Sunday 17 May 2015

LATAR BELAKANG PENULIS NOVEL INTERLOK

Novel Interlok ialah hasil karya Abdullah Hussain. Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Pada tahun 1926, beliau mula belajar di Sekolah Melayu Limau dan lulus darjah V pada tahun 1931. Beliau meneruskan pendidikannya di Sekolah St. Micheal, Alor Setar, Kedah Darul Aman dari tahun 1932 hingga 1933. Pada tahun 1935, beliau telah meneruskan pengajian di Anglo Chinese School, Alor Setar, Kedah Darul Aman hingga lulus darjah VII.
Semasa pendudukan Jepun pada tahun 1943, beliau dihantar ke Singapura untuk menjalani kursus pentadbiran di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) selama tiga bulan. Pada tahun 1939, beliau telah berkhidmat sebagai penolong penjaga stor di perusahaan lombong bijih di Pahang dan pernah berkhidmat di bahagian penerbitan, syarikat surat khabar Sahabat, di Pulau Pinang. Pada tahun 1940, beliau berkhidmat di Pulau Pinang sebagai pembantu pengarang surat khabar Saudara dan pada tahun 1941 pula (sehingga kedatangan tentera Jepun), beliau berkhidmat di Sungai Petani, Kedah sebagai kerani dan tukang dobi di kem tentera Inggeris. Beliau juga pernah menjadi wartawan surat khabar Merdeka, Berita Indonesia dan majalah minggu Merdeka. Beliau juga pernah bertugas sebagai pengarang majalah Bintang dan Filem. Beliau juga pernah menjadi pengurus penerbitan di majalah Gelanggang Filem. Dalam filem Hang Tuah, beliau pernah bertugas sebagai penasihat teknik. Pada tahun 1961-1964, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu pengarang kanan di Oxford University Press dan pernah berkhidmat di Franklin Books Programme dan memegang jawatan editor di majalah Angkatan Baru pada tahun 1965-1968
Selama 10 tahun mulai tahun 1968, beliau telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pegawai penyelidik. Seterusnya, pada tahun 1978, beliau telah berkhidmat sebagai ketua unit bahasa dan sastera di DBP cawangan Sabah sehingga tahun 1979. Sehingga tahun 1981, beliau berkhidmat sebagai ahli cipta di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pada tahun 1982 pula, beliau berkhidmat di DBP Brunie Darussalam sebagai ketua bahagian pembinaan dan pengembangan sastera. Pada tahun 1993, beliau berkhidmat sebagai Karyawan Tamu DBP sehingga tahun 1996.
Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) yang kelapan pada tahun 1996. Selain penganugerahan SN, beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) pada tahun 1995 dan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’. Pada tahun 1996, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang juga membawa gelaran Dato’ oleh Yang  di-Pertuan Agong.

Sepanjang penglibatan beliau dalam penulisan kreatif, terdapat pelbagai hasil penulisan yang telah beliau lahirkan. Karya pertama beliau adalah sebuah karya lucu yang disiarkan dalam majalah Tanah Melayu pada tahun 1939. Beliau juga telah menghasilkan 25 buah novel, tiga buah cerpen, sembilan buah buku terjemahan sastera, sebuah autobigrafi dan enam buah biografi. Novel Imam telah diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia 1994/95 dan tempat pertama dalam Hadiah Novel Nasional 1992/94. 

No comments:

Post a Comment