang pedang halilintar dan mengenakan berpermata dan menyangkutkan busar yang keemasan pada bahunya kiri.
(HRP: halaman 69)

vi.          Majaz Melayu
Majaz Melayu merujuk kepada kaedah orang Melayu memanipulasikan bahasa secara simbolik dan kiasan melalui bahasa lisan atau tulisan untuk menyampaikan idea, fikiran dan perasaan mereka. Orang Melayu menggunakan pelbagai elemen bahasa seperti peribahasa, pepatah, petitih kiasan, pelambangan, perbilangan, sindiran, imejan di samping penggunaan patah kata, suku kata seperti awalan, sisipan atau akhiran. Contoh:

       …habis-habis tumbuh pula…
       …rupanya pun makin menjelas…
       …demikianlah penglihat hamba…
       …hati yang karatan…
       …diperebutnya daripada tangan…
       …maka diperebut oleh…
       …menderita daripada kesangat gatalnya…
       …daripada tersangatan bisanya…
       …tiada lagi tertahani hatinya…
       …tiadalah dapat patik kelupai…
       …masing-masing dengan persembahnya…
       …pulanglah ke Majapahit dengan masygul dan percintanya…


a)            Pantun
Pantun tergolong dalam puisi Melayu tradisional yang dipercayai berakar umbi daripada sastera lisan dalam kalangan rakyat bawahan sebelum berkembang kepada bentuk penulisan. Terdapat satu pantun yang diulang sebanyak dua kali dalam Hikayat Raja-raja Pasai ini. Pantun pertama terdapat dalam bab 10 yang bertajuk Puteri Gemerencang dan diulang semula pada bab 11 yang bertajuk Majapahit Menyerang Pasai. Contoh:

“Lada siapa dibangsalkan ?
Selama lada dikerati?
Pada siapa disesalkan ?
Tuan juga empunya pekerti”.
                              (HRP: halaman 103 dan 107)


            Secara keseluruhan, gaya bahasa adalah satu corak, bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di antara satu sama lain sama ada secara lisan mahupun tulisan. Gaya bahasa yang terdapat dalam Hikayat Raja-raja Pasai sangat menarik dan memberi rasa yang indah kepada pembacanya.

No comments:

Post a Comment